**TADABBUR WAHYU SIRI 548**

**3.54.1 Tadabbur Surah ‘Ali Imran Ayat 83**
أَفَغَيۡرَ دِينِ ٱللَّهِ يَبۡغُونَ وَلَهُۥٓ أَسۡلَمَ مَن فِي ٱلسَّمَٰوَٰتِ وَٱلۡأَرۡضِ طَوۡعٗا وَكَرۡهٗا وَإِلَيۡهِ يُرۡجَعُونَ.

83-Apakah mereka mencari agama yang lain dari agama Allah, padahal kepadaNya berserah diri segala apa yang di langit dan di bumi, samada dengan sukarela maupun terpaksa dan hanya kepada Allahlah mereka dikembalikan.

Pertanyaan di atas bukanlah pertanyaan yang sebenar tetapi lebih bersifat sindiran untuk menunjukkan tidak layak sebenarnya mereka mencari agama selain agama Allah.

Disebut pula “agama Allah” untuk menunjukkan kemuliaan agama Islam berbanding agama lain.

Kepada Allah tunduknya sesiapa yang ada dilangit dan dibumi. Ayat seperti ini terdapat dalam al-Quran dalam dua bentuk.

Satu dengan lafaz “man” seperti di atas. Ada pula dengan lafaz “ma”. Lafaz “man” bermaksud sesiapa dan “ma” pula bermaksud “apa”.

Kedua-dua ayat seperti ini menunjukkan bahawa seluruh alam semesta ini tunduk kepada Allah yang maha kuasa. Yang membezakan ialah cara ketundukan makhluk kepada allah.

Makhluk-makhluk seluruhnya tunduk kepada Allah kerana semuanya terpaksa tunduk kepada sistem alam yang dicipta oleh Allah.

Cuma, selain tubuh badan manusia terpaksa tunduk kepada sistem alam, manusia diperintahkan untuk tunduk kepada syariat Allah.

Keadaan manusia adalah paling unik kerana mereka tunduk dalam bentuk taklif yang disulami dengan pilihan dan usaha. Inilah yang dikatakan sebagai tunduk kepada Allah secara sukarela.

Tubuh-badan manusia, seperti alam semesta yang lain tunduk kepada Allah secara terpaksa, terhadap ketentuan Allah.

Tidak ada siapa yang mampu membentuk rupa parasnya sendiri, menentukan umur dan kehidupannya. Itulah yang dimaksudkan dengan tunduk kepada sistem alam.

Tetapi dalam masa yang sama manusia diberikan usaha dan pilihan samada untuk beriman dan mempercayai risalah yang dibawa oleh Rasulullah saw atau tidak.

Manusia diberikan pilihan untuk beramal soleh atau melakukan kejahatan. Itulah bentuk pilihan yang diberikan kepada manusia dan bukan kepada makhluk lain kecuali jin.

Menurut Ibnu Asyur, maksud manusia beriman secara “karha” bermaksud terpaksa antaranya apabila manusia beriman setelah diberikan hujah dan bukti. Maka dengan itu mereka tidak ada pilihan kecuali memilih iman kepada Allah.

Selain itu, ia juga bermaksud berimannya orang-orang yang kufur, pada hari akhirat nanti secara terpaksa. Iaitu setelah mereka melihat azab di hadapan mereka.

Adapun hakikat iman yang bersifat fitrah bagi Ibu Asyur adalah iman para malaikat kerana ia tidak memerlukan kepada hujah dan dakwah.

Diakhir ayat ini Allah menegaskan bahawa kepadaNyalah manusia akan kembali.

Kenyataan ini sebenarnya mengukuhkan keperluan seseorang itu untuk menjadikan agama Allah sebagai cara hidupnya didunia. Ini kerana manusia tidak akan terlepas daripada situasi diakhirat yang menuntut adanya pahala dan amal soleh.

Tanpa iman dan amal itu manusia akan rugi ketika berada didepan Allah.

Sabtu
26 Rejab 1441
21 Mac 2020
Ustaz Dr Rosli Mokhtar
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Untuk sumbangan pembangunan Tadabbur Wahyu:
TADABBUR WAHYU SOLUTION (May Bank No Ac:562263546814 ) Maklumkan sumbangan anda dengan whatsapp 01158935652
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Rujukan: al-Tahrir wa al-Tanwir, Tafsir al-Manar, Tafsir al-Qurtubi, Tafsir al-Muharrar al-Wajiz dll.
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Untuk terima Siri Tadabbur Wahyu sila whatsapp 01158935652
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Atau sila klik link di bawah:
https://t.me/tadabbur_wahyu
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Atau dari Carian Telegram, taip perkataan Tadabbur atau Wahyu, pilih Tadabbur Wahyu untuk sertai channel Tadabbur Wahyu.
🌟🌟🌟🌟🌟🌟

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *