**TADABBUR WAHYU SIRI 585**

**3.87.1 Tadabbur Surah ‘Ali Imran Ayat 125**

بَلَى إِنْ تَصْبِرُوا وَتَتَّقُوا وَيَأْتُوكُمْ مِنْ فَوْرِهِمْ هَذَا يُمْدِدْكُمْ رَبُّكُمْ بِخَمْسَةِ آَلَافٍ مِنَ الْمَلَائِكَةِ مُسَوِّمِينَ.

125-Bahkan (cukup), jika kamu bersabar dan bertakwa dan mereka datang menyerang kamu dengan seketika itu juga, niscaya Allah menolong kamu dengan lima ribu Malaikat yang memakai tanda.

Ketika tentera Islam dalam keadaan tertekan dan merasa bimbang dengan bilangan musuh yang jauh lebih ramai daripada mereka, persenjataan musuh jauh lebih baik daripada tentera Islam.

Ketika itu Allah menjanjikan kepada mereka pertolongan dengan seribu orang malaikat. Apabila kebimbangan itu reda maka Allah menjanjikan pertolongan dengan tiga ribu orang malaikat.

Setelah para sahabat di  Badar menunjukkan kesungguhan mereka dengan tidak lari dan teguh berdepan dengan serangan musuh, maka Allah membantu mereka dengan lima ribu orang malaikat.

Mengikut Ibnu Asyur, bilangan seribu itu adalah kerana jumlah tentera musuh adalah seribu orang maka Allah menjanjikan pertolongan dengan jumlah yang sama.

Bilangan tiga ribu pula dijanjikan kerana dalam peperangan zaman itu tiga ribu orang, mengandungi tentera barisan hadapan seribu orang sementara jumlah yang sama berada para bahagian kanan dan seribu orang lagi pada bahagian kiri. Ia menggambarkan satu kumpulan tentera yang kuat.

Dijanjikan lima ribu orang malaikat bermaksud selain daripada tentera barisan hadapan, kanan dan kiri dengan masing-masing seribu orang maka ada lagi tambahan tentera pada bahagian belakang dan antara lapisan kedua ketumbukan penyerang kesemuanya berjumlah dua ribu.

Susunan begini merupakan jumlah tentera yang sangat lengkap dan gambaran akan membawa kemenangan.

Maksud malaikat yang dihantar memakai tanda adalah kiasan kepada tentera yang berani dan gagah. Ini kerana dalam peperangan di zaman itu, seorang tentera yang berani dan mahu menunjukkan keberanian mereka kepada musuh akan mengikat kain pada kepala nya atau pada kepala kuda.

Kain yang diikat itu menjadi tanda kepada musuh agar dengan mudah membezakan panglima itu dari kumpulan mereka Ketika peperangan jarak dekat berlaku. Dengan meletakkan tanda sebegini ia menjadi satu cabaran kepada musuh jika mereka berani maka datanglah menerpa untuk beradu tenaga.

Akhirnya perkataan memiliki tanda menjadi kiasan kepada panglima perang yang berani.

Dalam ayat ini sekali lagi Allah menegaskan bahawa pertolongan Allah itu akan diberikan kepada mereka yang sabar dan bertaqwa kepada Allah.

Pihak yang menyatakan malaikat tidak turun dalam perang Uhud mengatakan bahawa ayat ini menjanjikan kedatangan malaikat untuk menolong mereka dalam perang Uhud dengan syarat mereka sabar dan beretaqwa.

Namun demikian apabila mereka gagal dengan ujian sabar dan taqwa sehingga sebagahian tentera yang ditugaskan oleh nabi agar berkawal diatas bukit Uhud, tiba-tiba telah melanggar arahan itu, maka Allah tidak menghantar malaikat untuk membantu mereka dalam peperangan Uhud.

Melalui peristiwa yang berlaku jelas sekali menunjukkan bahawa maksud sabar dan taqwa dalam arahan ayat diatas ialah tetap berusaha dan mengikut segala kewajipan yang ditetapkan.

Ketika tentera Uhud melanggar arahan nabi agar tetap berada diatas bukit maka pada ketika itu kemenangan tidak diberikan kepada mereka dan mereka dianggap tidak sabar dalam menghadapi ujian.

Jelas sekali daripada apa yang dipamerkan dalam ayat diatas bahawa pertolongan Allah menuntut seorang muslim berusaha sedaya upaya untuk mencapai kejayaan.

Kegagalan dalam melakukan usaha yang sepatutnya dibuat adalah dianggap melanggar syarat sabar dan taqwa.

Selasa
5 Ramadhan 1441
28 April 2020
Ustaz Dr Rosli Mokhtar
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Untuk sumbangan pembangunan Tadabbur Wahyu:
TADABBUR WAHYU SOLUTION (May Bank No Ac:562263546814 ) Maklumkan sumbangan anda dengan whatsapp 01158935652
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Rujukan: al-Tahrir wa al-Tanwir, Tafsir al-Manar, Tafsir al-Qurtubi, Tafsir al-Muharrar al-Wajiz dll.
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Untuk terima Siri Tadabbur Wahyu sila whatsapp 01158935652
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Atau sila klik link di bawah:
https://t.me/tadabbur_wahyu
🌟🌟🌟🌟🌟🌟 https://ustazrosli.com/tadabbur-wahyu-siri-582/

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *