**TADABBUR WAHYU SIRI 612**

**3.113.1 Tadabbur Surah ‘Ali Imran Ayat 156**

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تَكُونُوا كَالَّذِينَ كَفَرُوا وَقَالُوا لِإِخْوَانِهِمْ إِذَا ضَرَبُوا فِي الْأَرْضِ أَوْ كَانُوا غُزًّى لَوْ كَانُوا عِنْدَنَا مَا مَاتُوا وَمَا قُتِلُوا لِيَجْعَلَ اللَّهُ ذَٰلِكَ حَسْرَةً فِي قُلُوبِهِمْ ۗ وَاللَّهُ يُحْيِي وَيُمِيتُ ۗ وَاللَّهُ بِمَا تَعْمَلُونَ بَصِيرٌ.

156- Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu menjadi seperti orang-orang kufir yang berkata kepada saudara-saudaranya apabila mereka pergi mengembara atau keluar berperang “Kalau mereka tinggal bersama-sama kita, tentulah mereka tidak akan mati dan tidak terbunuh”. (Apa yang mereka katakan itu tidak ada faedahnya) bahkan akibatnya Allah menjadikan yang demikian itu: penyesalan dalam hati mereka. Dan (ingatlah), Allah yang menghidupkan dan yang mematikan, dan Allah sentiasa melihat akan segala yang kamu lakukan.

Ayat ini melarang orang yang beriman daripada mencontohi orang kafir yang berkata kepada saudara mara mereka yang mati dengan berkata “kalau mereka tidak pergi sudah tentu mereka tidak mati”.

Kata-kata seperti ini sebenarnya menggambarkan kepada pembaca bahawa mereka tidak beriman kepada Qada’ dan Qadar.

Menurut Syeikh Rashid Redha, kata-kata itu diucapkan selepas berlakunya kematian . Sedangkan perkara yang telah berlaku tidak dapat diubah lagi. Oleh itu kata-kata seperti itu menjadi sia-sia sahaja.

Para ulama tafsir ada yang membincangkan siapakah yang dimaksudkan dengan orang kafir dalam ayat diatas. Apakah mereka orang kafir ahli kitab, kafir mushrikin atau orang munafik.

Namun demikian Syeikh Rashed Redha tidak berminat umtuk membincangkan siapakah mereka yang dimaksudkan kerana pengajaran ayat itu bukan terletak pada siapakah yang dimaksudkan dalam ayat ini.

Ini kerana fokus sebenar ayat ialah mengajak orang beriman agar mempercayai bahawa segala perkara yang telah berlaku adalah dari ketentuan Allah.

Segala takdir itu adalah dibawah kekuasaan Allah dimana seorang manusia sepatutnya mengakui dan menerimanya dengan hati yang terbuka.

Namun demikian Rashed Radha juga menyatakan bahawa ayat ini telah disalah fahami oleh sebahagian umat Islam sehingga mereka menafikan usaha. Hal ini telah menjadi punca kemunduran umat Islam diakhir zaman ini.

Sedangkan al-Quran telah mengisyaratkan kepada pentingnya perancangan dan usaha yang bersungguh-sungguh dalam mencapai sesuatu matlamat.

Jika diperhatikan kepada ayat perang Uhud sebelum ini, maka tidak ada ruang bagi umat Islam untuk salah faham dalam hal ini.

Ayat sebelum ini dengan jelas menunjukkan bahawa dalam perang Uhud nabi saw dan tentera Islam telah berusaha sedaya upaya untuk memenangi peperangan.

Bahkan apabila mereka melanggar sebab dan punca kemenangan maka mereka mendapat kekalahan sebagai natijah usaha mereka.

Adapun ayat ini menceritakan orang yang tidak beriman dengan ketentuan Allah dan takdirnya. Sementara usaha adalah tugas manusia yang tidak boleh diabaikan kerana itu adalah perintah Allah juga.

Ketentuan Allah adalah apa yang diketahui oleh manusia setelah sesuatu perkara itu terjadi.

Seorang yang miskin tidak boleh memberi alasan, Allah telah menjadikan aku miskin kerana dia diminta berusaha sehingga jika dia berusaha maka itulah ketetapan Allah kepadanya.

Adapun untuk membuat andaian bahawa dia akan tetap miskin maka perbuatan itu adalah diluar dari ilmu manusia.

Dalam ayat ini Allah menyatakan bahawa sifat tidak beriman dengan ketentuan Allah yang dimiliki oleh orang kafir itu menjadi punca kepada kesedihan dan penyesalan yang berlaku dalam diri mereka.

Ini bermakna jika orang beriman bersifat dengan sifat tersebut maka mereka juga akan mengalami keadaan yang sama.

Dengan itu seorang beriman mestilah meletakkan penyerahan kepada Allah dan dalam masa yang sama berusaha sedaya yang mungkin dalam apa sahaja yang mahu dicapai.

Semoga Allah mempermudahkan segala urusan, Amin ya Rabbal Alamin.

Isnin
9 Syawal 1441
1 Jun 2020
Ustaz Dr Rosli Mokhtar
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Untuk sumbangan pembangunan Tadabbur Wahyu:
TADABBUR WAHYU SOLUTION (May Bank No Ac:562263546814 ) Maklumkan sumbangan anda dengan whatsapp 01158935652
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Rujukan: al-Tahrir wa al-Tanwir, Tafsir al-Manar, Tafsir al-Qurtubi, Tafsir al-Muharrar al-Wajiz dll.
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Untuk terima Siri Tadabbur Wahyu sila whatsapp 01158935652
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Untuk Telegram taip Tadabbur Wahyu

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *