**TADABBUR WAHYU SIRI 595**

**3.97.1 Tadabbur Surah ‘Ali Imran Ayat 137**

قَدْ خَلَتْ مِنْ قَبْلِكُمْ سُنَنٌ فَسِيرُوا فِي الْأَرْضِ فَانْظُروا كَيْفَ كَانَ عَاقِبَةُ الْمُكَذِّبِينَ.

137-Sesungguhnya telah berlaku sebelum kamu (contoh kejadian-kejadian berdasarkan) peraturan-peraturan Allah yang tetap; oleh itu mengembaralah kamu di muka bumi, kemudian perhatikanlah bagaimana akibat orang-orang yang mendustakan (Rasul-rasul).

Menurut Ibnu Asyur ayat ini merupakan perbincangan tentang perang Uhud. Ini kerana Allah memulakan ayat ini dengan penegasan “qad” bermaksud sesungguhnya.

Beliau berpendapat bahawa penegasan ini demi memujuk tentera Islam yang baru sahaja kalah dalam peperangan Uhud.

Maksudnya apa yang telah kamu lalui pada hari ini adalah serupa dengan perjalanan umat terdahulu dimana sunah alam terhadap manusia adalah sama sahaja.

Jika kaum muslimin menang dalam peperangan Badar kini mereka kalah pula dalam peperangan Uhud. Jika hari ini mereka berkuasa dan gagah maka lambat laun mereka akan mengalami kelemahan dan kekalahan pula.

Sunah alam dalam masyarakat yang berupa kekuatan sesuatu kumpulan dan kelemahan mereka akan silih berganti tanpa henti.

Seperti yang diketahui bahawa kekalahan tentera Islam dalam peperangan Uhud adalah disebabkan oleh kesilapan sebahagaian daripada pejuang yang berkawal diatas bukit yang telah turun daripada kedudukan mereka, sebelum menerima arahan daripada Rasulullah saw.

Dengan tindakan mereka itu, maka tentera Islam telah terdedah kepada serangan hendap daripada belakang yang mana tentera mushrikin yang diketuai oleh Khalid al Walid telah mengambil kesempatan keemasan untuk mendapat kemenangan dalam peperangan itu.

Sunah alam yang dimaksdukan disini ialah kemenangan dan kekalahan adalah berdasarkan kepada perkiraan kualiti tentera.

Apabila mereka berdisiplin, patuh dan dapat mengambil sebab-sebab kemenangan maka dengan itu mereka akan mendapat pertolongan dari Allah.

Menurut Ibnu Asyur lagi peristiwa ini juga dijadikan oleh Allah sebagai pengajaran kepada umat Islam yang datang selepas daripada sahabat agar menyedari bahawa tidak ada siapa terselamat daripada kekalahan jika mereka tidak mengambil sunah alam atau sebab-sebab kepada kemenangan.

Sememangnya keadaan ini seperti yang telah disebut oleh ibnu Asyur, sebahagian umat Islam ada yang beranggapan usaha dan perancangan tidak penting yang penting hanya doa dan keikhlasan.

Peristiwa perang Uhud telah membuktikan bahawa sangkaan mereka adalah salah.

Bahkan seorang muslim dituntut agar berusaha dengan sebaik mungkin dengan tidak mengabaikan unsur-unsur sunah alam sebagai faktor yang menjadi perkiraan mereka dalam mendapat sesuatu kejayaan.

Jumaat
15 Ramadhan 1441
8 Mei 2020
Ustaz Dr Rosli Mokhtar
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Untuk sumbangan pembangunan Tadabbur Wahyu:
TADABBUR WAHYU SOLUTION (May Bank No Ac:562263546814 ) Maklumkan sumbangan anda dengan whatsapp 01158935652
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Rujukan: al-Tahrir wa al-Tanwir, Tafsir al-Manar, Tafsir al-Qurtubi, Tafsir al-Muharrar al-Wajiz dll.
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Untuk terima Siri Tadabbur Wahyu sila whatsapp 01158935652
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Untuk Telegram taip Tadabbur Wahyu

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *