**TADABBUR WAHYU SIRI 609**


**3.110.1 Tadabbur Surah ‘Ali Imran Ayat 153**

إِذْ تُصْعِدُونَ وَلَا تَلْوُونَ عَلَى أَحَدٍ وَالرَّسُولُ يَدْعُوكُمْ فِي أُخْرَاكُمْ فَأَثَابَكُمْ غَمًّا بِغَمٍّ لِكَيْلَا تَحْزَنُوا عَلَى مَا فَاتَكُمْ وَلَا مَا أَصَابَكُمْ وَاللَّهُ خَبِيرٌ بِمَا تَعْمَلُونَ.

(Ingatlah) ketika kamu berundur lari dan tidak menoleh kepada sesiapa pun, sedang Rasulullah memanggil kamu dari kumpulan yang tinggal di belakang kamu (untuk berjuang terus tetapi kamu tidak mematuhinya). Oleh sebab itu Allah membalas kamu (dengan peristiwa) yang mendukacitakan (kekalahan), dengan sebab perbuatan (kamu menderhaka) yang mendukacitakan (Rasulullah) itu, supaya kamu tidak bersedih hati akan apa yang telah luput dari kamu, dan tidak (pula bersedih) akan apa yang menimpa kamu. Dan (ingatlah), Allah Maha Mengetahui dengan mendalam akan apa jua yang kamu lakukan.

Ayat ini menggambarkan salah satu daripada babak dalam peperangan Uhud. Menurrut al-Mubarakfuri dalam kitabnya Arrahiq al-Makhtum, sebahagian tentera telah berundur ketika mana tentera Islam telah menerima kekalahan.

Mereka mula berundur disebabkan serangan hendap yang datang secara tiba-tiba dari arah belakang.

Serangan itu telah dilakkukan sebaik sahaja tentera pemanah yang berada diatas bukit turun tanpa izin nabi saw dan mereka menyertai tentera yang lain mengumpulkan harta rampasan perang.

Serangan hendap musuh itu membuatkan sebahagian tentera mula berundur demi menyelamatkan diri.

Ada kumpulan yang balik ke Madinah dan ada pula yang berundur tetapi mereka segera berpatah balik.

Sebahagian mereka menyerang musuh yang menguasai kawasan bukit Uhud tetapi serangan itu tidak berjaya kerana mereka tidak sempat mengatur strategi yang berkesan, sehingga ada sahabat yang tersalah lalu membunuh sesama sendiri.

Pada ketika itu perhubungan antara  mereka dan Rasulullah saw telah terputus. Pihak musuh menghalang untuk mereka bergabung dengan tentera pengawal nabi saw.

Rasulullah saw menyeru para sahabat agar tetap teguh bertahan dan meneruskan peperangan. Suara nabi itu didengari oleh pihak Quraish lalu mereka dapat mengenal pasti kedudukan nabi saw lalu serangan dipusatkan kearah Baginda.

Keadaan menjadi genting kerana pada masa itu hanya sembilan orang sahabat yang berkawal menjaga nabi saw.

Keadaan berlaku sangat pantas. Dalam masa yang sangat singkat tujuh orang pengawal nabi telah gugur ditangan musuh.

Perhubungan dengan Baginda terputus menyebabkan sebahagian sahabat menyangka Baginda telah mati dan mereka mula mengambil keputusan untuk berjuang hingga ketitisan darah terakhir.

Rangkap kedua ayat ini agak kabur maknanya kerana menerangkan bahawa mereka yang lari itu telah ditimpakan dengan kesedihan tetapi kesedihan itu bertujuan menghilangkan kesedihan yang sedia ada.

Menurut Ibnu Asyur ayat ini bermaksud Allah telah menjadikan kesedihan sahabat dalam mengatur saf dan mengendurkan tekanan mereka pada kedudukan musuh itu sebagai satu cara untuk Allah menghilangkan kesedihan kaum muslimin. 

Ia juga ditafsirkan sebagai kesibukan itu melupakan mereka pada berita angin yang mengatakan nabi telah terkorban dalam serangan musuh itu.

Dengan kesibukan mereka mengatur langkah dan menyusun tentera itu menyebabkan mereka tidak terlalu sedih terhadap berita terkorbannya nabi dan dengan keadaan yang kembali tenang itu mereka dapat bersedia untuk menghadapi musuh dengan lebih yakin. Seterusnya membuatkan musuh mengambil keputusan untuk berundur.

Jumaat
6 Syawal 1441
29 Mei 2020
Ustaz Dr Rosli Mokhtar
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Untuk sumbangan pembangunan Tadabbur Wahyu:
TADABBUR WAHYU SOLUTION (May Bank No Ac:562263546814 ) Maklumkan sumbangan anda dengan whatsapp 01158935652
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Rujukan: al-Tahrir wa al-Tanwir, Tafsir al-Manar, Tafsir al-Qurtubi, Tafsir al-Muharrar al-Wajiz dll.
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Untuk terima Siri Tadabbur Wahyu sila whatsapp 01158935652
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Untuk Telegram taip Tadabbur Wahyu

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *