**TADABBUR WAHYU SIRI 582**

**3.84.1 Tadabbur Surah ‘Ali Imran Ayat 121-122**

وَإِذْ غَدَوْتَ مِنْ أَهْلِكَ تُبَوِّئُ الْمُؤْمِنِينَ مَقَاعِدَ لِلْقِتَالِ وَاللَّهُ سَمِيعٌ عَلِيمٌ.

121-Dan (ingatlah wahai Muhammad), ketika engkau keluar pada pagi hari dari rumah ahlimu (di Madinah), dengan tujuan menempatkan orang-orang yang beriman pada tempat masing-masing untuk berperang (di medan perang Uhud). Dan (ingatlah), Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.

Ayat ini menyebut keadaan Rasulullah saw ketika sedang bersedia untuk menghadapi peperangan Uhud.

Persediaan ini disebut selepas perbincangan mengenai helah dan tipudaya mereka yang mahu memusnahkan masyarakat yang harmoni dan damai.

Ini kerana salah satu contoh daripada tipudaya mereka ialah sepertimana yang dihadapi oleh masyarakat Islam di Madinah itu.

Sebelum peperangan Uhud Rasulullah saw bermesyuarat dengan sahabat tentang strategi perang. Dalam mesyuarat itu menyaksikan sebahagian pihak berpandangan elok saja tentera Islam bertahan di dalam kawasan Madinah agar musuh dapat dikawal kerana dibimbangi berlaku pemberontakan dari dalam Madinah. Jika mereka keluar jauh agak sukar untuk balik jika apa-apa situasi tidak baik berlaku.

Pandangan nabi dan sebahagian sahabat ini walaubagaimanapun telah ditolak oleh mesyuarat dan keputusan akhir ialah keluar menyerang musuh diperbatasan.

Setelah nabi bermesyuarat Baginda balik kerumah memakai baju besi sebagai persiapan untuk perang.

Beberapa orang sahabat walaubagaimanapun datang menemui nabi untuk membatalkan keputusan mesyuarat dan mereka sebaliknya malu kerana meninggalkan cadangan Rasulullah saw.

Nabi saw walaubagaimanapun enggan untuk bertindak kecuali berdasarkan keputusan mesyuarat dan akhirnya tentera yang dipimpin oleh nabi saw keluar untuk menemui musuh.

Turut serta dalam rombongan tentera itu Abdullah bin Ubai ketua kumpulan munafik dan pengikut beliau.

Sebelum peperangan tercetus Abdullah bin Ubai yelah menarik lebih kurang 300 orang pengikut beliau untuk balik ke Madinah dan tidak mahu menyertai peperangan.

Taktik ini sengaja diwujudkan oleh Abdullah bin Ubai bagi menjatuhkan semangat juang tentera Islam dan memberi semangat kepada pihak musuh.

Biarpun pengkhianatan itu berlaku di waktu yang sangat getir, akan tetapi tentera Islam bergerak ke medan Uhud dengan penuh yakin.

Peperngan Uhud walaubagaimanapun berakhir dengan kekalahan tentera Islam yang menyaksikan lebih tujuh puluh tentera Islam terbunuh sementara lebih dua puluh orang tentera musuh terkorban.

Peperangan Uhud menyaksikan bagaiman keimanan tentera Islam diuji kerana mereka berdepan dengna musuh yang lebih tiga kali ganda ramainya. tentera Islam sekitar 700 orang sementara tentera Mekah pula sekitar tiga ribu orang.

إِذْ هَمَّتْ طَائِفَتَانِ مِنْكُمْ أَنْ تَفْشَلَا وَاللَّهُ وَلِيُّهُمَا وَعَلَى اللَّهِ فَلْيَتَوَكَّلِ الْمُؤْمِنُونَ.

122-(Ingatlah) ketika dua puak dari kamu (pada hari peperangan Uhud itu) terasa lemah semangat (untuk meneruskan perjuangan) kerana takut, padahal Allah Penolong dan Pelindung mereka; dan (jika sudah demikian) kepada Allah sahajalah hendaknya orang-orang yang beriman itu bertawakal.

Dalam masa peperangan Uhud ada beberapa kabilah dari kalangan umat Islam Madinah berasa agak lemah dan mereka mula berfikir untuk berundur.

Namun demikian dengan pertolongan Allah perasaan itu dengan segera hilang dan mereka berjuang sehingga ketitisan darah yang terakhir.

Begitulah tabiat hidup, ada saja kumpulan yang mengkhianati dan gemar mengambil peluang dimasa getir demi mendapat kepenti diri yang sedikit. Semoga kita ditetapkan iman dan diberikan keikhlasan serta ketulusan. Itulah akar tunjang yang mampu berpaut kukuh agar iman yang ada tidak rebah dipukul badai ujian dan cobaan.

Sabtu
2 Ramadhan 1441
25 April 2020
Ustaz Dr Rosli Mokhtar
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Untuk sumbangan pembangunan Tadabbur Wahyu:
TADABBUR WAHYU SOLUTION (May Bank No Ac:562263546814 ) Maklumkan sumbangan anda dengan whatsapp 01158935652
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Rujukan: al-Tahrir wa al-Tanwir, Tafsir al-Manar, Tafsir al-Qurtubi, Tafsir al-Muharrar al-Wajiz dll.
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Untuk terima Siri Tadabbur Wahyu sila whatsapp 01158935652
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Atau sila klik link di bawah:
https://t.me/tadabbur_wahyu
🌟🌟🌟🌟🌟🌟

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *