**TADABBUR WAHYU SIRI 689**

**4.40.1 Tadabbur Surah An-Nisa 44**
أَلَمْ تَرَ إِلَى الَّذِينَ أُوتُوا نَصِيبًا مِنَ الْكِتَابِ يَشْتَرُونَ الضَّلَالَةَ وَيُرِيدُونَ أَنْ تَضِلُّوا السَّبِيلَ.

44-Tidakkah engkau memerhatikan orang-orang yang telah diberikan sebahagian dari Kitab, mereka memilih kesesatan dan mereka pula berkehendak supaya kamu juga sesat jalan.

Jika dihubungkan ayat ini dengan ayat-ayat lepas kelihatan sangat nyata bahawa larangan solat dalam keadaan mabuk, hukum bertayamum dan larangan solat dalam keadaan berjunub adalah sebahagain daripada perbincangan berkaitan amalan teras yang mahu diterapkan oleh Allah dalam kehidupan umat Islam.

Dengan itu, perubahan pada ayat daripada membincangkan hukum-hakam ibadah kepada membincangkan tentang tindakan menjual agama dan mencari kesesatan adalah termasuk dalam skop perbincangan juga.

Sekali imbas ia kelihatan seolah-olah telah bertukar tajuk tetapi jika dilihat dengan teliti ia adalah perincian kepada sifat manusia samada yang melakukan tuntutan yang dikehendaki oleh Allah atau yang melanggar apa yang Allah kehendaki.

Sayangnya terdapat sebahagian umat Islam yang memberi penekanan kefahaman Islam hanya berlegar dari persoalan solat sahaja.

Mereka tidak berminat untuk meluaskan pengetahuan terhadap tuntutan lain terutamanya persoalan-persoalan yang lebih besar seperti yang dibincangkan oleh ayat ini.

Hal ini dapat dikesan daripada jualan buku-buku agama yang berkaitan isu selain solat sangat rendah dan kurang mendapat sambutan.

Ia dapat juga dilihat apabila ajaran sesat mudah tersebar dalam masyarakat walaupun kesalahan yang disebarkan sangat jelas dan melibatkan asas-asas agama yang teras.

Jika tidak kerana tindakan pihak berkuasa yang sering memantau perkembangan ajaran sesat, sudah tentu keadaan umat Islam dalam bahaya.

Dalam ayat ini al-Quran membincangkan salah satu sifat mereka yang mahu menyebarkan ajaran yang salah.

Mereka adalah  “orang-orang yang diberikan kepada mereka kitab”.

Pada zaman Rasulullah saw mereka adalah orang Yahudi dan Nasrani yang memiliki kitab taurat dan kitab Injil.

Di dalam kitab mereka itu sudah ada bukti kebenaran risalah yang dibawa oleh nabi saw.

Namun, para ulama dari kalangan Bani Israel enggan mengakui kebenaran dan mahu supaya manusia menolak ajaran nabi saw.

al-Quran tidak menyebut Bani Israel secara langsung tetapi menggunakan gelaran “orang yang telah diberikan kepada mereka kitab”.

Hal ini sekali gus mengingatkan umat Islam yang juga memiliki kitab, jika seseorang itu mahukan kesesatan dan kejahatan maka mereka boleh sahaja menjadikan kitab yang ada disisi mereka itu sebagai alat dalam mencapai apa yang mereka ingini.

Oleh itu, ayat ini merupakan peringatan kepada umat Islam agar tidak mengikut tingkah laku Bani Israel yang telah menggunakan agama untuk mencari kesesatan.

Perbuatan sesat itu disebut dengan maksud kiasan “membeli kesesatan”.

Ia merujuk kepada sifat menolak kebenaran yang jelas dan mengambil kesalahan yang dikehendaki.

Ia juga merujuk kepada sifat pelaku yang mempunyai kepentingan ketika berbuat demikian.

Mereka bukan sahaja sesat tetapi mereka mahu orang lain juga sesat dari jalan yang benar.

Semoga Allah melindungi kita dari kesesatan. Amin.

Isnin
3 Safar 1442
21 September 2020
Ustaz Dr Rosli Mokhtar
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Untuk sumbangan pembangunan Tadabbur Wahyu:
TADABBUR WAHYU SOLUTION (May Bank No Ac:562263546814 ) Maklumkan sumbangan anda dengan whatsapp 01158935652
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Rujukan: al-Tahrir wa al-Tanwir, Tafsir al-Manar, Tafsir al-Qurtubi, Tafsir al-Muharrar al-Wajiz dll.
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Untuk terima Siri Tadabbur Wahyu sila whatsapp 01158935652
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Untuk Telegram taip Tadabbur Wahyu

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *