**TADABBUR WAHYU SIRI 621**

**3.121.1 Tadabbur Surah ‘Ali Imran Ayat 167**

وَلِيَعْلَمَ الَّذِينَ نَافَقُوا ۚ وَقِيلَ لَهُمْ تَعَالَوْا قَاتِلُوا فِي سَبِيلِ اللَّهِ أَوِ ادْفَعُوا ۖ قَالُوا لَوْ نَعْلَمُ قِتَالًا لَاتَّبَعْنَاكُمْ ۗ هُمْ لِلْكُفْرِ يَوْمَئِذٍ أَقْرَبُ مِنْهُمْ لِلْإِيمَانِ ۚ يَقُولُونَ بِأَفْوَاهِهِمْ مَا لَيْسَ فِي قُلُوبِهِمْ ۗ وَاللَّهُ أَعْلَمُ بِمَا يَكْتُمُونَ.

Dan agar Dia mengethui orang-orang yang munafik dan dikatakan kepada mereka: “Marilah berperang pada jalan Allah atau pertahankanlah (diri, keluarga dan harta benda kamu)”. Mereka menjawab: “Kalaulah kami tahu akan berperang, tentulah kami mengikut kamu”. Mereka ketika itu lebih dekat kepada kufur berbanding iman. Mereka menyebut dengan lidah mereka apa yang tidak ada dalam hatinya. Dan (ingatlah), Allah Maha Mengetahui akan apa yang mereka sembunyikan.

Ayat ini memperincikan lagi mengapa Allah menjadikan musibah telah menimpa perjuangan yang didokong oleh nabi saw dan para sahabat.

Sesungguhnya melalui musibah Allah mahu melihat bukti keimanan, kesungguhan dan keikhlasan hambanya.

Selain itu dijelaskan pula bahawa cabaran dalam perjuangan juga akan membuktikan sifar munafik yang ada dalam diri seseorang.

Penjelmaan sifat ini mungkin baik untuk individu itu sendiri kerana dia sendiri dapat sifat mengambil iktibar dan pelajaran terhadap apa yang berlaku.

Kerap kali berlaku seseorang manusia kurang menyedari hakikat diri sehinggalah pendiriannya terhadap sesuatu isu dinilai dan diperhalusi.

Dengan itu, ada diantara orang-orang munafik yang telah bertaubat setelah menyedari hakikat diri mereka.

Namun demikian ada juga yang telah memilih untuk terus berada dalam jalan kemunafikan sehingga akhir hayat mereka.

Alangkah ruginya orang-orang yang memilih jalan itu walaupun telah ditunjukkan oleh Allah hakikat diri mereka melalui musibah yang berlaku.

Ayat ini menjelaskan dengan terperinci keadaan orang-orang munafik, mereka menyembunyikan apa yang ada dalam diri mereka.

Kekufuran yang ada dalam hati ditutup dengan menzahirkan keislaman dan dengan itu mereka mengharapkan agar dapat mengabui mata nabi saw dan umat Islam.

Salah satu daripada gambaran gelagat kaum munafikin ialah apabila diajak untuk mempertahankan agama dan negara yang menghadapi serangan musuh, mereka berpura-pura tidak mengetahui akan berlakunya peperangan dan mereka menunjukkan bahawa jika mereka mengetahui peperangan ini wujud, maka mereka akan menyertainya.

Hal ini didedahkan oleh Allah yang menyatakan bahawa mereka hanyalah berpura-pura dan mereka sebenarnya mencari alasan semata-mata.

Begitulah pengajaran yang dapat diambil oleh umat Islam sepanjang zaman, bahawa iman yang hakiki adalah iman yang akan melahirkan amal yang benar.

Adapun sekadar dakwaan, maka itu hanyalah sangkaan seseorang sahaja.

Janganlah tertipu dengan diri yang menyangka telah sampai kepada tahap keimanan yang tinggi hanya dengan mengetahui teori dan perbahasan agama semata-mata. Tetapi lihatlah kepada amalan.

Imam Syatibi menjelaskan bahawa ilmu yang benar membawa kepada amalan dan keikhlasan dalam beramal.

Jika ringan dan mudah melakukan amalan maka itu adalah salah satu petanda seseorang itu memiliki jiwa yang sihat dan iman yang baik.

Adapun jika sebaliknya maka hendaklah bermuhasabah agar tidak terpesona dengan sangkaan dan angan-angan sahaja.

Isnin
23 Syawal 1441
15 Jun 2020
Ustaz Dr Rosli Mokhtar
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Untuk sumbangan pembangunan Tadabbur Wahyu:
TADABBUR WAHYU SOLUTION (May Bank No Ac:562263546814 ) Maklumkan sumbangan anda dengan whatsapp 01158935652
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Rujukan: al-Tahrir wa al-Tanwir, Tafsir al-Manar, Tafsir al-Qurtubi, Tafsir al-Muharrar al-Wajiz dll.
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Untuk terima Siri Tadabbur Wahyu sila whatsapp 01158935652
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Untuk Telegram taip Tadabbur Wahyu

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *