**TADABBUR WAHYU SIRI 513**

**3.23.1 Tadabbur Surah ‘Ali Imran Ayat 29-30**

قُلۡ إِن تُخۡفُواْ مَا فِي صُدُورِكُمۡ أَوۡ تُبۡدُوهُ يَعۡلَمۡهُ ٱللَّهُۗ وَيَعۡلَمُ مَا فِي ٱلسَّمَٰوَٰتِ وَمَا فِي ٱلۡأَرۡضِۗ وَٱللَّهُ عَلَىٰ كُلِّ شَيۡءٖ قَدِيرٞ
29-Katakanlah: “Jika kamu menyembunyikan apa yang ada dalam hatimu atau kamu melahirkannya, pasti Allah mengetahui.” Allah mengetahui apa-apa yang ada di langit dan apa-apa yang ada di bumi. Dan Allah Maha Kuasa atas segala sesuatu.

Ayat-ayat sebegini memang sentiasa didatangkan selepas Allah menyentuh persoalan berkaitan dengan amalan manusia.

Ini bagi memberikan amaran tentang pentingnya maklumat yang telah dibincangkan sebelum ini.

Teknik ini sekaligus menjadi kelebihan bagi al-Quran, apabila sentiasa menghubungkan maklumat berkaitan ketuhanan dengan pendiidkan diri muslim dan pembentukan amalan mereka.

Seorang muslim yang menghayati ayat-ayat seperti ini akan lebih mudah mengamalkan suruhan tuhan kerana dia diajar bahawa Allah Maha Mengetahui.

Disebut dalam ayat di atas bahawa Allah Maha Mengetahui apa yang ada didalam hati manusia dan Allah mengetahui apa yang dilangit dan dibumi.

Maksud yang lebih ringkas dalam percakapan kita ialah Allah maha mengetahui tentang segala perkara.

Ayat ini diperkukuhkan  lagi dengan satu lagi sifat Allah yang sangat penting untuk digabungkan dalam pendidikan ini.

Sifat yang dimaksudkan itu ialah Allah Maha Berkuasa di atas segala perkara. Kedua-dua sifat ini digabungkan dalam ayat di atas kerana orang yang melakukan kesalahan sentiasa menaruh harapan agar mereka terlepas dari hukuman.

Harapan itu timbul daripada dua kelemahan yang ada pada pihak yang mengawasi mereka. Kelemahan pertama ialah, kesalahan itu tidak dapat dikesan, lantaran itu mereka akan terlepas dari diadili.

Kelemahan kedua ialah tiadanya kuasa bagi pihak yang mahu menghukum mereka. Walaupun mungkin seseorang diketahui umum telah melakukan kesalahan  tetapi dia akan tetap terlepas daripada hukuman jika tiada siapa yang berkuasa untuk memastikan hukuman itu dapat dijatuhkan kepadanya.

Dengan itu, ayat di atas menyatakan bahawa Allah Maha Mengetahui apa yang  mereka lakukan dan Allah Maha Berkuasa terhadap segala perkara.

Dengan penyataan itu, jelaslah bahawa tiada siapa yang akan teerlepas daripada hukuman Allah.

يَوۡمَ تَجِدُ كُلُّ نَفۡسٖ مَّا عَمِلَتۡ مِنۡ خَيۡرٖ مُّحۡضَرٗا وَمَا عَمِلَتۡ مِن سُوٓءٖ تَوَدُّ لَوۡ أَنَّ بَيۡنَهَا وَبَيۡنَهُۥٓ أَمَدَۢا بَعِيدٗاۗ وَيُحَذِّرُكُمُ ٱللَّهُ نَفۡسَهُۥۗ وَٱللَّهُ رَءُوفُۢ بِٱلۡعِبَادِ

30-Pada hari ketika tiap-tiap diri mendapati segala kebajikan dihadapkan (dimukanya), begitu (juga) kejahatan yang telah dikerjakannya; Ia ingin kalau kiranya antara ia dengan hari itu ada masa yang jauh; dan Allah memperingatkan kamu terhadap diri (siksa) Nya. Dan Allah sangat Penyayang kepada hamba-hambaNya.

Setelah manusia diingatkan dengan pengetahuan Allah dan kekuasaanNya, diingatkan pula dengan keadaan mereka pada hari kiamat.

Inilah maqasid atau tujuan sebenar manusia mengingati hari kiamat. Iaitu agar pengetahuan tersebut membawa perubahan kepada cara fikir dan tindakan mereka sewaktu di dunia ini.

Ibnu Asyur menyatakan, ayat ini dipanggil ayat mauizah atau ayat nasihat kerana ia mengingatkan umat Islam kepada sesuatu yang belum berlaku.

Objektif ayat seperti ini ialah agar apa yang diberitahu itu tidak akan menimpa umat Islam kerana telah diberikan nasihat terlebih dahulu oleh Allah.

Dengan itu, ayat ini menerangkan bahawa orang yang melakukan kesalahan akan bercita-cita agar hari perhitungan yang dilalui itu tidak ditempuhinya atau dilewatkan sehingga mereka terlepas  dari hisab tersebut.

Maka persedianan untuk berdepan dengan hari hisab perlulah dilakukan terlebih dahulu ketika manusia masih berada di muka bumi ini lagi.

Semoga kita diberikan kekuatan untuk itu. Amin.

Sabtu
21 Jamadilakhir 1441
15 Februari 2020
Ustaz Dr Rosli Mokhtar
🌟🌟🌟🌟🌟🌟

Untuk sumbangan pembangunan Tadabbur Wahyu:
TADABBUR WAHYU SOLUTION (May Bank No Ac:562263546814 ) Maklumkan sumbangan anda dengan whatsapp 01158935652
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Rujukan: al-Tahrir wa al-Tanwir, Tafsir al-Manar, Tafsir al-Qurtubi, Tafsir al-Muharrar al-Wajiz dll.
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Untuk terima Siri Tadabbur Wahyu sila whatsapp 01158935652
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Atau sila klik link di bawah:
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
https://t.me/tadabbur_wahyu
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Atau dari Carian Telegram, taip perkataan Tadabbur atau Wahyu, pilih Tadabbur Wahyu untuk sertai channel Tadabbur Wahyu.
🌟🌟🌟🌟🌟🌟

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *