**TADABBUR WAHYU SIRI 677**

**4.27.1 Tadabbur Surah An-Nisa 30**

وَمَنْ يَفْعَلْ ذَٰلِكَ عُدْوَانًا وَظُلْمًا فَسَوْفَ نُصْلِيهِ نَارًا ۚ وَكَانَ ذَٰلِكَ عَلَى اللَّهِ يَسِيرًا.

30-Dan sesiapa berbuat demikian dengan menceroboh dan aniaya, maka kami akan masukkan dia ke dalam api neraka, dan balasan yang sedemikian itu adalah mudah bagi Allah.

Ayat ini mengingatkan satu hakikat yang sangat penting, iaitu siapa yang melakukan pencerobohan terhadap hak orang lain maka Allah akan mengenakan azab neraka.

Amaran ini diberikan selepas kesalahan-kesalahan itu dibentang dan diajarkan kepada pembaca.

Sering kali ilmu yang bersifat teknikal membuatkan seseorang mempunyai maklumat dan ilmu masih tidak mampu mengamalkan ilmu itu.

Betapa ramai orang yang mengetahui tentang dosa dan pahala tetapi dengan mudah mengabaikan batas-batas Allah.

Menceroboh hak orang lain, melakukan kezaliman dan menafikan hak sesama manusia.

Dengan itu, pelajaran terhadap amalan buruk ini diikuti dengan nilai penghayatan dan sentuhan rohani yang tinggi agar lebih mudah untuk bertukar menjadi amalan dan penghayatan.

Mereka yang menceroboh hak orang lain pada kebiasaannya memiliki kedudukan yang lebih tinggi daripada mangsa.

Dengan keadaan itu, mereka mengambil hak orang lain dan menafikan hak mereka yang lemah.

Hal ini berlaku samada dalam lingkungan keluarga, tempat kerja atau dalam lingkungan masyarakat yang lebih besar.

Anak yatim, wanita, pekerja, rakyat dan berbagai pihak yang lemah dengan mudah dinafikan hak mereka.

Pada ketika itu kepada siapakah tempat mereka mengadu dan siapakah yang mampu memberikan hak mereka semula.

Sudah tentu orang yang bertindak zalim terhadap mereka merasakan perbuatan mereka itu tidak akan dapat dihalang dan tidak ada siapa pun yang akan memulangkan hak orang-orang yang lemah itu.

Ketika pelaku kejahatan merasakan dia berada dipihak yang kuat dan boleh berbuat apa sahaja yang dia mahu, maka Allah mengatakan bahawa dia akan menghukum orang yang bertindak zalim itu.

Walaupun mereka dikelirukan oleh pangkat, pengaruh, kedudukan dan mungkin juga harta, maka Allah mengatakan bahawa menghukum mereka itu dengan neraka bukanlah sesuatu yang sukar bagi Allah.

Azab yang pedih untuk penzalim bukan sesuatu yang payah segala apa yang ada di sisi manusia tidak mampu menggugat Allah walau sedikit pun.

Semoga kita menjadi orang yang menunaikan hak orang lain dengan baik dan tidak mencerobohi hak mereka, tertutamanya hak-hak orang yang lebih lemah daripada kita.

Rabu
7 Muharram 1442
26 Ogos 2020
Ustaz Dr Rosli Mokhtar
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Untuk sumbangan pembangunan Tadabbur Wahyu:
TADABBUR WAHYU SOLUTION (May Bank No Ac:562263546814 ) Maklumkan sumbangan anda dengan whatsapp 01158935652
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Rujukan: al-Tahrir wa al-Tanwir, Tafsir al-Manar, Tafsir al-Qurtubi, Tafsir al-Muharrar al-Wajiz dll.
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Untuk terima Siri Tadabbur Wahyu sila whatsapp 01158935652
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Untuk Telegram taip Tadabbur Wahyu

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *