**TADABBUR WAHYU SIRI 676**

**4.26.1 Tadabbur Surah An-Nisa 29**

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تَأْكُلُوا أَمْوَالَكُمْ بَيْنَكُمْ بِالْبَاطِلِ إِلَّا أَنْ تَكُونَ تِجَارَةً عَنْ تَرَاضٍ مِنْكُمْ ۚ وَلَا تَقْتُلُوا أَنْفُسَكُمْ ۚ إِنَّ اللَّهَ كَانَ بِكُمْ رَحِيمًا.

29-Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu makan harta-harta kamu sesama kamu dengan jalan yang salah, kecuali dengan jalan perniagaan yang dilakukan secara suka sama suka di antara kamu, dan janganlah kamu membunuh diri kamu. Sesungguhnya Allah sentiasa Mengasihani kamu.

Ayat sebelum ini mengingatkan pembaca tentang prinsip Islam yang bukan bertujuan untuk menyusahkan manusia.

Sebaliknya setiap suruhan dan larangan dalam agama mengandungi hikmah dan kemaslahatan terhadap manusia.

Atas tujuan dan prinsip itulah, Allah  menyuruh dan melarang manusia terhadap sesuatu.

Setelah prinsip itu disebut, kini pembaca dijelaskan lagi dengan beberapa larangan Allah.

Pertama sekali disebut larangan terhadap memakan harta dengan cara yang salah.

Sekali lagi diingatkan larangan memakan harta secara batil bermaksud larangan mengambil harta orang lain dengan cara yang salah.

Ia tidak bermaksud larangan memakan sahaja, tetapi merangkumi semua jenis aktiviti yang bersifat mengambil harta secara tidak benar.

Sebahagian umat Islam ada yang mementingkan makanan yang halal tetapi sangat mengabaikan pendapatan yang halal.

Pernah didengari ada orang yang tidak menggunakan hasil penipuan, rasuah dan pecah amanah untuk membeli makanan tetapi mereka menggunakannya untuk melancong, menukar eksesori kenderaan dan sebagainya.

Kefahaman ini adalah tersasar. Ini kerana dosa bukanlah sesuatu yang masuk melalui makanan tetapi ia dikira berdasarkan amalan manusia.

Ayat ini juga menyebut bahawa jalan yang dibenarkan untuk mendapatkan harta ialah melalui perniagaan yang dipersetujui secara sepakat dan sukarela.

Ayat di atas juga telah menyebut satu asas penting dalam muamalat harta iaitu segala kontrak dan transaksi harta mestilah dilakukan dalam keadaan bebas, dimana pihak yang berurusan melakukannya secara rela.

Inilah rahsia pensyariatan dan objektif kepada larangan memakan harta orang lain secara batil.

Tidak lain dan tidak bukan kerana Allah menjaga hak seorang hamba dari diceroboh oleh orang lain.

Dalam rangkap terakhir ayat ini, Allah melarang manusia daripada membunuh diri mereka sendiri.

Larangan ini sebenarnya bermaksud janganlah kamu membunuh orang lain.

Namun demikian Allah menamakan orang lain itu sebagai diri sendiri kerana menggambarkan manusia adalah seperti jiwa yang satu.

Walaupun demikian, larangan membunuh diri sendiri termasuk juga dalam larangan ini.

Kesimpulannya Islam melarang manusia membunuh siapa sahaja yang terpelihara nyawanya.

Adapun mereka yang berhak dibunuh seperti musuh yang mahu memusnahkan negara, orang yang dijatuhkan hukuman mati kerana membunuh dalan lain-lain, maka membunuh orang yang berhak dibunuh adalah tidak termasuk dalam larangan ini.

Satu persoalan yang ditimbulkan oleh Ibnu Asyur dalam tafsir beliau ialah mengapa Allah mendahulukan larangan memakan harta secara batil berbanding dengan larangan membunuh.

Pada pandangan beliau ada dua kemungkinan:

1-Topik perbincangan ayat sebelum ini berkisar sekitar hak dalam harta samada hak anak yatim atau hak isteri yang berupa mahar dan nafkah.

Dengan itu, perbincangan berkaitan  hukum memakan harta secara batil sebenarnya melengkapkan perbincangan yang lepas.

2- Sebelum kedatangan Islam orang Arab memakan harta anak yatim dan harta wanita yang dengan berleluasa.

Mereka melakukannya dalam budaya hidup dalam kabilah dimana ketua kabilah sangat dominan.

Perbuatan membunuh walaupun berlaku tetapi ia tidaklah sekerap kesalahan memakan harta secara batil.

Dengan itu Allah mendahulukan persoalan memakan harta secara batil berbanding larangan membunuh diri.

Rangkap terakhir ayat ini menjelaskan bahawa Allah sangat sayang kepada manusia.

Dalam konteks perbincangan ayat, dapat difahami bahawa syariat Islam diturunkan kepada manusia bukan bertujuan menyusahkan mereka dengan ikatan halal dan haram.

Akan tetapi ia diturunkan atas dasar Allah merahmati manusia lalu Allah menyediakan panduan untuk manusia hidup di dunia ini dalam keadaan yang baik.

Selasa
6 Muharram 1442
25 Ogos 2020
Ustaz Dr Rosli Mokhtar
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Untuk sumbangan pembangunan Tadabbur Wahyu:
TADABBUR WAHYU SOLUTION (May Bank No Ac:562263546814 ) Maklumkan sumbangan anda dengan whatsapp 01158935652
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Rujukan: al-Tahrir wa al-Tanwir, Tafsir al-Manar, Tafsir al-Qurtubi, Tafsir al-Muharrar al-Wajiz dll.
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Untuk terima Siri Tadabbur Wahyu sila whatsapp 01158935652
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Untuk Telegram taip Tadabbur Wahyu

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *