**TADABBUR WAHYU SIRI 555**

**3.61.1 Tadabbur Surah ‘Ali Imran Ayat 95**

قُلْ صَدَقَ اللَّهُ فَاتَّبِعُوا مِلَّةَ إِبْرَاهِيمَ حَنِيفًا وَمَا كَانَ مِنَ الْمُشْرِكِينَ.
Katakanlah (wahai Muhammad): “Benarlah (apa yang difirmankan oleh) Allah, maka ikutilah kamu akan agama Nabi Ibrahim yang lurus (berdasarkan Tauhid), dan bukanlah dia dari kalangan orang-orang musyrik.

Ayat ini menegaskan lagi jawapan yang telah di berikan kepada kaum Yahudi dalam ayat yang lepas.

Ini kerana nabi saw telah mencabar mereka agar membawa daripada kitab Taurat ayat yang mengharamkan makanan yang baik sebelum ia diharamkan oleh Bani Israel sendiri.

Jika kamu tidak dapat menjawab cabaran itu kerana sebenarnya ia hanya rekaan kamu sahaja, maka hendaklah kamu mengakui kebenaran yang dibawa oleh nabi Muhammmad saw.

Ini kerana tanpa wahyu dari Allah Baginda tidak dapat mengetahui semua itu. Baginda tidak mengetahui perincian kitab Taurat dan ajaran Yahudi. Semua pengetahuan yang Baginda ada adalah wahyu dari Allah.

Inilah hikmahnya nabi Muhammad saw tidak pandai membaca dan menulis. Sekiranya Baginda pandai membaca dan menulis sudah tentu Baginda akan dituduh mengkritik kitab Taurat setelah mengkajinya terlebih dahulu.

Jika keadaan ini telah tidak dapat disangkal lagi, maka ikutlah ajaran nabi Muhammad saw yang sama asasnya dengan ajaran nabi Ibrahim. Nabi Ibrahim adalah seorang nabi yang hanif iaitu tidak melencong ajarannya.

Ajaran agama yang benar dimulakan seperti sebatang jalan yang lurus. Kerana jalan yang lurus akan menyampaikan seseorang kepada destinasi yang dituju.

Lurus juga bermaksud tidak condong iaitu tidak hilang keseimbangannya. Ajaran Baginda adalah lurus iaitu tidak berlebihan dalam mengamalkan sesuatu dan tidak bersifat mengabaikan sesuatu tuntutan.

Ajaran wasatiayah (seimbang) adalah sifat ajaran Islam. Nabi Ibrahim juga sama ajaran dengan nabi Muhammad saw dari sudut, dia tidak melakukan sebarang perbuatan syirik kepada Allah.

Sedangkan ajaran Yahudi dan Nasrani telah diresapi oleh kepercayaan syirik. Kaum Yahudi mempercayai Uzair adalah anak tuhan dan kaum Nasrani pula  beriman bahawa nabi Isa itu anak tuhan. Kepercayaan seperti ini telah tersasar dari ajaran yang  benar dan terkeluar dari jalan yang lurus.

Ahad
4 Sya’ban 1441
29 Mac 2020
Ustaz Dr Rosli Mokhtar
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Untuk sumbangan pembangunan Tadabbur Wahyu:
TADABBUR WAHYU SOLUTION (May Bank No Ac:562263546814 ) Maklumkan sumbangan anda dengan whatsapp 01158935652
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Rujukan: al-Tahrir wa al-Tanwir, Tafsir al-Manar, Tafsir al-Qurtubi, Tafsir al-Muharrar al-Wajiz dll.
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Untuk terima Siri Tadabbur Wahyu sila whatsapp 01158935652
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Atau sila klik link di bawah:
https://t.me/tadabbur_wahyu
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Atau dari Carian Telegram, taip perkataan Tadabbur atau Wahyu, pilih Tadabbur Wahyu untuk sertai channel Tadabbur Wahyu.
🌟🌟🌟🌟🌟🌟

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *