**TADABBUR WAHYU SIRI 654**

**4.5.1 Tadabbur Surah An-Nisa 5**

وَلَا تُؤْتُوا السُّفَهَاءَ أَمْوَالَكُمُ الَّتِي جَعَلَ اللَّهُ لَكُمْ قِيَامًا وَارْزُقُوهُمْ فِيهَا وَاكْسُوهُمْ وَقُولُوا لَهُمْ قَوْلًا مَعْرُوفًا.

5-Dan janganlah kamu berikan kepada orang-orang yang belum sempurna akalnya akan harta mereka yang ada dalam jagaan kamu dan berilah mereka belanja dan pakaian dari hartanya, dan juga berkatalah kepada mereka dengan kata-kata yang baik.

Ayat ini ditujukan kepada pemegang amanah harta anak yatim yang belum baligh, di mana mereka dilarang daripada menyerahkan harta yang dijaga itu kepada anak yatim.
 
larangan ini adalah bertujuan menjaga kepentingan anak yatim dan menjaga harta mereka daripada hilang.

Arahan ini memberi gambaran yang sangat jelas tentang agama Islam yang menjaga kemaslahatan seseorang.

Kemaslahatan itu yang dijaga oleh Islam tidak bersifat kerohanian semata-mata, bahkan Islam juga memberi penekanan kepada kemaslahatan harta.

Jika sekiranya ayat kedua menyuruh diberikan kepada anak yatim harta mereka dan ayat keempat menyuruh diberikan mahar kepada perempuan yang dikahwini, kini ayat ini melarang diberikan harta kepada mereka yang tidak sempurna akalnya.

Dalam ayat ini, al-Quran tidak menggunakan perkataan “anak yatim yang tidak baligh” secara jelas tetapi sebaliknya menggunakan perkataan “sufaha’”.

Perkataan “sufaha” bermaksud “orang yang tidak sempurna akal”.

Dengan itu dapat difahami juga bahawa harta kepunyaan orang gila dan orang yang tidak waras dalam mentadbir harta mereka perlu dikenakan sekatan.

Ini agar mereka tidak membelanjakan harta tersebut dengan cara yang boleh memudaratkan diri mereka.

Dalam hal ini, peranan pemegang amanah adalah sangat penting dan mereka perlu mentadbir harta yang diamanahkan kepada mereka atas dasar menjaga kepentingan pemilik sebenar harta itu.

Ibnu Asyur menghubungkan perbahasan dalam pentadbiran harta ini dengan permulaan ayat yang menyeru dengan lafaz “wahai manusia” dan bukan dengan “wahai orang beriman”.

Menurut beliau, gaya bahasa sebegini memberi isyarat kepada perlunya diwujudkan sistem yang menjaga kepentingan harta mereka yang berkenaan tidak mengira agama kerana kepentingan harta bersifat umum.

Selain itu, harta seseorang walaupun  bersifat persendirian tetapi ia memberi kesan kepada masyarakat seluruhnya.

Ini kerana dengan membelanjakan harta, seseorang itu memberi manfaat kepada orang lain dan menjadi penggerak kepada ekonomi masyarakat. Kesannya adalah bersifat masyarakat sebenarnya.

Larangan menyerahkan harta anak yatim yang belum cukup umur dalam ayat diatas bukan bersifat mutlak.

Ini kerana harta diperlukan dalam menjalani kehidupan seharian. Dengan itu, ayat ini menyuruh pemegang amanah memberikan keperluan makan dan minum mereka dari harta tersebut.

Disebabkan oleh keperluan manusia hari ini bersifat pelbagai meliputi perbelanjaan pendidikan, perubatan dan sebagainya, maka sudah tentu ia termasuk dalam kebenaran menggunakan harta anak yatim itu.

Apa yang penting ialah pemegang amanah memebelanjakanya mengikut kemaslahaaan mereka.

Imam az-Zamakhsyari menyatakan bahawa ayat ini juga menisyaratkan kepada perlunya harta anak yatim itu dilaburkan oleh pemegang amanah.

Ini kerana harta yang hanya disimpan akan susut apabila dikenakan zakat dan dibelanjakan. Sedangkan harta yang dilaburkan akan memberi manfaat lebih baik dan bersifat jangka panjang kepada anak yatim.

Beliau membuat kesimpulan ini berdasarkan kepada lafas “fi amwaihim” yang disebut dalam ayat diatas.

Ahad
5 Zulhijjah 1441
26 Julai 2020
Ustaz Dr Rosli Mokhtar
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Untuk sumbangan pembangunan Tadabbur Wahyu:
TADABBUR WAHYU SOLUTION (May Bank No Ac:562263546814 ) Maklumkan sumbangan anda dengan whatsapp 01158935652
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Rujukan: al-Tahrir wa al-Tanwir, Tafsir al-Manar, Tafsir al-Qurtubi, Tafsir al-Muharrar al-Wajiz dll.
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Untuk terima Siri Tadabbur Wahyu sila whatsapp 01158935652
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Untuk Telegram taip Tadabbur Wahyu

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *