**TADABBUR WAHYU SIRI 604**

**3.106.1 Tadabbur Surah ‘Ali Imran Ayat 147**

وَمَا كَانَ قَوْلَهُمْ إِلَّا أَنْ قَالُوا رَبَّنَا اغْفِرْ لَنَا ذُنُوبَنَا وَإِسْرَافَنَا فِي أَمْرِنَا وَثَبِّتْ أَقْدَامَنَا وَانْصُرْنَا عَلَى الْقَوْمِ الْكَافِرِينَ

Dan tidaklah ada yang mereka ucapkan, selain daripada berdoa dengan berkata: “Wahai Tuhan kami! Ampunkanlah dosa-dosa kami dan perbuatan kami yang melampau dalam urusan kami, dan teguhkanlah kaki kami (dalam perjuangan); dan tolonglah kami mencapai kemenangan terhadap kaum yang kafir

Ayat ini meneruskan penceritaan terhadap keadaan mereka yang telah bersama rasul-rasul terdahulu dengan cara mendatangkan munajat mereka kepada Allah.

Tersirat disebalik munajat mereka ini banyak pengajaran yang dapat dipelajari. Sebagaimana munajat ini sarat dengan mesej yang mahu disampaikan oleh Allah kepada umat nabi Muhammad saw.

Perkara pertama yang nampak dari ayat ini dan beberapa ayat sebelum ini ialah Allah memuji mereka yang terlibat dalam perjuangan.

Mereka yang berjuang mestilah memiliki mesej dalam hidup. Dan mereka sudah tentu memiliki karektor yang berbeza berbanding orang yang tidak memiliki mesej dalam hidup.

Jika ditanya kepada kedua mereka, sudah tentu akan didapati dua jawapan yang sangat berbeza. Mereka yang memperjuangkan sesuatu mesej ada objektif yang jelas dan mereka bekerja kearah itu.

Sementar orang yang tidak ada tujuan dalam hidup akan terumbang ambing mengikut arus tiada hala tuju dan tujuan.

Perjuangan dalam hidup bukan sahaja peperangan dan pertempuran bersenjata tetapi ia juga datang dalam bentuk yang berbagsi.

Ia mungkin dalam bentuk membetulkan salah faham, membela maruah, menyebarkan ilmu dan kefahaman serta berbagai lagi tujuan murni dan mulia.

Kesemua itu menuntut sesorang itu berkorban dalam mencapai cita-cita dan tujuan mereka samada pengorbanan tenaga, masa kerehatan, harta dan juga nyawa.

Pengajaran kedua yang dapat diambil daripada munajat diatas ialah bagaimana setiap perjuangan yang mulia itu mestilah menjadikan pergantungan kepada Allah.

Ini kerana semua perjuangan walau dari bentuk mana sekalipun akan berdepan dengan ujian dan cabaran.

Pejuang kemerdekaan negara kita berdepan dengan ujian nyawa dan  penderitaan ditangkap, dipenjara dan dibuang negara oleh penjajah.

Pejuang ilmu yang mahu menyebarkan kefahaman dan kebenaran berdepan dengan mereka yang jahil, orang-orang yang dengki dan kesempitan hidup dan pengorbanan masa dan tenaga dalam mendidik masyarakat.

Ramai juga pemimpin yang cuba mengangkat martabat bangsa meningkatkan pencapaian ekonomi dan mengeluarkan rakyat dari kejahilan dan kemiskinan tetapi mereka berdepan dengan mentaliti masyarakat yang tidak mahu berubah dan sebagainya.

Begitulah luasnya erti kata perjuangan dalam hidup ini, akan tetapi umat Islam akhir zaman yang kurang memahami mesej al-Quran sering menganggap perjuangan ialah berperang semata-mata.

Dan dengan kefahaman yang sempit ini sering kali pula mereka menjadi mangsa orang-orang yang menangguk di air keruh.

Lalu orang-orang yang ikhlas tetapi kurang kesedaran seperti ini dipergunakan untuk melakukan kerja-kerja keganasan contohnya.

Kerana itu kita biasa mendengar ada pemuda meletupkan diri mereka ditempat awam dinegara mereka sendiri, membunuh ahli masyarakat yang tidak bersalah dan berbagai keganasan yang tiada sebab dan puncanya.

Alangkah perlunya umat Islam masa kini kepada kefahaman yang benar tentang Islam, kefahaman yang murni tentang al-Quran dan sunah sehingga mampu menjalani kehidupan dengan berpandukan ajaran agama yang benar.

Selasa
26 Ramadhan 1441
19 Mei 2020
Ustaz Dr Rosli Mokhtar
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Untuk sumbangan pembangunan Tadabbur Wahyu:
TADABBUR WAHYU SOLUTION (May Bank No Ac:562263546814 ) Maklumkan sumbangan anda dengan whatsapp 01158935652
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Rujukan: al-Tahrir wa al-Tanwir, Tafsir al-Manar, Tafsir al-Qurtubi, Tafsir al-Muharrar al-Wajiz dll.
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Untuk terima Siri Tadabbur Wahyu sila whatsapp 01158935652
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Untuk Telegram taip Tadabbur Wahyu

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *