**TADABBUR WAHYU SIRI 684**

**4.34.1 Tadabbur Surah An-Nisa 37**

الَّذِينَ يَبْخَلُونَ وَيَأْمُرُونَ النَّاسَ بِالْبُخْلِ وَيَكْتُمُونَ مَا آتَاهُمُ اللَّهُ مِنْ فَضْلِهِ ۗ وَأَعْتَدْنَا لِلْكَافِرِينَ عَذَابًا مُهِينًا.

37- Iaitu orang-orang yang bakhil dan menyuruh manusia supaya bakhil serta menyembunyikan apa-apa jua yang Allah berikan kepada mereka dari limpah kurnianya. Dan (sebenarnya) Kami telah sediakan bagi orang-orang kafir itu azab seksa yang amat menghina.

Setelah mengajak manusia untuk berbuat baik, al-Quran mengajak pula orang beriman untuk tidak bekelakuan buruk.

Ini kerana kelakuan buruk bertentangan dengan sifat mulia itu. Jika seseorang mengamalkan sifat buruk sudah tentu kemuliaannya akan tercalar.

Sifat bakhil salah satu sifat yang bertentangan dengan sifat mulia. Dalam ayat ini Allah menyebut salah satu daripada gelagat orang bakhil.

Mereka menyembunyikan apa yang diberikan oleh Allah kepada mereka. Tindakan ini adalah isyarat kepada sifat tidak memberi yang terbit dari sifat bakhil.

Ayat ini mengingatkan kepada manusia bahawa apa yang dimiliki olehnya sebenarnya merupakah pemberian dari Allah.

Inilah prinsip penting yang perlu dihayati oleh setiap muslim.

Apabila seseorang itu sedar bahawa apa yang dimiliki bukan kerana kebijaksanaan dirinya, bukan kerana kehebatan dirinya, maka dia akan mudah memahami mengapa dia tidak beh bersifat bakhil.

Bahkan dalam ayat ini disebut sifat bakhil yang maksimum kerana mereka bukan sahaja bakhil tetapi menyuruh orang lain berbuat demikian.

Ayat ini juga mengingatkan bahawa Allah menyediakan azab yang menghinakan orang-orang yang engkar.

Disebut sifat menghina disini kerana sebelum ini telah disebut sifat mereka yang berbangga diri dan sombong terhadap manusia.

Ini kerana balasan terhadap kesombongan itu ialah kehinaan disisi Allah.

Ayat ini boleh difahami dalam dua bentuk.

Pertama, Allah memaksudkan bahawa orang yang bakhil dan orang yang kufur akan dimasukkan kedalam neraka Allah.

Maksud kedua ialah sifat bakhil dan menyembunyikan rezeki kerana tidak mahu memberi infak adalah sifat yang dimiliki oleh orang yang tidak percaya kepada Allah dan hari kiamat.

Sifat itu tidak layak untuk diamalkan oleh orang yang beriman kepada Allah dan hari akhirat.

Ini kerana orang yang beriman kepada Allah suka untuk melakukan sesuatu yang disukai oleh Allah.

Orang-orang yang beriman dengan hari akhirat akan melakukan infaq kerana mereka yakin amalan itu akan mengangkat darjat mereka disisi Allah.

Orang yang beriman sangat mahukan darjat yang tinggi di sisi Allah di akhirat nanti.

Jumaat
23 Muharram 1442
11 September 2020
Ustaz Dr Rosli Mokhtar
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Untuk sumbangan pembangunan Tadabbur Wahyu:
TADABBUR WAHYU SOLUTION (May Bank No Ac:562263546814 ) Maklumkan sumbangan anda dengan whatsapp 01158935652
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Rujukan: al-Tahrir wa al-Tanwir, Tafsir al-Manar, Tafsir al-Qurtubi, Tafsir al-Muharrar al-Wajiz dll.
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Untuk terima Siri Tadabbur Wahyu sila whatsapp 01158935652
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Untuk Telegram taip Tadabbur Wahyu

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *