**TADABBUR WAHYU SIRI 550**

**3.56.1 Tadabbur Surah ‘Ali Imran Ayat 86-88**

كَيۡفَ يَهۡدِي ٱللَّهُ قَوۡمٗا كَفَرُواْ بَعۡدَ إِيمَٰنِهِمۡ وَشَهِدُوٓاْ أَنَّ ٱلرَّسُولَ حَقّٞ وَجَآءَهُمُ ٱلۡبَيِّنَٰتُۚ وَٱللَّهُ لَا يَهۡدِي ٱلۡقَوۡمَ ٱلظَّٰلِمِينَ.

86-Bagaimana Allah akan memberi hidayah kepada suatu kaum yang kafir sesudah mereka beriman, serta mereka telah mengakui bahwa Rasul itu (Muhammad) benar dan keterangan-keterangan pun telah datang kepada mereka? Allah tidak akan memberi hidayah kepada orang-orang yang zalim.

Pertanyaan di atas dengan perkataan “bagaimana” bukan pertanyaan sebenar. Ia dipanggil istifham istinkari iaitu Allah menggunakan pertanyaan tetapi dalam maksud menolak perbuatan mereka yang melakukan kekufuran itu.

Perbuatan yang dimaksudkan disini ialah kufur setelah beriman. Sebahagian ulama menganggap ayat ini turun disebabkan ada dikalangan orang-orang Arab yang memeluk Islam kemudianya mereka kembali kepada agama asal mereka.

Sebahagian ulama pula menyatakan bahawa maksud kufur disini kembali kepada orang-orang Yahudi kerana mereka telah beriman dengan Allah dan nabi-nabi tetapi apabila mereka didatangi dengan nabi Muhammad saw tiba-tiba mereka menentang Baginda saw.

Sudah tentu sifat ini pada hakikatnya tidak mengira bangsa dan kaum, ia tetap buruk jika dilakukan oleh siapa sahaja. Kerana itu ia didatangkan dengan lafaz umum dan tidak ditujukan kepada sesuatu bangsa secara tertentu.

أُوْلَٰٓئِكَ جَزَآؤُهُمۡ أَنَّ عَلَيۡهِمۡ لَعۡنَةَ ٱللَّهِ وَٱلۡمَلَٰٓئِكَةِ وَٱلنَّاسِ أَجۡمَعِينَ.

87-Mereka itu, balasannya ialah laknat Allah ditimpakan kepada mereka, (demikian pula) laknat para malaikat dan manusia seluruhnya,

Balasan bagi mereka yang kufur ialah laknat Allah dan malaikat serta manusia seluruhnya.

Seperti yang diterangkan dalam surah al-Baqarah dahulu, maksud laknat Allah ialah Allah menjauhkan mereka dari rahmatnya.

Maksudnya diakhirat nanti tidak ada lagi bagi mereka kasihan belas dan mereka akan menjadi penghuni neraka.

Adapun laknat malaikat dan manusia bukannya laknat dalam bahasa melayu yang bermaksud memaki hamun tetapi bermaksud orang-orang yang jahat ini telah menerima doa yang buruk dari malaikat dan manusia kepada Allah. Ini kerana malaikat dan manusia yang beriman berdoa agar orang-orang yang beriman dan beramal soleh diberikan kebaikan oleh Allah.

خَٰلِدِينَ فِيهَا لَا يُخَفَّفُ عَنۡهُمُ ٱلۡعَذَابُ وَلَا هُمۡ يُنظَرُونَ.

88-mereka kekal di dalamnya, tidak diringankan siksa dari mereka, dan tidak (pula) mereka diberi Tangguh.

Sempena menyebut azab sangsara bagi mereka yang kufur itu, Allah menyebut juga disini beberapa sifat azab nereka dan keburukannya iaitu pertama ianya bersifat kekal.

Alangkah pendihnya azab ini kerana sifat kekal itu adalah seburuk-buruk sifat yang ada pada nereka. Manusia boleh bersabar bagi azab yang sebentar tempohnya tetapi azab yang kekal dan tiada kesudahan adalah azab yang tidak tertahan peritnya.

Sifat kedua ialah tidak diringankan padanya sedikitpun. Bahkan sering dijelaskan bahawa azab di nereka bersifat bertambah dari azab yang pedih kepada azab yang lebih pedih.

Sifat yang ketiga ialah seseorang itu tidak diberikan peluang untuk menangguhkan sedikit pun masa dan ketika sehingga mereka boleh berehat atau mencari peluang untuk mengubah nasib mereka.

Alangkah malangnya orang seperti ini, kerana telah berada dalam hidayah Allah tetapi enggan meneruskannya lalu menukar jalan mereka kepada kesesatan.

Semoga Allah memelihara kita dari kesesatan, Amin.

Selasa
29 Rejab 1441
24 Mac 2020
Ustaz Dr Rosli Mokhtar
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Untuk sumbangan pembangunan Tadabbur Wahyu:
TADABBUR WAHYU SOLUTION (May Bank No Ac:562263546814 ) Maklumkan sumbangan anda dengan whatsapp 01158935652
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Rujukan: al-Tahrir wa al-Tanwir, Tafsir al-Manar, Tafsir al-Qurtubi, Tafsir al-Muharrar al-Wajiz dll.
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Untuk terima Siri Tadabbur Wahyu sila whatsapp 01158935652
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Atau sila klik link di bawah:
https://t.me/tadabbur_wahyu
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Atau dari Carian Telegram, taip perkataan Tadabbur atau Wahyu, pilih Tadabbur Wahyu untuk sertai channel Tadabbur Wahyu.
🌟🌟🌟🌟🌟🌟

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *