**TADABBUR WAHYU SIRI 593**

**3.95.1 Tadabbur Surah ‘Ali Imran Ayat 135**

وَالَّذِينَ إِذَا فَعَلُوا فَاحِشَةً أَوْ ظَلَمُوا أَنْفُسَهُمْ ذَكَرُوا اللَّهَ فَاسْتَغْفَرُوا لِذُنُوبِهِمْ وَمَنْ يَغْفِرُ الذُّنُوبَ إِلَّا اللَّهُ وَلَمْ يُصِرُّوا عَلَى مَا فَعَلُوا وَهُمْ يَعْلَمُونَ.

135-Dan juga orang-orang yang apabila melakukan perbuatan keji, atau menganiaya diri sendiri, mereka segera ingat kepada Allah lalu memohon ampun terhadap dosa mereka – dan sememangnya tidak ada yang mengampunkan dosa melainkan Allah dan mereka juga tidak meneruskan perbuatan keji yang mereka telah lakukan itu, sedang mereka mengetahui (akan salahnya dan akibatnya).

Ayat ini meneruskan lagi penerangan tentang sifat-sifat orang yang bertaqwa dan berjaya.

Kali ini ditambah dengan sifat penting iaitu menyesali perbuatan buruk.

Sudah tentu setiap orang manusia tidak akan terlepas daripada melakukan kesilapan. Namun demikian yang membezakan seorang yang baik dengan seorang yang buruk akhlaknya ialah orang yang baik akan sanggup mengakui kesilapan mereka.

Ayat ini menamakan perbuatan buruk dengan nama “fahisyah” dan “menzalimi diri sendiri”.

Berbagai pandangan ulama telah diutarakan bagi menerangkan mengapa Allah mengulangi dua kali iaitu “fahisyah” dan “menzalimi diri sendiri”.

Walau apa pun tafsiran mereka ia kembali kepada makna bertaubat dari kesalahan dan dosa.

Adalah mustahil untuk dianggap seorang itu benar-benar menyesal jika dia bertaubat daripada dosa-dosa tertentu sahaja secara terpilih.

Ini kerana seorang muslim mahukan keredaan tuhan dan keseluruhan dosa adalah halangan bagi seorang manusia untuk mendapat keredaan tuhan.

Apa yang menarik dalam ayat ini antaranya apabila Allah menamakan perbuatan dosa sebagai perbuatan menzalimi diri sendiri.

Seperti mana ayat-ayat lain apabila Allah mahu menerangkan tentang dosa, maka banyak sekali ayat yang menggunakan istilah “orang yang menzalimi diri sendiri”.

Ini kerana seorang yang melakukan dosa walaupun dengan menzalimi orang lain, namun pada hakikatnya disisi Allah dia hanya menzalimi dirinya sendiri.

Yang demikian itu kerana kehidupan dunia ini hanyalah sementara dan mereka yang melakukan dosa akan benar-benar rugi kerana rugi dalam kehidupan akhirat . Sedangkan kehidupan di akhirat itulah kehidupan yang hakiki disisi Allah.

Melalui ayat ini Imam Al-Ghazali telah merumuskan bahawa sifat yang mahu diajar dalam ayat ini ialah bertaubat.

Melalui ayat ini juga Imam al- Ghazali menyatakan bahawa taubat memerlukan kepada tiga perkara.

Pertama ilmu, ini kerana seseorang itu tidak akan menyesali apa yang dilakukan jika dia tidak mengetahui perkara tersebut adalah salah.

Dengan keperluan ini, maka ilmu menjadi satu tuntutan yang sangat mulia kerana dengannya seseorang itu mampu mengetahui apakah yang dilakukannya itu benar atau sebaliknya.

Tuntutan kedua mengikut Imam al-Ghazali ialah perasaan menyesal. Ini kerana dengan adanya perasaan menyesal, barulah seseorang itu sanggup menerima hakikat bahawa dirinya telah bersalah dan dari situ tindakan seterusnya akan dilakukan olehnya.

Keperluan ketiga ialah meninggalkan perbuatan buruk yang dilakukan. Ini kerana tanpa dia meninggalkan perbuatan buruk itu sudah tentu seseorang itu tidak dianggap bertaubat.

Ini kerana taubat itu sendiri memerlukan seseorang meninggalkan perbuatan buruk yang dilakukan.

Sempena membincangkan persoalan taubat dari perbuatan buruk, maka perlu diingatkan juga ialah perbuatan buruk itu tidak bermakna perbuatan zahir sahaja seperti berjudi, menagih dadah, arah dan sebagainya.

Akan tetapi termasuk juga kesalahan dan dosa yang melibatkan amalan batin, yang tidak nampak oleh mata.

Bahkan maksiat batin ini memerlukan ilmu dan kesedaran untuk mengesannya.

Kesalahan seperti dengki, bakhil , takabur , malas dan sebagainya adalah amalan batin yang jarang manusia mahu bertaubat. Ini kerana sangat sukar mengesan dosa-dosa batin ini terutamanya jika tidak ada ilmu dan pengetahuan.

Rabu
13 Ramadhan 1441
6 Mei 2020
Ustaz Dr Rosli Mokhtar
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Untuk sumbangan pembangunan Tadabbur Wahyu:
TADABBUR WAHYU SOLUTION (May Bank No Ac:562263546814 ) Maklumkan sumbangan anda dengan whatsapp 01158935652
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Rujukan: al-Tahrir wa al-Tanwir, Tafsir al-Manar, Tafsir al-Qurtubi, Tafsir al-Muharrar al-Wajiz dll.
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Untuk terima Siri Tadabbur Wahyu sila whatsapp 01158935652
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Untuk Telegram taip Tadabbur Wahyu

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *