**TADABBUR WAHYU SIRI 584**

**3.86.1 Tadabbur Surah ‘Ali Imran Ayat 124**

إِذْ تَقُولُ لِلْمُؤْمِنِينَ أَلَنْ يَكْفِيَكُمْ أَنْ يُمِدَّكُمْ رَبُّكُمْ بِثَلَاثَةِ آَلَافٍ مِنَ الْمَلَائِكَةِ مُنْزَلِينَ (124)

124-(Ingatlah wahai Muhammad) ketika engkau berkata kepada orang-orang yang beriman (untuk menguatkan semangat mereka): “Tidakkah cukup bagi kamu, bahawa Allah membantu kamu dengan tiga ribu tentera dari malaikat yang diturunkan?,”

Jumhur atau kebanyakan ulama berpandangan bahawa ayat ini diturunkan semasa perang Uhud tapi mengingatkan nabi dan para sahabat tentang kemenangan mereka dan peperangan Badar.

Sudah tentu kemenangan tentera Islam yang sangat lemah kelengkapannya dalam peperangan Badar adalah hasil dari pertolongan Allah kepada mereka yang beriman.

Mengikut zahir ayat ini, Allah telah membantu tentera Islam dalam peperangan Badar dengan menghantar para malaikat untuk bersama mereka sehingga mereka mencapai kemenangan.

Kebanyakan ahli tafsir berpandangan bahawa malaikat hanya membantu tentera Islam dalam peperangan Badar sahaja dan tidak dalam peperangan yang lain.

Sebahagain kecil ahli tafsir pula menganggap perparangan Uhud juga dibantu oleh malaikat tetapi pandangan ini agak lemah kerana peperangan Uhud berakhir dengan kekalahan tentera Islam.

Syeikh Rashed Redha mengambil pendirian segelintir pandangan ahli tafsir yang mengatakan sebenarnya tidak ada malaikat yang diturunkan dalam mana-mana peperangan walaupun dalam peperangan Badar sendiri.

Bagi aliran ini mereka menganggap ayat yang menerangkan penurunan malaikat dalam peperangan bukan maksudnya mereka menyertai peperangan tetapi bermaksud mereka mendoakan kemenangan kepada pihak Islam.

Syeikh Rashed Redha dan sebahagian kecil ahli tafsir silam beranggapan pertolongan malaikat dalam peperangan Badar adalah dalam bentu mereka menguatkan semangat dan memohon kepada Allah agar memberi kemenangan kepada kaum muslimin.

Perbezaan pandangan ini adalah disebabkan beberapa faktor pertamanya ialah ayat al-Quran yang menceritakan keadaan di Badar, tetapi apakah ia juga berlaku dalam peperagnan Uhud.

Kebanyakan ahli tafsir mengatakan penceritaan ayat hanya untuk memberi semangat di Uhud tetapi malaikat tidak turun disana.

Adapun pertelingkahan ulama mengenai apakah malaikat turun dengan sebenar dan berperang atau hanya berdoa ialah kerana mereka berbeza pandangan dalam memahami ayat ini, samada ia berbentuk literal iaitu zahir malaikat turun atau ia adalah menerangkan tentang makna kiasan tentang doa dan meneguhkan keazaman tentera Islam.

Daripada sokongan hadis-hadis yang banyak menunjukkan bahawa pandangan yang mengatakan malaikat turun dan menyertai tentera Islam dalam peperangan adalah lebih tepat.

Walau apa pun yang difahami oleh ulama berkenaan ayat ini, motif dan maqasid penceritaan ini tetap tercapai.

Iaitu Allah mahu menunjukkan bahawa Dialah Yang Maha Berkuasa memberi pertolongan kepada siapa yang dia kehendaki.

Ketika mana mereka telah berusaha sedaya upaya dan memperlengkapkan diri semaksima mungkin maka pada ketika itu Allah menurunkan pertolongannya. Samada dengan malaikat turun berperang bersama tentera Islam atau dengan cara kesabaran dan azam umat Islam menjadi kuat.

Perkara itu tidak penting yang penting ialah bagaimana pertolongan Allah diberikan kepada hambanya yang berjihad dan mengikhlaskan diri kepada Allah.

Jika dilihat dalam keadaan nabi dan para sahabat samada dalam peperangang Badar atau peperangan Uhud, kita dapati bahawa nabi dan sahabat berusaha semaksima yang mungkin untuk mencapai kemenangan.

Dari awal sebelum perperangan berlaku lagi nabi dan para sahabat bermesyuarat dengan mengatur strategi sehingga berlaku sedikit kekeruhan dalam memilih cara dan lokasi pertempuran.

Setelah sampai di Uhud pula nabi saw mengatur tentera pemanah diatas bukit dan berpesan kepada mereka agar tidak turun walaupun mereka melihat tentera dibawah di sambar burung iaitu mati semuanya.

Begitulah penekanan nabi saw kepada usaha, dengan merancang, mengatur strategi, menyediakan senjata dan tentera. Dalam masa yang sama Baginda dan para sahabat bertawakkal kepada Allah.

Malangnya umat Islam di zaman kelemahan malas berusaha. Sebaliknya berselindung disebalik tawakal dan doa semata-mata kemudian mereka mahukan kecemerlangan dalam perkara yang diceburi.

Itulah salah salah satu faktor kelemahan umat Islam di akhir zaman. Suka berehat, malas bersusah payah dan menjadikan doa dan tawakkal sebagai alasan.

Isnin
4 Ramadhan 1441
27 April 2020
Ustaz Dr Rosli Mokhtar
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Untuk sumbangan pembangunan Tadabbur Wahyu:
TADABBUR WAHYU SOLUTION (May Bank No Ac:562263546814 ) Maklumkan sumbangan anda dengan whatsapp 01158935652
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Rujukan: al-Tahrir wa al-Tanwir, Tafsir al-Manar, Tafsir al-Qurtubi, Tafsir al-Muharrar al-Wajiz dll.
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Untuk terima Siri Tadabbur Wahyu sila whatsapp 01158935652
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Atau sila klik link di bawah:
https://t.me/tadabbur_wahyu
🌟🌟🌟🌟🌟🌟 https://ustazrosli.com/tadabbur-wahyu-siri-582/

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *