**TADABBUR WAHYU SIRI 653**

**4.4.1 Tadabbur Surah An-Nisa 4**

وَآتُوا النِّسَاءَ صَدُقَاتِهِنَّ نِحْلَةً ۚ فَإِنْ طِبْنَ لَكُمْ عَنْ شَيْءٍ مِنْهُ نَفْسًا فَكُلُوهُ هَنِيئًا مَرِيئًا.
4-Dan berikanlah kepada perempuan-perempuan itu maskahwin mereka sebagai pemberian yang wajib. Kemudian jika mereka dengan suka hatinya memberikan kepada kamu sebahagian dari maskahwinnya maka makanlah (gunakanlah) pemberian (yang halal) itu sebagai nikmat yang lazat, lagi baik kesudahannya.

Dalam masyarakat jahiliah Arab, orang yang paling lemah ialah anak yatim dan wanita.

Dengan itu Allah memberikan peringatan khas kepada menjaga hak mereka dengan disebut diawal surah an-Nisa’.

Ayat ini ditujukan kepada suami supaya memberikan mahar kepada wanita dan tidak menjadikan sifat malu yang ada pada wanita sebagai alasan untuk mengurangkan hak mereka.

Dalam amalan jahiliah juga, ada kalangan mereka yang tidak memberikan mahar perkahwinan kepada wanita.

Sebaliknya mereka memberikan mahar kepada wali mereka. Dalam keadaan tersebut wanita tidak mendapat apa-apa habuan sebagai mahar perkahwinan mereka.

Dengan itu ayat ini ditujukan kepada para wali agar memberikan mahar perkahwinan kepada wanita dan tidak memakan harta mereka kecuali dengan izin mereka.

Apa yang dapat difahami daripada ayat ini ialah Islam melarang mana-mana adat yang bersifat menafikan hak wanita dalam menerima mahar.

Bukan itu sahaja, malah mahar atau maskahwin adalah hak mutlak wanita yang tidak siapa pun boleh mengambilnya kecuali dengan izin mereka.

Dalam ayat ini, maskahwin dipanggil dengan ‘saduqat”. Menurut Ibnu Asyur, ia dinamakan demikian bagi memberi isyarat bahawa maskahwin bukan bermaksud jual beli terhadap manfaat yang didapati oleh suami dari isteri.

Bahkan ia adalah isyarat kepada adanya tanggungjawab dari kedua pihak samada suami dan juga isteri.

Ini kerana sekiranya mahar dianggap upah kepada khidmat isteri terhadap suami, sudah tentu ianya perlu diberikan sepanjang tempoh perkahwinan secara berulang-ulang.

Ayat diatas juga menafikan pihak yang menolak pemberian mahar kepada wanita atas alasan perkahwinan adalah kehendak kedua-dua pihak.

Selain itu, ada juga sesetengah masyarakat yang menganggap wanitalah yang perlu memberikan mahar kepada pihak lelaki.

Hal ini terjadi mungkin disebabkan oleh pandangan mereka yang melihat wanita mendapat manafaat daripada perkahwinan dan mereka diberikan saraan hidup oleh suami.

Firtah semula jadi manusia menerima dengan mudah hakikat wanita yang patut menerima maskahwin.

Pemberian mahar kepada wanita juga adalah bersesuaaian dengan naluri wanita yang terhibur dengan hadiah.

Sifat semula jadi lelaki pula lebih condong kepada menjadi ketua keluarga dan memikul tanggungjawab.

Namun demikian jika isteri dengan rela hati untuk mengizinkan hak mereka digunakan maka itu tidak dilarang oleh Allah.

Penyerahan hak ini sekaligus mengangkat kedudukan wanita sebagai pihak yang berhak untuk bertindak terhadap harta kepunyaan mereka.

Sedangkan masyarakat jahiliyyah sebahagiannya menganggap wanita tidak berhak untuk memiliki harta.

Dengan hukum ini, kedatangan Islam telah memberikan sinar harapan bagi pihak yang tertindas dan dinafikan hak mereka.

Sabtu
4 Zulhijjah 1441
25 Julai 2020
Ustaz Dr Rosli Mokhtar
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Untuk sumbangan pembangunan Tadabbur Wahyu:
TADABBUR WAHYU SOLUTION (May Bank No Ac:562263546814 ) Maklumkan sumbangan anda dengan whatsapp 01158935652
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Rujukan: al-Tahrir wa al-Tanwir, Tafsir al-Manar, Tafsir al-Qurtubi, Tafsir al-Muharrar al-Wajiz dll.
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Untuk terima Siri Tadabbur Wahyu sila whatsapp 01158935652
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Untuk Telegram taip Tadabbur Wahyu

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *