**TADABBUR WAHYU SIRI 505**

**3.15.1 Tadabbur Surah ‘Ali Imran Ayat 19**

إِنَّ ٱلدِّينَ عِندَ ٱللَّهِ ٱلۡإِسۡلَٰمُۗ وَمَا ٱخۡتَلَفَ ٱلَّذِينَ أُوتُواْ ٱلۡكِتَٰبَ إِلَّا مِنۢ بَعۡدِ مَا جَآءَهُمُ ٱلۡعِلۡمُ بَغۡيَۢا بَيۡنَهُمۡۗ وَمَن يَكۡفُرۡ بِ‍َٔايَٰتِ ٱللَّهِ فَإِنَّ ٱللَّهَ سَرِيعُ ٱلۡحِسَابِ.

19-Sesungguhnya agama (yang benar dan diredai) di sisi Allah ialah Islam. Dan orang-orang (Yahudi dan Nasrani) yang diberikan Kitab itu tidak berselisih (mengenai agama Islam dan enggan menerimanya) melainkan setelah sampai kepada mereka pengetahuan yang sah tentang kebenarannya; (perselisihan itu pula) semata-mata kerana hasad dengki yang ada dalam kalangan mereka. Dan (ingatlah), sesiapa yang kufur ingkar akan ayat-ayat keterangan Allah, maka sesungguhnya Allah Amat segera hitungan hisabNya.

Jika diperhatikan dengan teliti, ayat ini dapat dilihat sebagai ayat pertama menyentuh secara langsung tema utama surah.

Tema yang dimaksudkan ialah jawapan terhadap kekeliruan yang dialami oleh penganut agama Nasrani dari Najran yang hadir menemui nabi saw.

Dengan itu, pembaca akan dapati bahawa ayat-ayat sebelum ini adalah muqaddimah surah. Sementara ayat ini adalah permulaan kepada isi dan fokus surah ‘Ali Imran.

Sekali lagi diingatkan bahawa pembukaan surah menyebut tentang penurunan kitab al-Quran dan hidayahnya yang mengatasi seluruh kitab-kitab yang diturunkan sebelum ini.

Terdapat kisah yang diriwayatkan oleh al-Wahidi dan Abu Ishaq, menceritakan bagaimana apabila kaum Nasrani Najran memasuki masjid Nabawi, Rasulullah saw berkata kepada mereka islamlah, mereka menjawab: kami telah Islam sebelum kamu lagi.

Nabi saw menjawab: Islam kamu telah terhalang kerana kamu mendakwa Isa itu anak tuhan.

Selepas intro surah yang bersifat umum, al-Quran mula memberikan hujah kepada kekeliruan ahli kitab. Perkara pertama yang disentuh ialah berkenaan hakikat agama Islam.

Mengikut Ibnu Asyur, perkataan “addin” yang ada dalam ayat diatas pada asalnya bermaksud “balasan”. Namun demikian lama-kelamaan perkataan addin telah digunakan dengan makna “agama”.

Hal ini berlaku kerana agama adalah amalan-amalan yang dilakukan oleh manusia dengan tujuan mahukan balasan tertentu samada keberkatan di dunia atau balasan syurga diakhirat.

Kaum musyrikin Mekah sendiri percaya bahawa amalan mereka yang berbentuk memuja patung-patung itu dapat memberi syafaat kepada mereka dihadapan Allah di hari akhirat. Oleh itu addin atau agama ditujukan umum kepada semua agama.

Adapaun agama yang dibawa oleh nabi Muhammad saw dinamakan Islam kerana Islam itu sendiri bermaksud penyerahan dan ketundukan.

Agama ini dinamakan Islam kerana ia menyeru kepada ketundukan dan kepatuhan hanya kepada Allah.

Walaupun demikian, perkataan Islam juga membawa erti “perkara-perkara yang berbentuk amali dalam agama Islam”.

Pada ketika itu, Islam lawannya iman, iaitu iman ialah perkara yang bukan berbentuk amalan dalam agama sebaliknya ia adalah kepercayaan dalam hati dan tidak melibatkan anggota zahir manusia.

Menurut Ibnu Asyur permulaan ayat ini yang mengatakan bahawa agama disisi Allah ialah Islam adalah bagi menafikan agama-agama lain itu dari diterima sebagai amalan dan kepercayaan.

Sebaliknya hanya agama Islam sahaja yang diterima disisi Allah tidak agama-agama lain.

Hanya Islam yang diterima disisi Allah kerana agama inilah yang sempurna dan agama-agama lain selain dari apa yang dibawa oleh nabi Muhammad tidak mencapai kesempurnaan seperti yang dibawa oleh baginda.

Hal ini berlaku kerana syariat yang diturunkan sebelum ini belum mencapai tahap kesempurnaan seperti yang diturunan kepada nabi Muhammad saw.

Mengikut Ibnu Asyur, hal ini kerana sesuatu syariat itu diturunkan untuk diamalkan oleh kaum tersebut.

Disebabkan keadaan manusia sebelum ini masih belum mencapai tahap kesempurnaan seperti yang telah dialami oleh umat di zaman ini, maka syariat yang diturunkan kepada mereka juga adalah tidak sempurna untuk diamalkan di sepanjang zaman. Bahkan syariat mereka sesuai untuk zaman dan kelompok mereka yang kecil sahaja.

Jumaat
13 Jamadilakhir 1441
7 Februari 2020
Ustaz Dr Rosli Mokhtar
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Untuk sumbangan pembangunan Tadabbur Wahyu:
TADABBUR WAHYU SOLUTION (May Bank No Ac:562263546814 ) Maklumkan sumbangan anda dengan whatsapp 01158935652
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Rujukan: al-Tahrir wa al-Tanwir, Tafsir al-Manar, Tafsir al-Qurtubi, Tafsir al-Muharrar al-Wajiz dll.
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Untuk terima Siri Tadabbur Wahyu sila whatsapp 01158935652
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Atau sila klik link di bawah:
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
https://t.me/tadabbur_wahyu
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Atau dari Carian Telegram, taip perkataan Tadabbur atau Wahyu, pilih Tadabbur Wahyu untuk sertai channel Tadabbur Wahyu.
🌟🌟🌟🌟🌟🌟

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *