**TADABBUR WAHYU SIRI 597**

**3.99.1 Tadabbur Surah ‘Ali Imran Ayat 140**
إِنْ يَمْسَسْكُمْ قَرْحٌ فَقَدْ مَسَّ الْقَوْمَ قَرْحٌ مِثْلُهُ وَتِلْكَ الْأَيَّامُ نُدَاوِلُهَا بَيْنَ النَّاسِ وَلِيَعْلَمَ اللَّهُ الَّذِينَ آَمَنُوا وَيَتَّخِذَ مِنْكُمْ شُهَدَاءَ وَاللَّهُ لَا يُحِبُّ الظَّالِمِينَ.

140-Jika kamu (dalam peperangan Uhud) mendapat luka (tercedera), maka sesungguhnya kaum (musyrik yang mencerobohi kamu) itu telah (tercedera juga dan) mendapat luka yang sama (dalam peperangan Badar). Dan demikian itulah keadaan hari-hari (dunia ini dengan peristiwa-peristiwa kemenangan atau kekalahan), kami gilirkan dia antara sesama manusia, (supaya menjadi pengajaran) dan supaya nyata apa yang diketahui Allah tentang orang-orang yang tetap beriman (dan yang sebaliknya), dan juga supaya Allah menjadikan sebahagian di antara kamu orang-orang yang mati Syahid. Dan (ingatlah), Allah tidak suka kepada orang-orang yang zalim.

Ayat ini mengingatkan kepada tentera Islam tentang hari kemenangan mereka bagi memberi semangat dan menghidupkan jiwa mereka yang sugul dengan kekalahan peperangan  Uhud.

Mengingatkan kekuatan dan pencapaian akan memberikan keyakinan dan membangkitkan semangat untuk meneruskan perjuangan.

Kekalahan bukan bererti penghujug dalam setiap pencapaian.

Ayat ini juga mengingatkan kaum muslimin bahawa keimanan dan keiklasan mereka bukan tiket untuk mereka mencapai keinginan mereka yang murni itu tanpa menghormati hukum alam, ini kerana Allah tidak akan mengubah hukum alam tersebut sepertimana yang diberitahu oleh al-Quran “kamu tidak akan dapati pada hukkum alam itu sebarang perubahan”.

Ayat ini juga mengingatkan kaum muslimin disepanjang zaman bahawa hukum alam terhadap manusia akan terus berlaku. Setiap yang berada di atas akan jatuh juga satu hari nanti sebagaiman setiap yang ada dibawah akan bergerak naik juga akhirnya.

Setiap kuasa, dinasti atau empayar walau bagaimanapun kukuh akan bertukar menjadi lemah dan musnah apabila mereka memiliki sebab-sebab kelemahan.

Begitulah kumpulan yang lemah, terbiar dan terpinggir akan bertukar menguasai suasana apabila mereka memiliki sebab-sebab kekuatan.

Oleh itu umat Islam mestilah mempelajari dan berusaha untuk mendapat sebab-sebab kekuaan itu dan menjauhi punca kelemahan dan kemusnahan.

Ayat ini juga menerangkan bahawa kekalahan, kesakitan adalah sesuatu yang amat sukar untuk diterima, namun demikian disebalik setiap keburukan itu ada tersembunyi kebaikan.

Mungkin kamu benci menghadapi sesuatu kesukaran dan kepahitan tetapi ianya adalah baik untuk kamu.
Melalui kepahitan kekalahan dan ujian Allah membuktikan keimanan dan keikhlasan seseorang.

Walaupun ilmu Allah menjangkau ilmu manusia dan Allah tidak memerlukan sebarang bukti untuk mengetahui sesuatu, namun keadilana Allah menjadikan pemberian dan hukumannya berlandaskan kepada bukti yang dapat difahami oleh manusia.

Dengan itu disebalik kepahitan kekalahan itu ada tersimpan rahsia Allah yang mahu membalas mereka yang bersabar ketika berdepan dengan ujian Allah.

Sementara mereka yang mengutamakan kehidupan dunia akan terbukti usaha mereka dan tiada lagi alasan serta ungkitan yang dapat dibuat pada hari pembalasan nanti.

Melalui ujian juga Allah memberikan jalan kebajikan sehingga terbukanya ruang untuk manusia mencari kelebihan dan anugerah Allah.

Dengan wujudnya situasi getir maka ia memudahkan kepada manusia untuk memilih jalan pengorbanan dan perjuangan sehingga keadaan ini, walaupun pahit ketika di dunia tetapi ia merupakan pintu-pintu untuk kealam syurga.

Maka berbahagialah mereka yang mengambil jalan kebajikan dan menjadikan dunia sebagai tempat untuk menimba pahala dan amal soleh.

Ya Allah jadikanlah kami dari kalangan mereka yang berusaha untuk menambahkan kebajikan dan amal yang mulia. Amin amin ya rabal alamin.

Isnin
18 Ramadhan 1441
102 Mei 2020
Ustaz Dr Rosli Mokhtar
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Untuk sumbangan pembangunan Tadabbur Wahyu:
TADABBUR WAHYU SOLUTION (May Bank No Ac:562263546814 ) Maklumkan sumbangan anda dengan whatsapp 01158935652
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Rujukan: al-Tahrir wa al-Tanwir, Tafsir al-Manar, Tafsir al-Qurtubi, Tafsir al-Muharrar al-Wajiz dll.
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Untuk terima Siri Tadabbur Wahyu sila whatsapp 01158935652
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Untuk Telegram taip Tadabbur Wahyu

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *