**TADABBUR WAHYU SIRI 686**

**4.36.1 Tadabbur Surah An-Nisa 39-40**

وَمَاذَا عَلَيْهِمْ لَوْ آمَنُوا بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ وَأَنْفَقُوا مِمَّا رَزَقَهُمُ اللَّهُ ۚ وَكَانَ اللَّهُ بِهِمْ عَلِيمًا.

39- Dan apakah (kerugian) yang akan menimpa mereka jika mereka beriman kepada Allah dan hari akhirat, serta mereka mendermakan sebahagian dari apa yang telah dikurniakan Allah kepada mereka? Dan (ingatlah) Allah sentiasa Mengetahui akan keadaan mereka.

Mesej yang mahu disampaikan oleh ayat ini sangat jelas.

Allah menempelak mereka yang tidak beriman dan mereka yang bakhil dari menginfakkan harta pada jalan Allah.

Pertanyaan dalam ayat diatas dipanggil “istifham istinkari”.

Iaitu gaya bahasa pertanyaan yang sebenarnya menunjukkan kepada penolakan terhadap sifat-sifat yang dinyatakan itu.

Jika manusia beriman dengan sebenar-benar iman dan menginfakkan harta pada jalan Allah, tidak ada apa keburukan yang menimpa mereka.

Pertanyaan ini sebenarnya jawapan kepada orang-orang yang bakhil lalu takut untuk menginfakkan harta kerana takutkan kemiskinan dan kekurangan rezeki.

Sedangkan, reziki itu adalah milik Allah dan Dialah yang memberikannya kepada manusia.

إِنَّ اللَّهَ لَا يَظْلِمُ مِثْقَالَ ذَرَّةٍ ۖ وَإِنْ تَكُ حَسَنَةً يُضَاعِفْهَا وَيُؤْتِ مِنْ لَدُنْهُ أَجْرًا عَظِيمًا
40- Sesungguhnya Allah tidak sekali-kali menganiaya (seseorang) sekalipun seberat zarah (debu). Dan kalaulah (amal yang seberat zarrah) itu amal kebajikan, nescaya akan menggandakannya dan akan memberi, dari sisiNya, pahala yang amat besar.

Menjadi sifat semulajadi manusia takutkan kehabisan harta dan kekurangan rezeki.

Hal ini membawa mereka kepada meninggalkan hak-hak bersabitan harta.

Sifat ini juga mendorong orang yang lemah imannya untuk berbuat jahat, mengambil hak orang lain dan mengabaikan tugas mereka.

Dengan itu Allah menjawab dengan mengisyaratkan kepada kekuasaanya dalam membalas segala amal manusia.

Hal ini memberikan maksud bahawa suruhan Allah agar manusia memberi bantuan kepada jalanNya bukan lahir dari kelemahan tuhan.

Ia bukan sama sekali kerana Allah memerlukan bantuan manusia.

Bahkan ia tidak lain dan tidak bukan semata-mata kerana Allah mahu menguji iman manusia.

Semata-mata kerana allmah mahu menguji kecintaan manusia kepada Allah atau kepada dunia.

Bagi membuktikan bahawa tuhan tidak berhajat kepada manusia maka Allah memberitahu bahawa amalan manusia itu akan dibalas dengan ganjaran yang berganda.

Allah tidak takut bagi menggandakan pemberian itu kerana kekayaan Allah tidak pernah surut dan tidak pernah berkurangan.

Maka beruntunglah mereka yang menjadikan kehidupan dunia sebagai pelaburan untuk mendapat kebaikan dan nikmat di hari akhirat nanti.

Ahad
25 Muharram 1442
13 September 2020
Ustaz Dr Rosli Mokhtar
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Untuk sumbangan pembangunan Tadabbur Wahyu:
TADABBUR WAHYU SOLUTION (May Bank No Ac:562263546814 ) Maklumkan sumbangan anda dengan whatsapp 01158935652
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Rujukan: al-Tahrir wa al-Tanwir, Tafsir al-Manar, Tafsir al-Qurtubi, Tafsir al-Muharrar al-Wajiz dll.
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Untuk terima Siri Tadabbur Wahyu sila whatsapp 01158935652
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Untuk Telegram taip Tadabbur Wahyu

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *