**TADABBUR WAHYU SIRI 683**

**4.33.1 Tadabbur Surah An-Nisa 36**

وَاعْبُدُوا اللَّهَ وَلَا تُشْرِكُوا بِهِ شَيْئًا ۖ وَبِالْوَالِدَيْنِ إِحْسَانًا وَبِذِي الْقُرْبَىٰ وَالْيَتَامَىٰ وَالْمَسَاكِينِ وَالْجَارِ ذِي الْقُرْبَىٰ وَالْجَارِ الْجُنُبِ وَالصَّاحِبِ بِالْجَنْبِ وَابْنِ السَّبِيلِ وَمَا مَلَكَتْ أَيْمَانُكُمْ ۗ إِنَّ اللَّهَ لَا يُحِبُّ مَنْ كَانَ مُخْتَالًا فَخُورًا.

36- Dan hendaklah kamu beribadat kepada Allah dan janganlah kamu sekutukan Dia dengan sesuatu apa jua; dan hendaklah kamu berbuat baik kepada kedua ibu bapa, kaum kerabat, anak-anak yatim, orang-orang miskin, jiran tetangga yang dekat, jiran tetangga yang jauh, rakan sejawat, perantau yang terlantar, dan juga hamba yang kamu miliki. Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang sombong takbur dan membangga-banggakan diri;

Ayat ini terdiri daripada tiga arahan Allah kepada manusia.

Pertama, seruan agar manusia mengabdikan diri kepada Allah dan ia membawa kepada arahan kedua iaitu tidak mensyirikkan Allah dengan sesuatu pun.

Kedua-dua arahan ini boleh disimpulkan sebagai gesaan Allah agar manusia mengikhlaskan tauhid kepadaNya semata-mata.

Itulah hakikat tauhid sebenar. Menjauhkan syirik kepada Allah.

Arahan ketiga ialah supaya manusia berbuat baik kepada sesama manusia.

Gesaan berbuat baik ini digabungkan dengan seruan mentauhidkan Allah.

Ini bagi memberikan isyarat bahawa tuntutan agama bukan sekadar terhenti dalam membaiki hubungan dengan Allah secara langsung.

Sebaliknya, sewaktu manusia berhubung dengan manusia juga, nilai hubungan dengan Allah tetap ada.

Ini kerana Allah suka kepada hambanya yang berbuat baik kepada sesama manusia dan Allah benci kepada hambanya yang bebuat jahat kepada sesama manusia.

Seringkali terjadi juga dalam masyarakat,  ada orang yang menjaga ibadahnya telah bertindak tidak baik kepada sesama manusia.

Sudah tentu mereka yang mahukan kedudukan yang tinggi disisi Allah akan membaiki keadaan ini kerana ia akan menjadi penghalang dari seseorang itu mendapat keredaanNya.

Ayat diatas telah memperincikan siapakah orang yang patut dicampuri secara terbaik itu.

Mereka adalah ibu bapa, sanak saudara, anak yatim, orang miskin , jiran tetangga yng dekat dan jauh, orang luar yang berhijrah ketempat kita dan hamba yang dimiliki.

Sudah tentu mereka yang disebut diatas adalah contoh kepada orang yang perlu untuk kita berbuat baik.

Ini kerana prinsip seorang muslim ialah berbuat baik kepada manusia tidak kira siapa sahaja mereka.

Orang yang disebut diatas jika dilihat terdiri daripada orang yang paling perlu untuk diberikan perhatian.

Ibu bapa dan sanak saudara mewakili orang yang ada pertalian darah.

Anak yatim dan orang miskin mewakili  orang-orang yang susah dalam masyarakat.

Sahabat dan jiran adalah orang yang sering dihubungi dalam kehidupan seharian.

Orang asing dan hamba sahaya ialah golongan yang sering diabaikan kebajikan mereka kerana  kedudukan mereka dalam masyarakat.

Seorang muslim digesa agar menjadi orang yang memberikan hak kepada mereka semua sesuai dengan kehendak syarak dan keadaan masyarakat.

Allah tidak suka kepada orang yang sombong  dan membanggakan diri. Sifat ini adalah sebahagian daripada sifat buruk yang menjadikan manusia berada dalam situasi yang tidak bahagia.

Sifat negatif seperti ini menimbulkan permusuhan dan perpecahan dalam keluarga dan masyarakat. Lalu ia perlu dihindari oleh orang yang beriman.

Selasa
20 Muharram 1442
8 September 2020
Ustaz Dr Rosli Mokhtar
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Untuk sumbangan pembangunan Tadabbur Wahyu:
TADABBUR WAHYU SOLUTION (May Bank No Ac:562263546814 ) Maklumkan sumbangan anda dengan whatsapp 01158935652
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Rujukan: al-Tahrir wa al-Tanwir, Tafsir al-Manar, Tafsir al-Qurtubi, Tafsir al-Muharrar al-Wajiz dll.
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Untuk terima Siri Tadabbur Wahyu sila whatsapp 01158935652
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Untuk Telegram taip Tadabbur Wahyu

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *