**TADABBUR WAHYU SIRI 650**

**4.2.1 Tadabbur Surah An-Nisa’**

يَا أَيُّهَا النَّاسُ اتَّقُوا رَبَّكُمُ الَّذِي خَلَقَكُمْ مِنْ نَفْسٍ وَاحِدَةٍ وَخَلَقَ مِنْهَا زَوْجَهَا وَبَثَّ مِنْهُمَا رِجَالًا كَثِيرًا وَنِسَاءً ۚ وَاتَّقُوا اللَّهَ الَّذِي تَسَاءَلُونَ بِهِ وَالْأَرْحَامَ ۚ إِنَّ اللَّهَ كَانَ عَلَيْكُمْ رَقِيبًا.

Wahai sekalian manusia! Bertaqwalah kepada Tuhan kamu yang telah menjadikan kamu (bermula) dari diri yang satu (Adam), dan yang menjadikan daripada (Adam) itu pasangannya (isterinya – Hawa), dan juga yang membiakkan dari keduanya – zuriat keturunan – lelaki dan perempuan yang ramai. Dan bertaqwalah kepada Allah yang kamu selalu meminta dengan menyebut-yebut namaNya, serta peliharalah hubungan (silaturrahim) kaum kerabat; kerana sesungguhnya Allah sentiasa memerhati (mengawas) kamu.

Permulaan surah an-Nisa’ mengajak manusia kepada taqwa. Lafaz “ya a’yuhannas” bermksud “wahai manusia”. Ia merujuk kepada dakwah nabi Muhammad saw yang ditujukan kepada seluruh manusia  tanpa kecuali.

Dakwah kepada seluruh manusia itu bukan mengajak kepada ketaatan terhadap nabi saw semata-mata. Ia tidak mengandungi agenda peribadi atau bersifat keduniaan, sebaliknya ia mengajak kepada bertaqwa kepada Allah.

Taqwa mengikut Ibnu Asyur bermaksud menjauhi seluruh perkara yang membawa kepada kemurkaan Allah dan menjaga hak-haknya.

Yang dimaksudkan dengan hak Allah ialah mentauhidkan Allah, mengiktiraf sifat-sifat kesempunaan bagi Allah , mensucikan Allah dari segala syirik sama dari sudut wujudnya Allah atau dari sudut perbuatan atau dari sudut sifat Allah.

Sifat bertaqwa itu digabungkan dengan “rabbakum” bermaksud tuhan kamu.

Ini bagi menunjukkan bahawa kamu sememangnya makhluk Allah yang dicipta olehNya.

Jadi, sememangnya Dia berhak utuk menerima ketaqwaan dari kamu.

Dalam kesempatan ini, Allah menceritakan juga asal-usul manusia yang berasal dari satu keturunan iaitu Adam.

Kemudian diciptakan pula pasangan bagi Adam iaitu Hawa.

Ayat ini menyebut penciptaan Hawa dengan lafaz “wa khalaqa minha
zaujaha”

Ia bermaksud “dan Dia mencipta darinya pasangannya”.

Para ulama berbeza pandangan dalam kejadian Hawa, apakah ia diciptakan daripada rusuk Adam atau ia diciptakan daripada tanah yang sama sepertimana terciptanya Adam.

Ibnu Asyur berpandangan maksud “minha” iaitu “daripadanya” itu merujuk kepada hadis yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim yang mengatakan bahawa wanita dicipta daripada tulang rusuk lelaki.

Walaupun sebahagain ulama mengatakan hadis ini hanya berbentuk perumpamaan dan maksud Hawa dijadikan daripada tulang rusuk adalah kiasan kepada keadaan mereka yang sentiasa memerlukan kepada bimbingan daripada kaum lelaki.

Ibnu Asyur lebih memilih makna zahir bagi hadis diatas dan menjadikan hadis ini sebagai sokongan beliau dalam mentafsirkan ayat diatas.

Walau apa pun perbezaan ulama dalam isu sampingan tentang makna ayat ini, mereka tetap bersatu pandangan dalam mesej sebenar ayat yang menyeru kepada persaudaraan, kerana manusia adalah dari keturunan yang sama.

Dengan itu kesatuan umat Islam adalah lebih kukuh kerana mereka bersatu diatas ketaqwaan dan bersatu diatas asas kemanusiaan.

Ahad
27 Zulqa’idah 1441
20 Julai 2020
Ustaz Dr Rosli Mokhtar
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Untuk sumbangan pembangunan Tadabbur Wahyu:
TADABBUR WAHYU SOLUTION (May Bank No Ac:562263546814 ) Maklumkan sumbangan anda dengan whatsapp 01158935652
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Rujukan: al-Tahrir wa al-Tanwir, Tafsir al-Manar, Tafsir al-Qurtubi, Tafsir al-Muharrar al-Wajiz dll.
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Untuk terima Siri Tadabbur Wahyu sila whatsapp 01158935652
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Untuk Telegram taip Tadabbur Wahyu

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *