**TADABBUR WAHYU SIRI 687**

**4.37.1 Tadabbur Surah An-Nisa 41-42**

فَكَيْفَ إِذَا جِئْنَا مِنْ كُلِّ أُمَّةٍ بِشَهِيدٍ وَجِئْنَا بِكَ عَلَىٰ هَٰؤُلَاءِ شَهِيدًا.

41- Maka bagaimanakah (keadaan orang-orang kafir pada hari akhirat kelak), apabila Kami datangkan dari tiap-tiap umat seorang saksi (iaitu Rasul mereka sendiri menjadi saksi terhadap perbuatan mereka), dan Kami juga datangkan engkau (wahai Muhammad) sebagai saksi terhadap umatmu ini?

Setiap kali al-quran menceritakan tentang kejahatan manusia di dunia ini, maka akan dijelaskan iktibar yang sepatutnya mereka ambil.

Gaya seperti ini menunjukkan bahawa al-Quran bukan sekadar menyebut tentang kejahatan manusia sebagai satu cerita sahaja. Tetapi  ia disebut dengan tujuan yang penting iaitu untuk mengambil pengajaran.

Dalam ayat ini Allah membayangkan nasib orang yang kufur, syirik, bakhil dan mengajak manusia kepada kebakhilan.

Keadaan pertama yang dijelaskan ialah situasi penghakiman di akhirat yang sangat adil.

Ini kerana Allah yang maha mengetahui tidak menghukumkan manusia dengan ilmunya yang Maha luas.

Akan tetapi Allah menghukum manusia dengan menyediakan kepada mereka bukti terhadap apa yang telah dilakukan.

Perutusan Rasul adalah satu pemberian Allah kepada manusia.

Ia juga adalah bukti rahmatnya Allah kepada hambanya.

Ini kerana tanpa Rasul manusia sudah tentu tidak dapat mengetahui selok- belok agama dan tanggungjawab mereka.

Dengan rahmatnya, Allah menghantarkan Rasul-rasul kepada setiap umat.

Dengan itu, tidak ada hujah lagi kepada manusia untuk memberi alasan mereka tidak diberikan panduan di dunia ini.

Panduan telah ada dan terserah kepada manusia sama ada mahu mengikutnya atau tidak.

Oleh itu terdapat tiga pengajaran penting dalam ayat ini.

1- manusia perlu memikirkan nasib mereka yang akan dihisab di hadapan Allah, seterusnya perlu bersedia untuk menghadapi hari tersebut.

2-Rasul-rasul di utuskan untuk menyampaikan ajaran Allah dan di hari akhirat mereka akan menjadi saksi terhadap apa yang telah disampaikan.

3-Tidak ada alasan lagi yang dapat diberikan dihadapi Allah kerana Allah telah menjelaskan jalan kehidupan dunia yang dikehendaki olehNya.

Seterusnya Allah menjelaskan bahawa mereka yang ingkar akan berada dalam kekesalan di hari akhirat.

Penyesalan itu digambarkan dalam bentuk keinginan mereka yang berharap agar tidak dihisab, bahkan mereka berharap untuk ditelan bumi.

يَوْمَئِذٍ يَوَدُّ الَّذِينَ كَفَرُوا وَعَصَوُا الرَّسُولَ لَوْ تُسَوَّىٰ بِهِمُ الْأَرْضُ وَلَا يَكْتُمُونَ اللَّهَ حَدِيثًا.

Pada hari itu orang-orang yang kafir dan menderhaka kepada Rasulullah, suka jika mereka disama ratakan dengan tanah (ditelan bumi), dan (ketika itu) mereka tidak dapat menyembunyikan sepatah kata pun dari pengetahuan Allah.

Ada ahli tafsir yang mengatakan bahawa maksud mereka di sama ratakan menjadi tanah ialah, mereka merasakan alangkah beruntungnya jika mereka hancur luluh menjadi tanah seperti apa yang berlaku kepada binatang.

Fokus sebenar ayat ini ialah menggambarkan penyeslaan mereka yang telah meninggalkan tugas mentaati Allah di dunia ini.

Khamis
29 Muharram 1442
17 September 2020
Ustaz Dr Rosli Mokhtar
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Untuk sumbangan pembangunan Tadabbur Wahyu:
TADABBUR WAHYU SOLUTION (May Bank No Ac:562263546814 ) Maklumkan sumbangan anda dengan whatsapp 01158935652
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Rujukan: al-Tahrir wa al-Tanwir, Tafsir al-Manar, Tafsir al-Qurtubi, Tafsir al-Muharrar al-Wajiz dll.
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Untuk terima Siri Tadabbur Wahyu sila whatsapp 01158935652
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Untuk Telegram taip Tadabbur Wahyu

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *