**TADABBUR WAHYU SIRI 511**

**3.21.1 Tadabbur Surah ‘Ali Imran Ayat 26-27**

قُلِ ٱللَّهُمَّ مَٰلِكَ ٱلۡمُلۡكِ تُؤۡتِي ٱلۡمُلۡكَ مَن تَشَآءُ وَتَنزِعُ ٱلۡمُلۡكَ مِمَّن تَشَآءُ وَتُعِزُّ مَن تَشَآءُ وَتُذِلُّ مَن تَشَآءُۖ بِيَدِكَ ٱلۡخَيۡرُۖ إِنَّكَ عَلَىٰ كُلِّ شَيۡءٖ قَدِيرٞ.
26-Katakanlah: “Wahai Tuhan Yang mempunyai kekuasaan, Engkau berikan kekuasaan kepada orang yang Engkau kehendaki dan Engkau cabut kekuasaan dari orang yang Engkau kehendaki. Engkau muliakan orang yang Engkau kehendaki dan Engkau hinakan orang yang Engkau kehendaki. Di tangan Engkaulah segala kebajikan. Sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas segala sesuatu.

Ayat ini menerangkan tentang kuasa Allah yang  mutlak. Dialah yang memberi dan menarik segala kekuasaan yang dimiliki oleh manusia. Sebagaimana Dia memuliakan sesiapa yang Dia mahu,  Dia juga berkuasa menghina sesiapa yang dia mahu.

Namun demikian perlulah diingat bahawa pentadbiran Allah di atas muka bumi adalah  menurut “hukum alam” yang telah Allah jadikan dan dialah yang berkuasa menjadikan.

Dengan itu kekuasaan dan kemuliaan yang diberikan kepada manusia adalah berdasarkan sebab musabab. Ia merupakan hukum alam yang telah dijadikan oleh Allah.

Sesuatu kaum itu menjadi berkuasa apabila mereka memiliki sebab-sebab kekuasaan dan sesuatu kaum itu mendapat kemuliaan apabila mereka mempunyai sebab-sebab kemulliaan.

Dengan itu, ayat di atas memeberitahu kaum Bani Israel bahawa tindakan mereka yang menolak kemuliaan yang diberikan oleh Allah kepada bangsa Arab adalah penentangan terhadap kekuasaan Allah.

Allah telah mengubah tampuk kenabian akhir zaman kepada bangsa Arab, sedangkan sebelum ini nabi-nabi kebanyakannya daripada Bani Israel.

Setelah sekian lama kenabian diberikan kepada Bani Israel, tetapi sebaik sahaja nabi mereka meninggal dunia, kesesatan telah menguasi kaum mereka dan ajaran nabi-naib itu dengan segera telah diselewengkan.

Bani Israel juga telah menjadikan kemuliaan dalam agama sebagai monopoli kaum mereka. Kedatangan nabi Muhammad dianggap sebagai ancaman kepada Bani Israel yang selama ini menggap kemuliaan dalam agama dan hak untuk mewarisi syurga Allah adalah milik eksklusif mereka.

Perubahan yang Allah jadikan ini berhubung kait dengan sifat syariat akhir zaman yang akan kekal selama mana dunia ini berpusing dan kehidupan memenuhi seluruh pelusuk muka bumi.

Ini kerana tidak ada lagi nabi lain yang akan dihantar oleh Allah selepas nabi Muhammad saw.

تُولِجُ ٱلَّيۡلَ فِي ٱلنَّهَارِ وَتُولِجُ ٱلنَّهَارَ فِي ٱلَّيۡلِۖ وَتُخۡرِجُ ٱلۡحَيَّ مِنَ ٱلۡمَيِّتِ وَتُخۡرِجُ ٱلۡمَيِّتَ مِنَ ٱلۡحَيِّۖ وَتَرۡزُقُ مَن تَشَآءُ بِغَيۡرِ حِسَابٖ.

27 Engkau masukkan malam ke dalam siang dan Engkau masukkan siang ke dalam malam. Engkau keluarkan yang hidup dari yang mati, dan Engkau keluarkan yang mati dari yang hidup. Dan Engkau beri rezeki siapa yang Engkau kehendaki tanpa hisab (batas).”

Allah memperlihatkan kebesaran dan kekuasaannya. Jika sekiranya ayat sebelum ini menerangkan kuasa Allah menukarkan kekuasaan manusia dan pengaruh yang mereka miliki, kini dia mengingatkan kepada kekuasaan Allah yang menguasai alam semesta ini.

Dialah yang menjalankan alam ini, samada menukarkan siang menjadi malam dan menukarkan malam menjadi siang.

Sebagaimana dia berkuasa terhadap perjalanan bumi, matahari dan cakrawala maka dia juga yang berkuasa terhadap kehidupan manusia.

Sebagaimana perjalanan siang dan malam yang tunduk kepada kehendak Allah itu berlaku dengan sebab musabab yang jelas seperti peredaran bumi, bulan dan matahari, maka seperti itu jugalah kekuasaan manusia juga beredar berdasarkan faktor-faktor yang wujud dalam diri dan masyarakat manusia. Itulah sunnah alam yang akan tetap berlaku sehnigga dunia ini mencapai kepenghujung hidupnya.

Allah menggunakan perkataan “yuliju” yang bermaksud “masuk”. Perkataan ini digunakan bagi bagi menunjukkan kepada perubahan siang dan malam.

Sekali gus perkataan ini memberi menggambarkan pergerakan gelap yang bergerak menggantikan cahaya yang ada sebagaimana cahaya yang datang kemudiannya bergerak menghilangkan kegelapan malam.

Ibnu Asyur menghubungkan keadaan ini dengan kiasan terhadap keadaan manusia yang telah sesat setelah mereka berada dlam hidayah. Kemudiannya datang pula cahaya iman yang dibawa oleh nabi akhir zaman untuk mengeluarkan mereka dari kegelapan.

Alangkah indahnya ibarat yang diberikan oleh al-Quran, sudah tentu ianya mampu memberikan kesan keinsafan kepada mereka yang berfikir dan meletakkan kalam tuhan ditempat yang tinggi dalam sanubarinya.

Khamis
19 Jamadilakhir 1441
13 Februari 2020
Ustaz Dr Rosli Mokhtar
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Untuk sumbangan pembangunan Tadabbur Wahyu:
TADABBUR WAHYU SOLUTION (May Bank No Ac:562263546814 ) Maklumkan sumbangan anda dengan whatsapp 01158935652
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Rujukan: al-Tahrir wa al-Tanwir, Tafsir al-Manar, Tafsir al-Qurtubi, Tafsir al-Muharrar al-Wajiz dll.
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Untuk terima Siri Tadabbur Wahyu sila whatsapp 01158935652
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Atau sila klik link di bawah:
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
https://t.me/tadabbur_wahyu
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Atau dari Carian Telegram, taip perkataan Tadabbur atau Wahyu, pilih Tadabbur Wahyu untuk sertai channel Tadabbur Wahyu.
🌟🌟🌟🌟🌟🌟

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *