**TADABBUR WAHYU SIRI 602**

**3.104.1 Tadabbur Surah ‘Ali Imran Ayat 145**

وَمَا كَانَ لِنَفْسٍ أَنْ تَمُوتَ إِلَّا بِإِذْنِ اللَّهِ كِتَابًا مُؤَجَّلًا وَمَنْ يُرِدْ ثَوَابَ الدُّنْيَا نُؤْتِهِ مِنْهَا وَمَنْ يُرِدْ ثَوَابَ الْآَخِرَةِ نُؤْتِهِ مِنْهَا وَسَنَجْزِي الشَّاكِرِينَ.

145-Dan (tiap-tiap) makhluk yang bernyawa tidak akan mati melainkan dengan izin Allah, iaitu ketetapan (ajal) yang tertentu masanya (yang telah ditetapkan oleh Allah). Dan (dengan yang demikian) sesiapa yang menghendaki balasan dunia, kami berikan bahagiannya dari balasan dunia itu, dan sesiapa yang menghendaki balasan akhirat, kami berikan behagiannya dari balasan akhirat itu; dan Kami pula akan beri balasan pahala kepada orang-orang yang bersyukur.

Menurut Syeikh Rashed Redha dalam tafsir beliau tafsir Al-Manar, al-Quran menyentuh persoalan nyawa dan kematian disini adalah rentetan daripada peristiwa kekalahan tentera Islam di Uhud.

Maksud ayat ini ialah setiap orang itu hanya akan mati bila datang kepadanya ketentuan Allah yang telah tertulis dalam ilmunya.

Disebabkan kematian itu telah ditakdirkan, maka kamu tidak perlu takut untuk melawan musuh yang lebih kuat kerana  ajal dan mati ditangan Allah.

Ayat ini juga bermaksud kekalahan dan kematian yang dilalui oleh tentera Islam dalam peperangan Uhud bukanlah menjadi ukuran dalam kebiakan atau keburukan.

Hal ini terjadi kerana ada dikalangan orang munafik yang menjadikan kekalahan tentera Islam di Uhud sebagai kesimpulan untuk menyatakan bahawa kaum muslimin berada dipihak yang salah.

Hal ini tidak benar kerana setelah allayh menerangkan kematian itu sebagai takdir dari Allah maka dijelaskan bahawa siapa yang mahukan pahala dihari akhirat maka allyah akan memberikan untuknya dan begitulah jika manusia mahukan habuan dunia sahaja maka Allah akan memberikan dunia untuknya.

Dengan itu, kebaikan dan keburukan yang diterima dalam hidup ini bukanah menjadi bukti kepada kebenaran atau kesalahan seseorang. Tetapi amalan merekalah yang menjadi nilaian Allah.

Kalau tidak demikian masakan Allah menyatakan bahawa Dia akan memberi balas kepada mereka yang bersyukur. Jika kemenangan sebagai tanda kebenaran sudah tentu tuhan akan berkata Dia akan memberi balasan kepada orang yang menang.

Satu pelajaran lagi yang diperlukan oleh umat Islam masakini ialah bagaimana Allah menjelaskan bahawa kematian itu adalh milik Allah.

Hidup dan mati telah ditakdirkan oleh Allah kepada hambanya.  Para sahabat memahami ayat dengan cara yang betul. Mereka tidak menjadikan ayat seperti ini sebagai alasan untuk berserah semata-mata dan meninggalkan usaha.

Sebaliknya apabila muslim digesa mengingati bahawa hidup dan mati adalah takdir dari Allah, maka apa yang memberi kesan kepada umat Islam ialah lebih berusaha dan giat mengambil sebab-sebab kemenangan tanpa rasa lemah dan malas.

Itulah yang sepatutnya menjadi kesan daripada ayat ini bukannya memahami ayat dengan cara yang negatif sehingga menganggap apa bila nyawa itu milik tuhan maka manusia tidak perlu berusaha dan haya berserah kepada segala takdir tanpa ikhtiar dan usaha.

Kefahaman seperti ini tidak benar dan bertentangan dengan apa yang telah dilakukan oleh para sahabat yang sentiasa
berusaha tanpa rasa lemah dan tanpa rasa jemu.

Ahad
24 Ramadhan 1441
17 Mei 2020
Ustaz Dr Rosli Mokhtar
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Untuk sumbangan pembangunan Tadabbur Wahyu:
TADABBUR WAHYU SOLUTION (May Bank No Ac:562263546814 ) Maklumkan sumbangan anda dengan whatsapp 01158935652
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Rujukan: al-Tahrir wa al-Tanwir, Tafsir al-Manar, Tafsir al-Qurtubi, Tafsir al-Muharrar al-Wajiz dll.
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Untuk terima Siri Tadabbur Wahyu sila whatsapp 01158935652
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Untuk Telegram taip Tadabbur Wahyu

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *