**TADABBUR WAHYU SIRI 512**

**3.22.1 Tadabbur Surah ‘Ali Imran Ayat 28**

لَّا يَتَّخِذِ ٱلۡمُؤۡمِنُونَ ٱلۡكَٰفِرِينَ أَوۡلِيَآءَ مِن دُونِ ٱلۡمُؤۡمِنِينَۖ وَمَن يَفۡعَلۡ ذَٰلِكَ فَلَيۡسَ مِنَ ٱللَّهِ فِي شَيۡءٍ إِلَّآ أَن تَتَّقُواْ مِنۡهُمۡ تُقَىٰةٗۗ وَيُحَذِّرُكُمُ ٱللَّهُ نَفۡسَهُۥۗ وَإِلَى ٱللَّهِ ٱلۡمَصِير.
28 Janganlah orang-orang mukmin mengambil orang-orang kafir menjadi wali dengan meninggalkan orang-orang mukmin. Barang siapa berbuat demikian, nescaya lepaslah ia dari pertolongan Allah kecuali karena memelihara diri dari sesuatu yang ditakuti dari mereka. Dan Allah memperingatkan kamu terhadap diri (siksa) Nya. Dan hanya kepada Allah kembali (mu).

Mengikut Ibnu Asyur ayat ini mempunyai dua tafsiran, pertama berkemungkinan yang dimaksudkan dengan orang-orang kafir dalam ayat di atas ialah orang orang Yahudi.

Walaupun orang Yahudi dipanggil orang musyrikin tetapi al-Quran sering menamakan ahli kitab sebagai orang kafir.

Tafsiran kedua ialah yang dimaksudkan dengan orang-orang kafir disini ialah semua mereka yang kufur dan syirik tidak kira siapa golongan mereka, sebaliknya yang penting ialah penentangan mereka terhadap risalah Islam.

Ayat ini dikaitkan juga penurunannya dengan peristiwa seorang sahabat nabi yang baik dan setia bernama Hatib bin Abi Baltaah.

Apabila nabi saw dan tentera Islam bergerak menuju Mekah Hatib telah menghantarkan rislah amaran kepada keluarga beliau yang berada di Mekah, agar bersedia dengan kedatangan tentera Islam.

Walau bagaimanapun, surat yang dihantar beliau melalui seorang wanita itu sempat dipintas oleh para sahabat. Dalam kes ini Hatib tidak dihukumkan kufur kerana dianggap melantik orang kafir sebagai wali.

Satu perkara yang perlu diberikan perhatian kepada pembaca ialah sering kali didengari mereka yang menterjemah secara mutlak bahawa Allah melarang kaum muslimin melantik orang bukan Islam sebagai pemimpin.

Untuk perhatian pembaca ayat ini tidak menyebut secara jelas dengan perkataan pemimpin. Sebaliknya al-Quran menggunakan perkataan wali.

Perkataan wali boleh membawa maksud pemimpin tetapi ia juga mempunyai makna yang lebih luas seperti kisah Hatib bin Abi Baltaah yang telah diterangkan sebentar tadi.

Hatib tidak melantik keluarga beliau di Mekah sebagai pemimpin tetapi wali dalam maksud disini lebih kepada maksud mereka yang mencintai orang kafir sedangkan mereka sedang memerangi orang Islam.

Terlalu mudah meletakkan hukum  haram melantik orang bukan Islam sebagai pemimpin menimbulkan kekeliruan dalam masyarakat Islam. Ini kerana perkataan wali jika diterjemah kepada pemimpin mestilah membawa maksud pemimpin secara umum, bukan pemimpin politik semata-mata.

Dan jika seluruh bentuk kepimpinan adalah haram bagi orang kqfir maka akan menjadikan umat Islam tidak boleh bekerja dibawah syarikat orang bukan Islam, tidak boleh berada dibawah pengurusan bukan Islam dan sebagainya.

Ibnu Asyur melihat bahawa larangan dalam ayat di atas adalah berkisar disekitar tidak boleh bekerjasama dengan orang kafir ketika mereka mahu memusnahkan orang Islam.

Jumaat
20 Jamadilakhir 1441
14 Februari 2020
Ustaz Dr Rosli Mokhtar
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Untuk sumbangan pembangunan Tadabbur Wahyu:
TADABBUR WAHYU SOLUTION (May Bank No Ac:562263546814 ) Maklumkan sumbangan anda dengan whatsapp 01158935652
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Rujukan: al-Tahrir wa al-Tanwir, Tafsir al-Manar, Tafsir al-Qurtubi, Tafsir al-Muharrar al-Wajiz dll.
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Untuk terima Siri Tadabbur Wahyu sila whatsapp 01158935652
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Atau sila klik link di bawah:
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
https://t.me/tadabbur_wahyu
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Atau dari Carian Telegram, taip perkataan Tadabbur atau Wahyu, pilih Tadabbur Wahyu untuk sertai channel Tadabbur Wahyu.
🌟🌟🌟🌟🌟🌟

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *