**TADABBUR WAHYU SIRI 610**

**3.111.1 Tadabbur Surah ‘Ali Imran Ayat 154**

ثُمَّ أَنْزَلَ عَلَيْكُمْ مِنْ بَعْدِ الْغَمِّ أَمَنَةً نُعَاسًا يَغْشَى طَائِفَةً مِنْكُمْ وَطَائِفَةٌ قَدْ أَهَمَّتْهُمْ أَنْفُسُهُمْ يَظُنُّونَ بِاللَّهِ غَيْرَ الْحَقِّ ظَنَّ الْجَاهِلِيَّةِ يَقُولُونَ هَلْ لَنَا مِنَ الْأَمْرِ مِنْ شَيْءٍ قُلْ إِنَّ الْأَمْرَ كُلَّهُ لِلَّهِ يُخْفُونَ فِي أَنْفُسِهِمْ مَا لَا يُبْدُونَ لَكَ يَقُولُونَ لَوْ كَانَ لَنَا مِنَ الْأَمْرِ شَيْءٌ مَا قُتِلْنَا هَاهُنَا قُلْ لَوْ كُنْتُمْ فِي بُيُوتِكُمْ لَبَرَزَ الَّذِينَ كُتِبَ عَلَيْهِمُ الْقَتْلُ إِلَى مَضَاجِعِهِمْ وَلِيَبْتَلِيَ اللَّهُ مَا فِي صُدُورِكُمْ وَلِيُمَحِّصَ مَا فِي قُلُوبِكُمْ وَاللَّهُ عَلِيمٌ بِذَاتِ الصُّدُورِ.
15-Kemudian sesudah (kamu mengalami kejadian) yang mendukacitakan itu, Allah menurunkan kepada kamu perasaan aman tenteram, iaitu rasa mengantuk yang meliputi segolongan dari kamu (yang teguh imannya lagi ikhlas), sedang segolongan yang lain yang hanya mementingkan diri sendiri, menyangka terhadap Allah dengan sangkaan yang tidak benar, seperti sangkaan orang-orang jahiliyah. Mereka berkata: “Adakah bagi kita sesuatu bahagian dari pertolongan kemenangan yang dijanjikan itu?”

Katakanlah (wahai Muhammad):
“Sesungguhnya perkara (yang telah dijanjikan) itu semuanya tertentu bagi Allah, (Dia lah sahaja yang berkuasa melakukannya menurut peraturan yang ditetapkanNya)”. Mereka sembunyikan dalam hati mereka apa yang mereka tidak nyatakan kepadamu. Mereka berkata (sesama sendiri): “Kalaulah ada sedikit bahagian kita dari pertolongan yang dijanjikan itu, tentulah (orang-orang) kita tidak terbunuh di tempat ini?” katakanlah (wahai Muhammad): “Kalau kamu berada di rumah kamu sekalipun nescaya keluarlah juga orang-orang yang telah ditakdirkan (oleh Allah) akan terbunuh itu ke tempat mati masing-masing”. Dan (apa yang berlaku di medan perang Uhud itu) dijadikan oleh Allah untuk menguji apa yang ada dalam dada kamu, dan untuk membersihkan apa yang ada dalam hati kamu. Dan (ingatlah), Allah sentiasa mengetahui akan segala (isi hati) yang ada di dalam dada.

Ayat ini menceritakan bagaimana Allah telah menolong tentera Uhud yang dalam keadaan panik akibat serangan musuh dan pertahanan mereka yang telah dibolosi itu.

Ketika itu Allah menurunkan perasaan mengantuk sehingga para sahabat yang ikhlas dalam perjuangan mereka telah didatangi oleh tidur yang ringan.

Abu Talhah al-Ansari, Azzubair dan Anas menceritakan bahawa mereka merasa mengantuk sehingga pedang yang ada ditangan mereka terjatuh.

Pertolongan Allah itu diberikan bagi menghilangkan rasa takut yang sedang dialami oleh para sahabat.

Selepas mereka mengalami rasa mengantuk dan tertidur ringan, mereka kembali cergas dan melupai kesedihan dan tekanan yang sebelum ini dialami.

Begitulah pertolongan Allah yang telah diberikan kepada merea yang beriman dengan ikhlas.

Adapun sebahagian yang lain pula tidak mengalami situasi itu kerana mereka menyimpan kekufuran dalam hati mereka.

Kaum munafik yang menyesal menyertai peperangan Uhud dan menyalahkan diri mereka mengapa tidak memilih untuk pulang bersama ketua kaum munafikin Abdullah bin Ubai.

Kumpulan tersebut berada dalam penyesalan dan tertekan dengan keadan yang berlaku.
Mereka merasakan, jika mereka tidak menyertai peperangan itu sudah tentu nyawa mereka tidak akan terancam.

Lalu Allah mengingatkan kepada mereka bahawa kematian boleh sahaja menemui mereka tidak kira dimana sahaja seseorang manusai itu berada.

Walau pun berada di rumah yang aman bersama keluarga, jika ketentuan Allah telah sampai, maka kematian akan tetap berlaku.

Penghujung ayat ini Allah mengingatkan bahawa kesusahan yang berlaku dan suasana getir yang dihadapi sebenarnya satu ujian Allah kepada manusia.

Dengan ujian itu Allah membuktikan kepada manusia sejauh mana iman mereka samada benar atau sebaliknya.

Dengan ujian itulah Allah  mengangkat darjat orang-orang yang yakin dan bersabar menempuh setiap ujian.

Oleh itu jika kita mahu mengetahui kedudukan diri kita disisi Allah, maka lihatlah pada kesabaran dan keteguhan dalam mengharungi ujian Allah.

Sabtu
7 Syawal 1441
30 Mei 2020
Ustaz Dr Rosli Mokhtar
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Untuk sumbangan pembangunan Tadabbur Wahyu:
TADABBUR WAHYU SOLUTION (May Bank No Ac:562263546814 ) Maklumkan sumbangan anda dengan whatsapp 01158935652
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Rujukan: al-Tahrir wa al-Tanwir, Tafsir al-Manar, Tafsir al-Qurtubi, Tafsir al-Muharrar al-Wajiz dll.
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Untuk terima Siri Tadabbur Wahyu sila whatsapp 01158935652
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Untuk Telegram taip Tadabbur Wahyu

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *