**TADABBUR WAHYU SIRI 630**

**3.130.1 Tadabbur Surah ‘Ali Imran Ayat 180**

وَلَا يَحْسَبَنَّ الَّذِينَ يَبْخَلُونَ بِمَا آتَاهُمُ اللَّهُ مِنْ فَضْلِهِ هُوَ خَيْرًا لَهُمْ ۖ بَلْ هُوَ شَرٌّ لَهُمْ ۖ سَيُطَوَّقُونَ مَا بَخِلُوا بِهِ يَوْمَ الْقِيَامَةِ ۗ وَلِلَّهِ مِيرَاثُ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ ۗ وَاللَّهُ بِمَا تَعْمَلُونَ خَبِيرٌ.

180-Dan jangan sekali-kali orang-orang yang bakhil dengan harta benda yang telah dikurniakan Allah kepada mereka dari kemurahanNya – menyangka bahawa keadaan bakhilnya itu baik bagi mereka. Bahkan ia adalah buruk bagi mereka. Mereka akan dikalongkan dengan apa yang mereka bakhilkan itu pada hari kiamat kelak. Dan bagi Allah jualah hak milik segala langit dan bumi. Dan (ingatlah), Allah Maha Mengetahui dengan mendalam akan segala yang kamu kerjakan.

Ayat sebelum ini membetul kan salah faham yang sering berlaku dengan meletakkan kesenangan yang dikecapi sebagai tanda seseorang dalam kebenaran dan kebaikan, sementara musibah dan kesusahan sebagai tanda seseorang itu salah dan berada dalam keburukan. Sedangkan kebenaran dan kesesatan diukur dengan ilmu dan fakta.

Dalam ayat ini pula, Allah membetulkan satu lagi salah faham yang sering berlaku kepada manusia.

Salah faham kali ini berupa amalan. Ada orang yang menyangka, apabila mereka tidak menyumbang, bersifat bakhil, menafikan hak yang sepatutnya diberikan maka mereka rasa beruntung.

Dalam erti kata lain, orang yang telah mengabaikan tanggungjawab harta sering tertipu dengan keuntungan yang mereka perolehi.

Ayat ini menggambarkan orang yang mengelak daripada menginfakkan hartanya pada jalan Allah, mereka rasa beruntung kerana hartanya terpelihara dan tidak diberikan kepada pihak yang berhak.

Sebenarnya situasi yang diceritakan oleh ayat ini hanyalah satu sahaja situasi daripada banyak keadaan mereka yang mengabaikan hak.

Kemampuan mereka mengelakkan harta kepunyaan mereka dari susut itu disangkakan sebagai satu keuntungan.

Dalam dunia realiti betapa ramai orang yang mengabaikan hak harta yang wajib keatas mereka.

Ada yang tidak membayar hutang dengan sengaja, tidak membayar upah atau gaji pekerja, tidak memberi nafkah kepada anak dan isteri serta berbagai pengabaian hak harta yang lain.

Kebiasaannya orang seperti ini berasa beruntung, berjaya kerana harta mereka tidak berkurangan. Sering kali juga keadaan seperti ini menimbulkan perasaan bangga dan bermegah diatas apa yang mereka laku.

Dengan bahasa yang mudah, ayat ini menegaskan bahawa mereka yang mengabaikan tanggungjawab harta tidak beruntung.

Ini kerana tindakan mereka itu akan membawa kepada satu situasi yang sangat buruk.

Mereka akan dikenakan azab yang pedih dihari akhirat atas tindakan itu.

Ketahuilah bahawa Allah menguasai alam semesta ini dan dia sebenarnya tidak memerlukan manusia dalam memberikan rezeki kepada manusia.

Akan tetapi, Allah menjadikan situasi keperluan sebahagian manusia terhadap saudaranya sebagai ujian keimanan di atas muka bumi ini.

Jumaat
4 Zulqa’idah 1441
26 Jun 2020
Ustaz Dr Rosli Mokhtar
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Untuk sumbangan pembangunan Tadabbur Wahyu:
TADABBUR WAHYU SOLUTION (May Bank No Ac:562263546814 ) Maklumkan sumbangan anda dengan whatsapp 01158935652
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Rujukan: al-Tahrir wa al-Tanwir, Tafsir al-Manar, Tafsir al-Qurtubi, Tafsir al-Muharrar al-Wajiz dll.
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Untuk terima Siri Tadabbur Wahyu sila whatsapp 01158935652
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Untuk Telegram taip Tadabbur Wahyu

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *