**TADABBUR WAHYU SIRI 675**

**4.25.1 Tadabbur Surah An-Nisa 28**

يُرِيدُ اللَّهُ أَنْ يُخَفِّفَ عَنْكُمْ ۚ وَخُلِقَ الْإِنْسَانُ ضَعِيفًا.
28-Allah (sentiasa) hendak meringankan kamu, kerana manusia itu dijadikan berkeadaan lemah.

Ayat ini menerangkan bahawa Allah sentiasa mahu meringankan kepada umat manusia dan bukan sekali-kali bertujuan untuk memayahkan mereka.

Mungkin berlaku kekeliruan apabila Allah melarang manusia dengan tegas daripada perkara tertentu.

Maka disangkakan bagawa agama sifatnya sukar dan menghalang daripada segala kehendak manusia.

Hal ini adalah tidak benar. Menurut Ibnu Asyur, ayat ini menerangkan bahawa apa yang disyariatkan oleh Allah mengandungi kemaslahatan untuk manusia.

Allah menghalalkan perkara yang baik dan bermanfaat. Sementara Allah mengharamkan perkara yang buruk dan memudaratkan manusia.

Menurut beliau lagi, ayat ini sebenarnya menyebut satu asas penting dalam agama Islam iaitu prinsip memudahkan.

Terdapat banyak ayat al-Quran dan hadis yang menerangkan bahawa syariat Islam dibina diatas prinsip memudahkan manusia dan mengelakkan kepayahan.

Dalam surah al-Haj ayat 78, Allah berfirman dengan maksudnya : Dan tidak Allah jadikan untuk kamu dalam perkara agama sesuatu yang memayahkan.

Selai ayat ini, banyak lagi ayat-ayat lain yang mengandungi maksud yang sama.

Dalam hadis pula, nabi saw pernah bersabda maksudnya: Sesungguhnya agama ini mudah sifatnya, tidaklah sesiapapun yang memayahkan agama ini kecuali mereka akan menemui kebuntuan.

Sewaktu Baginda saw menghantar duta Baginda Muaz bin Jabal dan Abu Musa al-Asy’ari, nabi saw bersabda : Permudahkan dan janganlah kamu berdua memayahkan .

Dalam satu peristiwa, Rasulullah saw menerima aduan bahawa Muaz telah memayahkan orang ramai apabila membaca terlalu panjang ketika mengimamkan jemaah.

Mendengarkan aduan itu nabi saw memanggil Muaz dan marah kepada beliau dengan berkata : Apakah engkau menimbulkan fitnah wahai Muaz.

Begitulah sifat agama yang memudahkan dan tidak memayahkan.

Namun demikian dalam zaman kelemahan ilmu dan pengetahuan, ada pihak yang cuba memayahkan pengamalan agama.

Mereka merasakan itulah tanda kekuatan  iman dan  ketaqwaan.

Semoga Allah memandu kita kepada amalan yang benar dan diterima olehnya. Amin

Ahad
4 Muharram 1442
23 Ogos 2020
Ustaz Dr Rosli Mokhtar
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Untuk sumbangan pembangunan Tadabbur Wahyu:
TADABBUR WAHYU SOLUTION (May Bank No Ac:562263546814 ) Maklumkan sumbangan anda dengan whatsapp 01158935652
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Rujukan: al-Tahrir wa al-Tanwir, Tafsir al-Manar, Tafsir al-Qurtubi, Tafsir al-Muharrar al-Wajiz dll.
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Untuk terima Siri Tadabbur Wahyu sila whatsapp 01158935652
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Untuk Telegram taip Tadabbur Wahyu

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *