**TADABBUR WAHYU SIRI 553**

**3.59.1 Tadabbur Surah ‘Ali Imran Ayat 93**

كُلُّ ٱلطَّعَامِ كَانَ حِلّٗا لِّبَنِيٓ إِسۡرَٰٓءِيلَ إِلَّا مَا حَرَّمَ إِسۡرَٰٓءِيلُ عَلَىٰ نَفۡسِهِۦ مِن قَبۡلِ أَن تُنَزَّلَ ٱلتَّوۡرَىٰةُۚ قُلۡ فَأۡتُواْ بِٱلتَّوۡرَىٰةِ فَٱتۡلُوهَآ إِن كُنتُمۡ صَٰدِقِينَ.

93-Semua makanan adalah halal bagi Bani Israel melainkan makanan yang diharamkan oleh Israel untuk dirinya sendiri sebelum Taurat diturunkan. Katakanlah: “(Jika kamu mengatakan ada makanan yang diharamkan sebelum turun Taurat), maka bawalah Taurat itu, lalu bacalah ia jika kamu orang-orang yang benar”.

Menurut Ibnu Asyur ayat ini menjadi bukti bahawa agama Yahudi bukan berada pada landasan nabi Ibrahim seperti mana yang didakwa oleh mereka.

Ini kerana ajaran nabi Ibrahim tidak mengharamkan makanan yang baik yang sepatutunya halal dan Bani Israel mengikut syariat tersebut sebelum turun kepada mereka kitab Taurat.

Para ahli tafsir berbeza pandangan tentang maksud ungkapan “makanan adalah halal bagi bani Israel kecuali makanan yang diharamkan oleh Israel untuk dirinya”

Ini kerana dalam ayat diatas menyebut Israel. Sebahagian ahlli tafsir menganggap makna perkataan Israel disini ialah Bani Israel.

Dengan itu mereka mengatakan maksud ayat ialah Bani Israel yang mengharamkan makanan tertentu kepada diri mereka.

Makna ini dipilih oleh Syeikh Muhammad Abduh dan muridnya  Syeikh Muhammad Rasyid Redha.

Sebahagian ahli tafsir pula mentafsirkan perkataan Israel dalam ayat di atas sebagai nabi Yaakub. Ini kerana gelaran yang dipanggil kepada nabi Yaakub ialah Israel.

Dikatakan bahawa dalam bahasa mereka kalimah Israel bermakna Abdullah iaitu hamba Allah.

Dengan tafsiran ini, mereka mengatakan bahawa nabi Yaakub telah mengharamkan keatas diri Baginda makanan tertentu. Terdapat berbagai pandangan pula berkenaan  makanan yang dimaksudkan. Sebahagian besar mengatakan  makanan yang dimaksudkan ialah susu unta atau daging unta.

Adapun Syeikh Muhammad Abduh mengatakan bahawa ayat ini menjadi jawapan kepada putar belit kaum Yahudi.

Mereka mengatakan bahawa jika nabi Muhammad saw mengaku ajarannya adalah sebahagian daripada dakwah nabi Ibrahim maka mengapa Baginda menghalalkan makanan yang telah diharamkan dalam syariat nabi Ibrahim seperti daging unta atau susu unta. Selain itu mereka juga mengatakan mengapa kiblat umat Islam telah ditukarkan mengadap kiblat di Mekah bukan kearah Baitulmaqdis di Palestin.

Ayat ini menjawab bahawa ajaran yang mengharamkan makanan tertentu seperti daging unta atau susu unta itu tidak ada sebenarnya dalam syariat nabi Ibrahim.

Ajaran itu samada bermula pada zaman nabi Yaakub, atau ia adalah ciptaan Bani Israel sendiri.

Al-Quran mencabar mereka membawakan hujah dari Taurat jika dakwaan mereka itu benar.

Jumaat
2 Sya’ban 1441
27 Mac 2020
Ustaz Dr Rosli Mokhtar
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Untuk sumbangan pembangunan Tadabbur Wahyu:
TADABBUR WAHYU SOLUTION (May Bank No Ac:562263546814 ) Maklumkan sumbangan anda dengan whatsapp 01158935652
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Rujukan: al-Tahrir wa al-Tanwir, Tafsir al-Manar, Tafsir al-Qurtubi, Tafsir al-Muharrar al-Wajiz dll.
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Untuk terima Siri Tadabbur Wahyu sila whatsapp 01158935652
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Atau sila klik link di bawah:
https://t.me/tadabbur_wahyu
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Atau dari Carian Telegram, taip perkataan Tadabbur atau Wahyu, pilih Tadabbur Wahyu untuk sertai channel Tadabbur Wahyu.
🌟🌟🌟🌟🌟🌟

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *