**TADABBUR WAHYU SIRI 544**

**3.51.1 Tadabbur Surah ‘Ali Imran Ayat 78**

وَإِنَّ مِنۡهُمۡ لَفَرِيقٗا يَلۡوُۥنَ أَلۡسِنَتَهُم بِٱلۡكِتَٰبِ لِتَحۡسَبُوهُ مِنَ ٱلۡكِتَٰبِ وَمَا هُوَ مِنَ ٱلۡكِتَٰبِ وَيَقُولُونَ هُوَ مِنۡ عِندِ ٱللَّهِ وَمَا هُوَ مِنۡ عِندِ ٱللَّهِ وَيَقُولُونَ عَلَى ٱللَّهِ ٱلۡكَذِبَ وَهُمۡ يَعۡلَمُونَ.

78-Sesungguhnya di antara mereka ada segolongan yang memutar-mutar lidahnya membaca al-Kitab, supaya kamu menyangka yang dibacanya itu sebagian dari al-Kitab, padahal ia bukan dari al-Kitab dan mereka mengatakan: “Ia (yang dibaca itu datang) dari sisi Allah”, padahal ia bukan dari sisi Allah. Mereka berkata dusta terhadap Allah, sedang mereka mengetahui.

Pendustaan adalah sesuatu yang buruk, namun ia menjadi tersangat buruk jika pendustaan itu dilakukan atas nama tuhan.

Jika diperhatikan setiap kali mahu diberitahu tentang jenayah yang dilakukan oleh ahli kitab, al-Quran menggunakan perkataan berikut : diantara, sebahagian, sekumpulan.

Semuanya dengan bahasa yang sangat beradab dengan tidak menghukumkan Bani Israel secara pukal.

Dengan jelas disini al-Quran menerangkan bahawa golongan ini telah menggunakan ayat-ayat daripada al-Kitab untuk menunjukkan kepada pengikut mereka bahawa mereka mempunyai hujah dan dalil.

Sayangnya apa yang mereka sebut itu bukannya dari Allah. Hal ini boleh berlaku dalam dua keadaan. Pertama mereka mendakwa dalil-dalil yang disebut itu dari Allah, sedangkan dalil itu bukan dari Allah.  Tetapi rekaan mereka semata-mata.

Hal yang kedua pula ialah mereka menggunakan dalil-dalil yang dipetik dari kitab Allah tapi dibawa keluar dari maksud yang dikehendaki oleh Allah.

Dalam kedua-dua keadaan ini, orang yang berilmu dapat menanggapi penyelewengan yang dilakukan tetapi pengikut yang taksub dan mereka yang tidak berilmu akan menyangka apa yang di sebut itu sebagai ajaran yang benar.

Sekali lagi keadaan ini menerangkan tentang kepentingan dan kemuliaan ilmu. Kerana ilmu dapat membezakan antara yang benar dengan yang batil.

Sering kali kejahilan mengakibatkan mereka yang tidak bertanggung jawab mengambil peluang untuk mencari pengaruh dan mendapat keuntungan.

Sekiranya hal ini telah berlaku dalam masyarakat Bani Israel dengan berleluasa, dimana mereka menggunakan kitab taurat sebagai alat bagi mengambil kesempatan diatas kejahilan masyaakat, maka keadaan yang hampir sama juga telah berlaku kepada umat Islam.

Walaupun umat islam telah dilindungi oleh Allah daripada terseleweng secara keseluruhan, namun dari semasa kesemasa ada sahaja mereka yang muncul dan membawa ajaran yang menyeleweng daripada jalan yang benar.

Pernah berlaku selepas kurun pertama hijrah lahirnya orang yang mencipta hadis-hadis nabi dan mereka mendakwa ianya dari Rasulullah saw.

Hal ini sama dengan tindakan Bani Israel tadi. Walaupun mereka mencipta hadis dan bukan mencipta ayat al-Quran. Ini kerana nabi bercakap mengikut wahyu dari Allah.

Orang yang mencipta hadis-hadis ini mahu menjadikan rekaan mereka itu sebagai sandaran dan hujah kononnya ianya dari Allah.

Apabila berlakunya keadaan ini, para ulama bertungkus-lumus memerangi penyelewengan ini dengan melakukan pembukuan terhadap hadis-hadis nabi.

Dari situ juga lahirnya ulama yang menumpukan kajian mereka kepada ilmu hadis dan terciptanya ilmu-ilmu berkaitan hadis seperti ilmu mustalah hadis, ilmu jarh wa ta’dil dan berbagai ilmu lagi.

Usaha dan perjuangan ulama yang gigih itu telah menyelamatkan sumber ilmu umat Islam yang penting.

Begitulah setiap kali berlakunya penyelewengan dan percubaan untuk mengelincirkan umat ini makai ia dihadapi oleh para ilmuan yang berkeahlian dalam bidang masing-masing.

Rabu
22 Rejab 1441
17 Mac 2020
Ustaz Dr Rosli Mokhtar
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Untuk sumbangan pembangunan Tadabbur Wahyu:
TADABBUR WAHYU SOLUTION (May Bank No Ac:562263546814 ) Maklumkan sumbangan anda dengan whatsapp 01158935652
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Rujukan: al-Tahrir wa al-Tanwir, Tafsir al-Manar, Tafsir al-Qurtubi, Tafsir al-Muharrar al-Wajiz dll.
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Untuk terima Siri Tadabbur Wahyu sila whatsapp 01158935652
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Atau sila klik link di bawah:
https://t.me/tadabbur_wahyu
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Atau dari Carian Telegram, taip perkataan Tadabbur atau Wahyu, pilih Tadabbur Wahyu untuk sertai channel Tadabbur Wahyu.
🌟🌟🌟🌟🌟🌟

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *