**TADABBUR WAHYU SIRI 596**

**3.98.1 Tadabbur Surah ‘Ali Imran Ayat 138-139**

هَذَا بَيَانٌ لِلنَّاسِ وَهُدًى وَمَوْعِظَةٌ لِلْمُتَّقِينَ.
138-(Al-Quran) ini ialah penerangan kepada seluruh umat manusia, dan petunjuk serta pengajaran bagi orang-orang yang (hendak) bertaqwa.

Ayat ini menerangkan kepada yang hadir dalam peristiwa peperangan Uhud dan sezaman dengannya, serta seruan kepada seluruh manusia bahawa pengajaran terhadap apa yang dijelaskan sebelum ini adalah untuk seluruh manusia.

Ini kerana risalah al-Quran bukan untuk menangisi masa silam semata-mata tetapi ia diturunkan untuk membina manusia dan kemanusiaan agar sentiasa berada pada kedudukan yang tinggi dan mulia. Agar menjadi hamba Allah yang menempuh kehidupan dan ujian kehidupan ini dengan penuh ketaqwaan. Inilah risalah al-Quran bagi mereka yang beriman.

وَلَا تَهِنُوا وَلَا تَحْزَنُوا وَأَنْتُمُ الْأَعْلَوْنَ إِنْ كُنْتُمْ مُؤْمِنِينَ.
139-Dan janganlah kamu merasa lemah (dalam perjuangan mempertahan dan menegakkan Islam), dan janganlah kamu berdukacita (terhadap apa yang akan menimpa kamu), padahal kamulah orang-orang yang tertinggi (mengatasi musuh dengan mencapai kemenangan) jika kamu orang-orang yang (sungguh-sungguh) beriman.

Begitulah motivasi yang diberikan oleh Allah sewaktu umat Islam menghadapi kekalahan di medan peperang Uhud.

Kekalahan yang dikecapi itu perlu dipelajari pengajarannya. Sungguhpun ia pahit untuk ditelan tetapi ia menjadi panduan dan pengajaran yang sangat berguna buat hari muka.

Dalam ayat ini Allah menyeru umat Islam agar sentiasa menjadi orang yang melakukan sesuatu untuk meninggikan agamanya, mengajak manusia kepada agama yang benar dan memperjuangkan kebenaran.

Menyertai gerombolan kaum muslimin yang bekerja untuk menyebarkan kebenaran  memerlukan kekuatan yang lebih teguh sehingga dapat  tetap berkorban dengan  cabaran diatas jalan itu.

Ayat ini telah dihayati oleh generasi sahabat, lalu mereka menjadi orang yang menyebar dan membawa Islam keseluruh pelusuk dunia menyampaikan kepada manusia dan menyelamatkan mereka dari kegelapan jahiliah kepada cahaya Islam.

Apabila kelemahan berlaku dalam masyarakat Islam, usaha-usaha memperkasakan agama tidak lagi menjadi agenda utama tetapi apa yang berlaku ramai umat Islam yang hanya berfikir untuk mendapat habuan keduniaan semata-mata.

Tanggungjawab terhadap agama dan mengembangkannya semakin lama semakin kurang diminati.

Dalam masa yang sama lahir pula praktis agama dalam bentuk yang tidak ada pada generasi terawal iaitu mereka yang memilih pengamalan agama dalam perkara yang berkaitan dengan kerohanian dan amalan individu sahaja.

Adapun kepentingan masyarakat dan penyebaran dakwah semakin hari semakin lemah. Ketika situasi ini berlaku maka kelemahan akan menular dalam diri umat Islam.

Apabila kesedaran terhadap meninggikan ajaran agama, menjaga kepentingan masyarakat menjadi keutamaan umat Islam maka pada ketika itu kedudukan umat Islam akan berubah dari lemah kepada kuat, daripada terpinggir kepada mendaului umat yang lain.

Begitulah berlalunya sunnah alam di sepanjang zaman sehinggalah dunia ini sampai kepenghujungnya.

Sabtu
17 Ramadhan 1441
10 Mei 2020
Ustaz Dr Rosli Mokhtar
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Untuk sumbangan pembangunan Tadabbur Wahyu:
TADABBUR WAHYU SOLUTION (May Bank No Ac:562263546814 ) Maklumkan sumbangan anda dengan whatsapp 01158935652
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Rujukan: al-Tahrir wa al-Tanwir, Tafsir al-Manar, Tafsir al-Qurtubi, Tafsir al-Muharrar al-Wajiz dll.
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Untuk terima Siri Tadabbur Wahyu sila whatsapp 01158935652
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Untuk Telegram taip Tadabbur Wahyu

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *