**TADABBUR WAHYU SIRI 629**

**3.129.1 Tadabbur Surah ‘Ali Imran Ayat 179**

مَا كَانَ اللَّهُ لِيَذَرَ الْمُؤْمِنِينَ عَلَىٰ مَا أَنْتُمْ عَلَيْهِ حَتَّىٰ يَمِيزَ الْخَبِيثَ مِنَ الطَّيِّبِ ۗ وَمَا كَانَ اللَّهُ لِيُطْلِعَكُمْ عَلَى الْغَيْبِ وَلَٰكِنَّ اللَّهَ يَجْتَبِي مِنْ رُسُلِهِ مَنْ يَشَاءُ ۖ فَآمِنُوا بِاللَّهِ وَرُسُلِهِ ۚ وَإِنْ تُؤْمِنُوا وَتَتَّقُوا فَلَكُمْ أَجْرٌ عَظِيمٌ.
179- Allah tidak sekali-kali akan membiarkan orang-orang yang beriman dalam keadaan yang ada sehingga Dia memisahkan yang buruk (munafik) daripada yang baik (beriman). Dan Allah tidak sekali-kali akan memperlihatkan kepada kamu perkara-perkara yang ghaib akan tetapi Allah memilih dari RasulNya sesiapa yang dikehendakiNya. Oleh itu berimanlah kamu kepada Allah dan Rasul-rasulNya; dan jika kamu beriman dan bertaqwa, maka kamu akan beroleh pahala yang besar.

Sekiranya ayat sebelum ini menerangkan tentang ujian Allah kepada hambanya, maka ayat ini menerangkan pula kenapa Allah menguji manusia.

Ujian Allah itu tidak lain dan tidak bukan untuk menjelaskan hakikat diri manusia, samada mereka itu daripada orang yang beriman sebenarnya atau dari mereka yang munafik.

Mengikut Syeikh Rashed Redha dibdalam tafsir beliau tafsir al-Manar, ujian Allah ini bukan sahaja membezakan antara orang beriman dan orang munafik, akan tetapi turut membezakan antara orang yang kuat imannya dengan orang yang memiliki iman yang lemah.

Hikmah ujiana Allahh ini sangat besar kerana dalam masa yang sama ia dapat mengingatkan orang yang beriman tentang hakikat diri mereka.

Dalam situasi biasa, seorang itu mungkin teruja dengan  amalan yang dilakukan oleh dirinya sehingga menyangka mereka telah menjadi orang yang baik dan tinggi kedudukan disisi Allah.

Akan tetapi kepayahan dan kesusahan akan membuktikan iltizam dan komitmen seseorang itu sama ada untuk kekal bersama kebenaran atau tidak .

Dalam konteks turunnya ayat ini, iaitu dalam suasana peperangan Uhud , pihak tentera Islam diuji dengan berbagai ujian.

Mereka diuji dengan bilangan tentera musuh yang lebih ramai sehingga sebahagian besar orang munafik telah menarik diri dari menyertai peperangan bersama nabi saw.

Tentera Islam yang meneruskan perjuangan diuji lagi dengan kemenangan dan limpahan harta rampasan perang. Keadaan ini menyebabkan ada pula yang telah lupa dengan arahan nabi saw.

Mereka diuji juga dengan kedudukan yang sangat getir apabila menyangka nabi telah wafat, sehingga ada dikalangan tentera Islam yang telah sedia berkorban sebelum ini menganggap tidak perlu lagi mereka mahu berjuang kerana tiada harapan lagi untuk mencapai kemenangan.

Begitulah ujian demi uian yang Allah tentukan dan ia akan terus berlaku dalam kehidupan manusia, walaupun dengan bentuk dan keadaan yang berbeza.

Ini kerana ujian Allah bukan dalam bentuk peperangan sahaja. Ia datang dalam berbagai keadaan dan dalam setiap masa. Cuma ujian peperangan adalah antara ujian yang sangat berat dan sukar.

Dalam rangkap seterusnya al-Quran memberikan perincian tentang perbincangan mengenai ujian Allah.

Ini kerana Allah boleh sahaja memberitahu kepada manusia kadar iman mereka dan Allah boleh sahaja memberikan kedudukan dan ganjaran kepada manusia berdasarkan ilmuNya semata-mata.

Akan tetapi Allah tidak memilih keadaan demikian kerana dunia adalah tempat ujian untuk manusia.

Dengan itu Allah tidak mendedahkan kepada manusia tahap iman mereka secara pengetahuan tentang alam ghaib. Keadaan dosa dan pahala tidak dapat diketahui oleh manusia dengan hanya melalui firasat dan tanggapan mereka.

Sebaliknya  kesenangan dan kesusahan sebagai ujian yang mendedahkan kepada manusia kedudukan iman mereka dan dari situlah diberikan balasan Allah terhadap manusia.

Rabu
3 Zulqa’idah 1441
25 Jun 2020
Ustaz Dr Rosli Mokhtar
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Untuk sumbangan pembangunan Tadabbur Wahyu:
TADABBUR WAHYU SOLUTION (May Bank No Ac:562263546814 ) Maklumkan sumbangan anda dengan whatsapp 01158935652
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Rujukan: al-Tahrir wa al-Tanwir, Tafsir al-Manar, Tafsir al-Qurtubi, Tafsir al-Muharrar al-Wajiz dll.
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Untuk terima Siri Tadabbur Wahyu sila whatsapp 01158935652
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Untuk Telegram taip Tadabbur Wahyu

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *