**TADABBUR WAHYU SIRI 579**

**3.81.1 Tadabbur Surah ‘Ali Imran Ayat 118**

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آَمَنُوا لَا تَتَّخِذُوا بِطَانَةً مِنْ دُونِكُمْ لَا يَأْلُونَكُمْ خَبَالًا وَدُّوا مَا عَنِتُّمْ قَدْ بَدَتِ الْبَغْضَاءُ مِنْ أَفْوَاهِهِمْ وَمَا تُخْفِي صُدُورُهُمْ أَكْبَرُ قَدْ بَيَّنَّا لَكُمُ الْآَيَاتِ إِنْ كُنْتُمْ تَعْقِلُونَ.


118-Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengambil orang-orang yang bukan dari kalangan kamu menjadi “orang dalam” (yang dipercayai). Mereka tidak akan berhenti-henti berusaha mendatangkan bencana kepada kamu. Mereka sukakan apa yang menyusahkan kamu. Telahpun nyata (tanda) kebencian mereka pada pertuturan mulutnya, dan apa yang disembunyikan oleh hati mereka lebih besar lagi. Sesungguhnya telah kami jelaskan kepada kamu keterangan-keterangan itu jika kamu (mahu) memahaminya.

Ayat ini dengan jelas melarang umat Islam dari berpihak kepada kumpulan yang memusuhi agama dan umat Islam.

Keadaan ini sangat jelas pada zaman nabi saw, ini kerana orang-orang Arab Madinah mempunyai hubungan dengan kaum Yahudi  samasa dalam perniagaan atau dalam pertahanan kabilah masing-masing.

Setelah orang Arab Aus dan Khazraj memeluk Islam dan berada bersama dengan nabi saw kumpulan Yahudi sebahagiannya telah menjadi orang munafik dan sebahagian mereka kekal dalam agama Yahudi.

Kedua-dua kumpulan itu mempunyai motif yang sama iaitu melakukan perancangan untuk memerangi nabi saw.

Permusuhan itu dengan jelas disebut dalam ayat ini dan ayat akan datang. Bukti jelas secara praktikalnya telah ditunjukkan dengan tindakan Yahudi mengapi-apikan pergaduhan dan persengketaan antara Aus dan Khazraj.

Langkah itu  hampir sahaja mengheret sahabat  kembali bersengketa dan melancarkan peperangan sesama sendiri.

Kalau tidak kerana tindakan segera nabi saw yang mententeramkan keadaan, sudah tentu pertumpahan darah sesama umat Islam telah berlaku.

Dengan itu ayat ini melarang umat Islam meletakkan persaudaraan mereka kepada orang yang memusuhi umat Islam dan inginkan keburukan kepada mereka.

Ibnu Asyur sewaktu mengupas ayat ini menghubungkan larangn di atas dengan tindakan orang Yahudi  yang telah menimbulkan huru hara.

Begitu juga dengan Syeikh Dr Yusof Al-Qardhawi, beliau juga meletakkan syarat permusuhan dan persengketaan sebagai larangan umat Islam berbaik dengan bukan Islam.

Dr Yusof Al-Qardhawi menolak  kesimpulan yang dibuat oleh setengah pihak yang mengatakan bahawa ayat ini melarang umat Islam berbuat baik kepada orang bukan Islam.

Bahkan beliau juga menolak pandangan  pihak yang menganggap ayat ini melarang orang Islam melantik orang bukan Islam sebagai pemimpin secara mutlak.

Pandangan ini ditulis oleh beliau dalam kitab Fiqh al-Daulah. Beliau berpandangan demikian kerana  terdapat juga ayat al-Quran seperti dalam surah al-Mumtahanah ayat 8 dan 9 yang menyuruh orang Islam berbuat baik kepada bukan Islam.

Al-Qardhawi juga berhujah menggunakan ayat 21 dari surah al-Rum. Perbincangan tentang perkara ini memerlukan ruang yang luas dan perlu merujuk kepada belbagai sumberl lagi.

Apa yang menjadi kesepakatan para ulama ialah melancarkan perang kepada umat Islam sendiri adalah sesuatu yang ditolak.

Rabu
28 Sya’ban 1441
22 April 2020
Ustaz Dr Rosli Mokhtar
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Untuk sumbangan pembangunan Tadabbur Wahyu:
TADABBUR WAHYU SOLUTION (May Bank No Ac:562263546814 ) Maklumkan sumbangan anda dengan whatsapp 01158935652
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Rujukan: al-Tahrir wa al-Tanwir, Tafsir al-Manar, Tafsir al-Qurtubi, Tafsir al-Muharrar al-Wajiz dll.
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Untuk terima Siri Tadabbur Wahyu sila whatsapp 01158935652
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Atau sila klik link di bawah:
https://t.me/tadabbur_wahyu
🌟🌟🌟🌟🌟🌟

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *