**TADABBUR WAHYU SIRI 690**

**4.41.1 Tadabbur Surah An-Nisa 45**

وَاللَّهُ أَعْلَمُ بِأَعْدَائِكُمْ ۚ وَكَفَىٰ بِاللَّهِ وَلِيًّا وَكَفَىٰ بِاللَّهِ نَصِيرًا.

45-Dan Allah lebih mengetahui berkenaan dengan musuh-musuh kamu, (oleh itu awasilah angkara musuh kamu itu). Dan cukuplah Allah sebagai Pengawal yang melindungi, dan cukuplah Allah sebagai Penolong (yang menyelamatkan kamu dari angkara mereka).

Mengikut Ibnu Asyur, ayat ini merupakan penerangan kepada ayat sebelumnya.

Ia bermaksud jika sekiranya mereka memerangi agama Allah dan berusaha memadamkan cahayanya maka Allah mengetahui hakikat mereka.

Mungkin manusia tidak sedar atau terkeliru dengan tipu daya mereka, akan tetapi Allah tidak lupa dan tidak lalai dari apa yang mereka lakukan.

Dengan itu, Allah mengingatkan kaum muslimin bahawa cukuplah Allah yang menjadi pelindung mereka.  Dan cukuplah Allah yang menjadi pembantu mereka.

Dari sudut zaman penurunan wahyu, musuh yang dimaksudkan dalam ayat ini adalah orang-orang Yahudi yang sentiasa berusaha mahu menjatuhkan Rasulullah saw dan para sahabat.

Dari sudut kekuatan, mereka sebenarnya mempunyai kelebihan yang banyak berbanding dengan kaum muslimin.

Orang-orang Yahudi yang mendiami kota Madinah terkenal dengan kekayaan dan pengaruh dalam masyarakat Arab.

Kaum Yahudi seperti Bani Nadhir dan sebagainya mempunyai kekuatan tersendiri kerana mereka mendiami kawasan luar kota  Madinah.

Dari sudut bilangan, mereka mempunyai tentera yang ramai. Dan dari sudut pengaruh, mereka menguasai jalan perdagangan yang sangat penting.

Dengan itu, kaum Yahudi menjadi musuh yang sangat bahaya terhadap kestabilan pentadbiran Rasulullah saw.

Dengan penurunan ayat ini, kaum muslimin diberikan semangat bahawa Allah tetap bersama mereka

Namun demikian perlu diingatkan bahawa ayat ini bukan bermaksud Allah akan menolong orang beriman dengan mereka tidak payah berusaha.

Hal ini adalah tidak benar sama sekali. Dalam surah ‘Ali Imran sebelum ini, telah dijelaskan bagaimana para sahabat berusaha sedaya upaya menghadapi sebarang ancaman musuh.

Mereka menyediakan peruntukan kewangan dari poket mereka, menyusun strategi, menyediakan persenjataan dan berperang menggadai nyawa demi berusaha menentang pihak musuh.

Adapun kaum Yahudi pula, mereka tidak menentang nabi saw secara bersenjata pada peringkat pertama.

Dengan itu nabi saw tidak menghunus senjata terhadap mereka.

Namun demikian, apabila mereka melanggar perjanjian dan bekerjasama dengan musuh yang mahu menyerang Madinah, maka nabi saw mengarahkan para sahabat menggempur kabilah-kabilah Yahudi itu.

Begitulah usaha dan kesungguhan para sahabat berdepan dengan setiap mereka yang mahu menentang ajaran Rasulullah saw.

Mereka berkorban dan bertindak mengikut keperluan yang mereka hadapi.

Kesemua itu dibawah bimbingan dan pimpinan nabi saw.

Salah satu kelemahan umat Islam masa kini ialah terdapat sebahagian mereka yang tidak memberi perhatian terhadap keadaan masyarakat, tidak berusaha mencari penyelesaian terhadap isu-isu yang ada.

Jelas sekali Islam tidak menyuruh kita berdoa tanpa usaha atau mengharap tanpa bertindak.

Rabu
5 Safar 1442
23 September 2020
Ustaz Dr Rosli Mokhtar
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Untuk sumbangan pembangunan Tadabbur Wahyu:
TADABBUR WAHYU SOLUTION (May Bank No Ac:562263546814 ) Maklumkan sumbangan anda dengan whatsapp 01158935652
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Rujukan: al-Tahrir wa al-Tanwir, Tafsir al-Manar, Tafsir al-Qurtubi, Tafsir al-Muharrar al-Wajiz dll.
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Untuk terima Siri Tadabbur Wahyu sila whatsapp 01158935652
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Untuk Telegram taip Tadabbur Wahyu

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *