**TADABBUR WAHYU SIRI 586**

**3.88.1 Tadabbur Surah ‘Ali Imran Ayat 126**

وَمَا جَعَلَهُ اللَّهُ إِلَّا بُشْرَى لَكُمْ وَلِتَطْمَئِنَّ قُلُوبُكُمْ بِهِ وَمَا النَّصْرُ إِلَّا مِنْ عِنْدِ اللَّهِ الْعَزِيزِ الْحَكِيمِ.

126- Dan tidak Allah jadikan bantuan tentera malaikat itu melainkan untuk memberi khabar gembira kepada kamu, dan supaya kamu tenteram dengan bantuan itu. Dan (ingatlah bahawa) pertolongan yang membawa kemenangan itu hanya dari Allah Yang Maha kuasa, lagi Maha Bijaksana.

Ayat ini menerangkan betapa ceria tentang pertolongan Allah yang telah diberikan kepada tentera Badar itu adalah satu cara Allah memberikan kegembiraan dan ketenangan kepada kaum muslimin.

Ibnu Asyur menyatakan bahawa cerita pertolongan itu disampaikan dalam gambaran malaikat menyertai peperangan seperti yang dilakukan oleh manusia.

Ia adalah sebagai gambaran kerana penceritaan begitu mudah diterima oleh manusia. Seperti yang kita ketahui gambaran yang diberikan sebelum ini ialah malaikat dalam bentuk meletakkan tanda pada kepala, tersusun dalam barisan pertahanan dan sebagainya.

Dalam rangkap kedua pula Allah menerangkan bahawa kemenangan itu adaah merupakan pertolongan daripada Allah.

Jika diperhatikan, ayat ini datang selepas Allah menceritakan kehadiran malaikat dan pertolongan mereka terhadap kaum muslimin dalam peperangan Badar.

Hal ini sangat perlu diberikan perhatian oleh kaum muslimin. Ini kerana seseorang yang berada dalam keadaan getir mudah meletakkan harapan mereka kepada selain Allah. Tambahan lagi apabila masalah yang dihadapi itu berjaya diatasi. Orang yang lemah imannya akan meletakkan pihak yang menyumbang itu sebagai faktor utama kejayaan.

Oleh itu ayat ini membawa umat Islam lebih jauh dari sekadar mengingatkan bahawa kemenangan mereka adaah dari Allah.

Akan tetapi ayat ini juga mahu mengingatkan umat Islam agar tidak cepat tersasar sehingga meletakkan pengharapan selain kepada Allah.

Sungguhpun malaikat telah datang menolong tentera Islam dan dengan itu tentera Islam yang lemah telah bertukar kepada kuat dan memenangi peperangan, tetapi perlu diingat bahawa semua itu adalah dengan kehendak Allah.

Oleh itu al-Quran tidak menampilkan pujian kepada malaikat, menonjolkan kehebatan mereka dan memuji-muji pertolongan tersebut.

Akan tetapi al-Quran dengan jelas mengembalikan pujian kepada dikembalikan Allah dan pertolongannya.

Sering kali ketika seseorang berada dalam maasalah atau situasi getir dia akan kagum dengan orang yang membantu menyelesaikan masalahnya.

Sudah tentu dari sudut adat kemanusiaan seseorang yang telah berjasa patut diberikan kehomatan dan penghargaan itu tidak dipertikaikan malah digalakkan oleh Islam

Namun demikian dari sudut keimanan dan akidah maka semua itu perlu dirujuk kepada kehendak Allah dan nikmatnya yang dilimpahkan kepada manusia.

Kepincangan dalam memahami hakikat ini menjadikan sebahagian umat islam cepat kagum dengan seseorang contohnya apabila didapati doa seseorang telah makbul dan diperkenankan oleh Allah.

Kejahilan telah menyebabkan mereka memuja dan meninggikan orang tersebut sedangkan dia hanya berdoa kepada Allah. Sedangkan Allahlah yang patut dipuja dan disyukuri kerana Dialah yang sebenarnya Maha Berkuasa, Maha Besar dan Maha Memberi.

Al-Quran mengembalikan jiwa muslim agar meletakkan Allah sebagai tuhan yang mesti dimuliakan dan kepadaNya diletakkan pengharapan.

Rabu
6 Ramadhan 1441
29 April 2020
Ustaz Dr Rosli Mokhtar
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Untuk sumbangan pembangunan Tadabbur Wahyu:
TADABBUR WAHYU SOLUTION (May Bank No Ac:562263546814 ) Maklumkan sumbangan anda dengan whatsapp 01158935652
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Rujukan: al-Tahrir wa al-Tanwir, Tafsir al-Manar, Tafsir al-Qurtubi, Tafsir al-Muharrar al-Wajiz dll.
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Untuk terima Siri Tadabbur Wahyu sila whatsapp 01158935652
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Atau sila klik link di bawah:
https://t.me/tadabburwahyu

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *