**TADABBUR WAHYU SIRI 651**

**4.3.1 Tadabbur Surah An-Nisa 2**

وَآتُوا الْيَتَامَىٰ أَمْوَالَهُمْ ۖ وَلَا تَتَبَدَّلُوا الْخَبِيثَ بِالطَّيِّبِ ۖ وَلَا تَأْكُلُوا أَمْوَالَهُمْ إِلَىٰ أَمْوَالِكُمْ ۚ إِنَّهُ كَانَ حُوبًا كَبِيرًا.

2-Dan berikanlah kepada anak-anak yatim (yang telah baligh) itu harta mereka, dan janganlah kamu tukar-gantikan yang baik dengan yang buruk; dan janganlah kamu makan harta mereka (dengan menghimpunkannya) dengan harta kamu; kerana sesungguhnya (yang demikian) itu adalah dosa yang besar.

Ayat pertama surah an-Nisa’ mengajak kepada taqwa, sementara ayat kedua memeperincikan amalan taqwa.

Salah satu daripada perincian taqwa ialah menunaikan hak orang lain.

Dalam ayat ini Allah menyebut salah satu kumpulan yang lemah yang sering diabaikan hak mereka.
Mereka itu ialah anak yatim.

Pada hakikatnya, umat Islam dituntut memberikan hak kepada semua orang, tidak kira samada mereka itu anak yatim ataupun tidak.

Namun demikian, anak yatim disebut secara khusus kerana mereka adalah pihak yang lemah dan memerlukan perhatian serta pembelaan.

Antara hak yang patut ditunaikan kepada anak yatim ialah memberikan  harta milik mereka.

Ini kerana semasa anak yatim belum matang, harta mereka itu dipegang oleh pemegang amanah.

Setelah mereka mampu mentadbir harta mereka sendiri, maka hak itu perlu dikembalikan oleh pemegang amanah.

Bagi melengkapkan hak anak yatim,  al-Quran melarang pemegang amanah daripada mengambil harta mereka.

Salah satu daripada cara mengambil harta anak yatim ialah dengan memakannya.

Ayat ini menyebut larangan “memakan”. Walaupun begitu larangan sebenar bukan terhenti pada memakan sahaja.

Sebaliknya larangan itu pada semua perkara yang membawa kepada hilangnya harta anak yatim.

Dari semasa ke semasa kita mendengar ada sahaja orang yang melakukan jenayah memakan harta anak yatim.

Sesungguhnya memakan harta anak yatim adalah kezaliman yang sangat besar.

Selasa
29 Zulqa’idah 1441
21 Julai 2020
Ustaz Dr Rosli Mokhtar
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Untuk sumbangan pembangunan Tadabbur Wahyu:
TADABBUR WAHYU SOLUTION (May Bank No Ac:562263546814 ) Maklumkan sumbangan anda dengan whatsapp 01158935652
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Rujukan: al-Tahrir wa al-Tanwir, Tafsir al-Manar, Tafsir al-Qurtubi, Tafsir al-Muharrar al-Wajiz dll.
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Untuk terima Siri Tadabbur Wahyu sila whatsapp 01158935652
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Untuk Telegram taip Tadabbur Wahyu

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *