**TADABBUR WAHYU SIRI 605**

**3.106.1 Tadabbur Surah ‘Ali Imran Ayat 148**

فَآَتَاهُمُ اللَّهُ ثَوَابَ الدُّنْيَا وَحُسْنَ ثَوَابِ الْآَخِرَةِ وَاللَّهُ يُحِبُّ الْمُحْسِنِينَ.

148- Maka, Allah memberikan mereka pahala dunia (kemenangan dan nama yang harum), dan pahala akhirat yang sebaik-baiknya. Dan (ingatlah), Allah sentiasa mengasihi orang-orang yang berbuat kebaikan.

Setelah menerangkan sifat-sifat positif yang terdapat kepada mereka yang memperjuangkan agama, ayat ini menceritakan hasil yang diperolehi oleh mereka yang telah berada pada jalan perjuangan itu.

Sebagai tuhan yang menjadikan manusia, Allah tidak lupa untuk menyebut apa yang disukai oleh manusia dalam kehidupan ini.

Sememangnya maqasid ajaran Islam bukan sahaja tertumpu kepada nikmat di akhirat semata-mata.

Namun demikian nikmat yang didapati adalah nikmat keduniaan sebelum nikmat diakhirat.

Dengan itu, ayat ini menyatakan bahawa orang yang berjuang pada jalan Allah diberikan balasan dunia. Disebut dalam bentuk thawaba ddunya.

Balasan di dunia ini terdiri daripada berbagai nikmat seperti nikmat kemenangan, nikmat dapat menentukan halatuju kehidupan, nikmat terlepas dari kezaliman dan penjajahan.

Termasuk dalam nikmat keduniaan ialah kedudukan yang mulia disisi masyarakat. Ini kerana sejarah akan mencatat perjuangan mereka dan menyebut nama mereka dengan pujian yang baik.

Bahkan, orang yang telah berbakti kepada masyarakat akan menjadi contoh tauladan dan ikutan yang mulia.

Itu semua adalah kemuliaan keduniaan yang diberikan oleh Allah kepada sebahagian manusia secara berbeza.

Dikalangan sahabat nabi misalnya ada yang dikenali nama dan sirah hidup mereka sehingga menjadi sebutan di sepanjang zaman.

Ada pula dikalangan mereka yang tidak tercatat nama mereka dalam sejarah dan tidak dikenali oleh manusia.

Walaupun begitu mereka tetap mulia disisi Allah dan mendapat nikmat dihari akhirat.

Dengan itu Allah menyebut nikmat kedua ialah nikmat di akhirat. Cara nikmat ini disebut bukan sahaja sebagai ianya satu nikmat yang akan dikecapi oleh mereka yang berada dalam perjuangan.  Akan tetapi ia dijelaskan juga dalam ayat yang sangat ringkas ini bahawa nikmat akhiratlah sebenar-benarnya yang terbaik antara nikmat-nikmat yang diberikan kepada para pejuang itu.

Seperti yang dijelaskan sebelum ini, dikalangan para pejuang ada yang tidak mengecapi nikmat di dunia. Contohnya sahabat nabi yang telah gugur di medan perjuangan sebelum Rasulullah mendapat kemenangan dan kuasa pemerintahan.

Di kalangan para pejuang ada yang pula yang tidak dikenali seperti ramai ulama yang gigih berjuang pada zaman dahulu tidak dikenali pada zaman ini kerana kitab-kitab yang mereka karang tidak sampai kepada kita.

Mungkin kitab-kitab itu musnah akibat musnah atas faktor masa atau murid-murid mereka tidak mengembangkan idea-idea mereka.

Ada pula ulama yang pengajaran dan kitab mereka tidak terkenal dan tidak ditakdirkan oleh Allah untuk berkembang dan diterima oleh manusia secara meluas sedangkan mereka adalah orang yang berilmu dan bersungguh sungguh dalam menyebarkannya.

Kesemua nikmat keduniaan itu menjadi kurang penting kerana mereka tetap mendapat pahala dan keredaan Allah serta syurga yang kekal abadi di hari akhirat nanti.

Dengan itu, nikmat dunia ini menjadi sebagai hanya satu nikmat sampingan yang sangat kecil kedudukannya jika dibandingkan dengan kehidupan yang hakiki di akhirat nanti.

Ayat ini juga menjadi peringatan kepada orang yang beriman agar sentiasa menjadikan kejayaan diakhirat sebagai tujuan dan tumpuan yang sebenar.

Dengan itu umat Islam mestilah berwaspada dengan kejayaan mereka di dunia, kerana kejayaan di dunia bukan ukuran sebenar di atas kejayaan manusia.

Semoga kita diberikan dengan kejayaan dunia dan akhirat amin ya Rabbal alamin.

Jumaat
29 Ramadhan 1441
22 Mei 2020
Ustaz Dr Rosli Mokhtar
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Untuk sumbangan pembangunan Tadabbur Wahyu:
TADABBUR WAHYU SOLUTION (May Bank No Ac:562263546814 ) Maklumkan sumbangan anda dengan whatsapp 01158935652
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Rujukan: al-Tahrir wa al-Tanwir, Tafsir al-Manar, Tafsir al-Qurtubi, Tafsir al-Muharrar al-Wajiz dll.
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Untuk terima Siri Tadabbur Wahyu sila whatsapp 01158935652
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Untuk Telegram taip Tadabbur Wahyu

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *