**TADABBUR WAHYU SIRI 608**


**3.109.1 Tadabbur Surah ‘Ali Imran Ayat 152**

وَلَقَدْ صَدَقَكُمُ اللَّهُ وَعْدَهُ إِذْ تَحُسُّونَهُمْ بِإِذْنِهِ حَتَّى إِذَا فَشِلْتُمْ وَتَنَازَعْتُمْ فِي الْأَمْرِ وَعَصَيْتُمْ مِنْ بَعْدِ مَا أَرَاكُمْ مَا تُحِبُّونَ مِنْكُمْ مَنْ يُرِيدُ الدُّنْيَا وَمِنْكُمْ مَنْ يُرِيدُ الْآَخِرَةَ ثُمَّ صَرَفَكُمْ عَنْهُمْ لِيَبْتَلِيَكُمْ وَلَقَدْ عَفَا عَنْكُمْ وَاللَّهُ ذُو فَضْلٍ عَلَى الْمُؤْمِنِينَ.

Dan sesungguhnya, Allah telah menepati janjiNya kepada kamu ketika kamu (berjaya) membunuh mereka (beramai-ramai) dengan izinNya, sehingga ke masa kamu lemah (hilang semangat untuk meneruskan perjuangan) dan kamu berbalah dalam urusan (perang) itu, serta kamu pula menderhaka (melanggar perintah Rasulullah) sesudah Allah perlihatkan kepada kamu akan apa yang kamu sukai (kemenangan dan harta rampasan perang). Di antara kamu ada yang menghendaki keuntungan dunia semata-mata, dan di antara kamu ada yang menghendaki akhirat, kemudian Allah memalingkan kamu daripada menewaskan mereka untuk menguji (iman dan kesabaran) kamu; dan sesungguhnya Allah telah memaafkan kamu, (semata-mata dengan limpah kurniaNya). Dan (ingatlah), Allah sentiasa melimpahkan kurniaNya kepada orang-orang yang beriman.

Ayat ini kembali kepada  berita gembira dan meyakinkan kaum muslimin dengan rahmat Allah serta pertolonganNya.

Di awal ayat, Allah mengingatkan kembali dimana pertolongan Allah telah diberikan kepada tentera Uhud sebagaimana yang Allah janjikan kepada mereka yang beriman.

Ketika itu tentera Islam dapat membunuh musuh yang menyerang mereka dan kemenangan telah berada dalalm gengaman mareka.

Adapun kekalahan yang berlaku selepas itu bukan kerana Allah telah membenci orang yang beriman dan lupa kepada mereka, tetapi diingatkan dalam ayat ini bahawa kekalahan itu disebabkan oleh perbuatan diri mereka sendiri.

Pemberitahuan ini mengisyaratkan kepada seluruh umat Islam agar memperkasakan diri mereka jika mahu berada dalam pertolongan Allah dan kemenangan dalam apa yang dilakukan.

Ayat ini juga mengingatkan kaum muslimin tentang hukum alam yang akan berlaku terhadap manusia tidak kira ketika dan tempatnya.

Nabi saw sendiri hadir dalam peperangan Uhud, meskipun demikian kekalahan telah berada dipihak tentera Islam.

Yang demikian itu kerana kealpaan sebahagaian daripada tentera Islam yang mahu turut sama mengumpul harta rampasan perang.

Mereka meninggalkan tugas berkawal diatas bukit Uhud dan ia telah menjadi punca kekalahan tentera Islam.

Pada zaman itu kedudukan tentera di atas bukit seumpama radar yang mampu mengesan pergerakan musuh dalam pertempuran hari ini.

Ia juga umpama tentera udara yang mampu menyerang musuh dari jauh sehingga mengelakkan serangan secara dekat dan sengit berlaku kepada tentera pejalan kaki.

Apabila sebahagian tentera telah ingkar, maka sistem pertahanan menjadi tidak berkesan. Pada waktu itu Khalid al-Walid yang masih lagi berada dipihak mushrikin Mekah telah mengambil peluang keemasan untuk menyerang tentera Madinah dari arah belakang kedudukan mereka.

Serangan mengejut pihak musuh berlaku ketika tentera Islam sedang asyik mengumpul harta rampasan perang yang ditinggalkan oleh pihak musuh.

Dalam keadaan panik itu ramai tentera Islam yang telah terkorban sehingga Rasulullah saw sendiri cedera dan gigi hadapan baginda patah.

Walaupun sahabat adalah generasi terbaik dan mereka adalah orang yang disayangi oleh Allah, namun apabila mereka melanggar disiplin dan hukum alam maka mereka tetap berdepan dengan natijah yang buruk.

Umat Islam perlulah mengambil pelajaran daripada peristiwa Uhud untuk membuka mata terhadap masalah yang berlaku didepan mereka.

Maslah yang ada dapat diselesaikan jika umat Islam ikhlas mencari punca dan menanganinya dengan tekun.

Masalah kejahilan dalam dunia Islam, masalah kemiskinan, penindasan, masalah jenayah dan berbagai masalah sedang melanda umat Islam.

Apakah punca dan bagaimanakan penyelesainnya perlu difikir dan diperhalusi dengan tekun oleh umat Islam sendiri. Janganlah asyik menunding jari meletakkan punca kepada orang lain.

Semoga diberikan bimbingan dan petunjuk oleh Allah. Amin.

Khamis
5 Syawal 1441
28 Mei 2020
Ustaz Dr Rosli Mokhtar
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Untuk sumbangan pembangunan Tadabbur Wahyu:
TADABBUR WAHYU SOLUTION (May Bank No Ac:562263546814 ) Maklumkan sumbangan anda dengan whatsapp 01158935652
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Rujukan: al-Tahrir wa al-Tanwir, Tafsir al-Manar, Tafsir al-Qurtubi, Tafsir al-Muharrar al-Wajiz dll.
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Untuk terima Siri Tadabbur Wahyu sila whatsapp 01158935652
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Untuk Telegram taip Tadabbur Wahyu

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *