**TADABBUR WAHYU SIRI 656**

**4.7.1 Tadabbur Surah An-Nisa 8**

وَإِذَا حَضَرَ الْقِسْمَةَ أُولُو الْقُرْبَىٰ وَالْيَتَامَىٰ وَالْمَسَاكِينُ فَارْزُقُوهُمْ مِنْهُ وَقُولُوا لَهُمْ قَوْلًا مَعْرُوفًا.

8-Dan apabila kerabat (yang tidak berhak mendapat pusaka), dan anak-anak yatim serta orang-orang miskin hadir ketika pembahagian itu, maka berikanlah kepada mereka daripadanya, dan berkatalah kepada mereka dengan kata-kata yang baik.

Disamping surah an-Nisa’ menerangkan hukum-hakam yang bersifat halal dah haram, surah ini juga mencerita dan melatih orang yang beriman dengan adab.

Adab hidup dalam masyarakat adalah sangat penting.

Dengan menjaga adab, maka kualiti kehidupan manusia akan menjadi lebih tinggi.

Hidup akan menjadi lebih selesa dan masyarakat akan menjadi lebih bahagia.

Pada zaman dahulu, apabila berlaku kematian, atau penyerahan harta dari pemegang amanah, para waris akan berkumpul.

Jika majlis itu pembahagian harta pusaka, maka ada dikalangan yang hadir akan mendapat habuan peninggalan si mati dan ada pula waris yang jauh yang termahjub atau terdinding.

Mereka tidak mendapat apa-apa habuan.

Disebabkan mereka hadir dan melihat pembahagaian harta itu, maka al-Quran menyuruh orang yang beriman agar memberikan sedikit pemberian kepada mereka.

Pemberian dan hadiah yang diberikan oleh mereka yang mendapat apa-apa habuan sering akan mempertautkan hati dan merapatkan persaudaraan serta persahabatan.

Nabi saw barsabda: Salinglah memberikan hadiah, maka kamu akan berkasih sayang.(Riwayat Al-Baihaqi)

Para ulama berbeza pandangan dalam menentukan hukum memberikan pemberian kepada mereka yang hadir dalam pembahagian harta pusaka dan penyerahan amanah ini.

Sebahagaian daripada mereka mengatakan bahawa ianya wajib dan sebahagian pula mengatakan ianya sunat. Ada pula yang mengatakan bahawa hukum dalam ayat ini telah dimansuhkan dengan ayat pembahagaian pusaka.

Ulama yang mengatakan sunat atau wajib pula ada yang menyempitkan jenis harta yang perlu dihadiahkan kepada harta alih sahaja sementara harta tak alih seperti tanah dan rumah tidak dituntut untuk diberikan sebagai hadiah.

Walau apa pun hukum yang mereka perselisihkan, mereka sepakat menyatakan bahawa memberikan pemberian kepada waris yang menghadiri pembahagian harta samada harta pusaka, harta anak yatim yang telah baligh atau apa- apa harta adalah suatu yang baik dan terpuji.

Ia adalah satu tindakan  yang sangat mulia kerana dapat mengeratkan persaudaraan dan menjauhkan perpecahan serta kebencian.

Selain dari memberikan hadiah, Allah berpesan agar mereka yang mendapat harta itu menuturkan kata-kata yang baik kepada pihak yang hadir.

Walaupun hadiah yang diberikan kepada hadirin itu mungkin sedikit, tetapi kata-kata yang baik akan memberikan kegembiraan kepada mereka.

Dalam ayat ini, dapat dilihat kebesaran agama Allah melalui sifatnya yang universal.

Ini kerana Allah tidak menentukan berapakah kadar diberikan harta pemberian itu dan Allah tidak menetapkan apakah kata-kata yang baik yang perlu diiucapkan kepada para hadirin.

Hal ini diserahkan kepada para pemilik harta dan diberikan kebebasan mengikut keadaan dan zaman.

Keadaan ini memberikan kelonggaran kepada umat Islam untuk mengamalkan tuntutan agama mengikut keadaan semasa dan berdasarkan kepada adat yang boleh diterima dalam masyarakat masing-masing.

Apa yang penting, Islam menggalakkan kepada memberi, menjauhkan sifat bakhil dan berfikir hanya untuk diri sendiri sahaja.

Islam mengajak kepada mengeratkan persaudaran dan hidup berkasih sayang.

Selasa
7 Zulhijjah 1441
28 Julai 2020
Ustaz Dr Rosli Mokhtar
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Untuk sumbangan pembangunan Tadabbur Wahyu:
TADABBUR WAHYU SOLUTION (May Bank No Ac:562263546814 ) Maklumkan sumbangan anda dengan whatsapp 01158935652
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Rujukan: al-Tahrir wa al-Tanwir, Tafsir al-Manar, Tafsir al-Qurtubi, Tafsir al-Muharrar al-Wajiz dll.
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Untuk terima Siri Tadabbur Wahyu sila whatsapp 01158935652
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Untuk Telegram taip Tadabbur Wahyu

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *