**TADABBUR WAHYU SIRI 678**

**4.28.1 Tadabbur Surah An-Nisa 31**

إِنْ تَجْتَنِبُوا كَبَائِرَ مَا تُنْهَوْنَ عَنْهُ نُكَفِّرْ عَنْكُمْ سَيِّئَاتِكُمْ وَنُدْخِلْكُمْ مُدْخَلًا كَرِيمًا.

31-Jika kamu menjauhkan dosa-dosa besar yang dilarang kamu melakukannya, Kami akan ampunkan kesalahan-kesalahan (dosa kecil) kamu, dan kami akan masukkan kamu ke tempat yang mulia (syurga).

Setelah menyebut dua dosa besar iaitu dosa membunuh dan dosa mendapatkan harta secara batil, maka kini disebut tentang satu maklumat penting dalam Islam.

Ayat ini menyebut bahawa Allah akan mengampunkan dosa yang dipanggil “sayyiaat” jika sekiranya orang beriman menjauhkan diri daripada dosa yang disebut sebagai “kabair”.

Dengan itu jumhur ulama Islam membahagikan dosa kepada dua jenis iaitu dosa besar dan dosa kecil.

Ada juga sebahagiaan kecil ulama yang tidak bersetuju dengan pembahagian ini.

Bagi mereka, semua dosa adalah sama. Mereka condong dengan pandangan ini atas alasan, jika dibahagikan dosa kepada kecil dan besar nescara manusia akan berlengah-lengah dalam meninggalkan dosa kecil.

Ibnu Asyur menolak pandangan ini dan menyokong pandangan jumhur ulama yang membahagikan dosa kepada dosa kecil dan dosa besar.

Ini kerana nas al-Quran dan hadis agak jelas menunjukkan adanya perbezaan antara dua kategori diatas.

Dalam ayat ini sendiri Allah menyebut jika orang beriman menjauhkan dosa-dosa besar nescaya Allah akan mengampunkan dosa “sayyiat’.

Namun demikian, para ulama yang membahagikan dosa kepada kecil dan besar ini telah tidak sepakat dalam menentukan secara tepat apakan dosa-dosa kecil dan besar tersebut.

Apa yang jelas ialah kajian tentang dosa besar dan kecil ini menemukan pula dengan satu hakikat lagi iaitu ada dosa yang sangat besar berbanding dengan dosa besar yang lain dan ada pula dosa yang sangat kecil jika dibandingkan dengan dosa kecil yang lain.

Antara hadis yang menjadi neraca dalam menentukan dosa yang sangat besar ialah sabda Rasulullah saw bermaksud:

Jauhilah tujuh perkara yang membinasakan. Para sahabat bertanya: apakah perkara itu wahai Rasulullah. Nabi saw menjawab: Syirik kepada Allah, mengamalkan sihir, membunuh dengan tidak ada kebenaran, makan riba, memakan harta anak yatim, lari dari medan peperangan dan menuduh perempuan yang suci berzina.
(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Jika diperhatikan dalam hadis nabi diatas, dapat juga dilihat bahawa dalam tujuh dosa besar yang disebut itu ada pula dosa yang tersangat besar berbanding dosa-dosa lain.

Ini kerana dosa syirik mengeluarkan seseorang daripada Islam. Dosa lain walaupun besar tetapi tidak mengeluarkan pelakunya daripada agama suci ini.

Disebabkan banyak ayat al-Quran dan hadis membincangkan berkaitan dosa maka para ulama telah membuat berbagai pandangan tentang dosa besar dan kecuil.

Antara pandangan yang baik ialah daripada Imam Al-Haramain al-Juwaini mengatakan bahawa dosa besar ialah dosa yang mana pelakunya itu dalam keadaan meremehkan halal dan haram.

Imam Izuddin bin Abdu Salam menyatakan: Dosa besar ialah dosa yang besar kesan buruknya dan dosa kecil ialah dosa yang kecil kesan buruknya kepada manusia.

Dalam ayat ini, Allah berjanji untuk mengampunkan dosa kecil yang dilakukan oleh mereka yang tidak melakukan dosa besar.

Semoga kita diberikan kekuatan untuk menjauhi segala dosa. Amin

Ahad
11 Muharram 1442
30 Ogos 2020
Ustaz Dr Rosli Mokhtar
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Untuk sumbangan pembangunan Tadabbur Wahyu:
TADABBUR WAHYU SOLUTION (May Bank No Ac:562263546814 ) Maklumkan sumbangan anda dengan whatsapp 01158935652
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Rujukan: al-Tahrir wa al-Tanwir, Tafsir al-Manar, Tafsir al-Qurtubi, Tafsir al-Muharrar al-Wajiz dll.
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Untuk terima Siri Tadabbur Wahyu sila whatsapp 01158935652
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Untuk Telegram taip Tadabbur Wahyu

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *