**TADABBUR WAHYU SIRI 693**

**4.43.1 Tadabbur Surah An-Nisa 47**

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ أُوتُوا الْكِتَابَ آمِنُوا بِمَا نَزَّلْنَا مُصَدِّقًا لِمَا مَعَكُمْ مِنْ قَبْلِ أَنْ نَطْمِسَ وُجُوهًا فَنَرُدَّهَا عَلَىٰ أَدْبَارِهَا أَوْ نَلْعَنَهُمْ كَمَا لَعَنَّا أَصْحَابَ السَّبْتِ ۚ وَكَانَ أَمْرُ اللَّهِ مَفْعُولًا.

47-Wahai orang-orang yang telah diberikan Kitab, berimanlah kamu dengan apa yang telah Kami turunkan (Al-Quran), yang membenarkan Kitab-Kitab yang ada pada kamu, sebelum Kami menyeksa dengan menghapuskan bentuk muka kamu, lalu Kami menjadikannya sama seperti rupa sebelah belakangnya, atau Kami melaknatkan mereka sebagaimana Kami telah melaknatkan orang-orang (dari kaum Yahudi) yang melanggar larangan bekerja pada hari Sabtu. Dan (ingatlah) perintah Allah itu tetap berlaku.

Seruan ini ditujukan pada zahirnya kepada ahli kitab yang memusuhi nabi saw dan menolak ajaran Baginda.

Namun demikian seruan ini ditujukan pada hakikatnya kepada seluruh manusia.

Ini kerana sememangnya al-Quran diturunkan utuk menjadi panduan manusia seluruhnya.

Dalam ayat ini, Allah mengajak ahli kitab dengan cara yang sangat lembut.

Telah dijelaskan bahawa kitab al-Quran yang diturunkan kepada nabi Muhammad saw bukanlah kitab yang pelik atau ajaran baru yang tidak biasa didengari oleh ahli kitab.

Sebaliknya kitab al-Quran membenarkan kitab-kitab yang telah ditutunkan kepada nabi-nabi sebelum ini.

Maksud al-Quran membenarkan kitab nabi-nabi yang terdahulu bukan bermakna satu pengiktirafan bahawa apa yang ada pada hari ini adalah kitab-kitab nabi mereka yang asal.

Ini kerana al-Quran membenarkan bahawa nabi-nabi terdahulu adalah utusan Allah dan mereka telah diberikan kitab mereka tersendiri.

Namun demikian kitab-kitab yang ada disisi ahli kitab pada hari ini telah mengalami perubahan dan tokok tambah akibat daripada peredaran zaman dan tindakan mereka yang tidak bertanggungjawab.

Di sebalik kelembutan gaya bahasa, dalam rangkap pertama ada disertakan disini satu amaran tegas kepada ahli kitab agar mereka beriman dengan al-Quran.

Ini kerana bagi mereka yang tidak beriman akan dikenakan azab oleh Allah dihari akhirat.

Dari sudut makna literal, azab yang disebut ialah menghapuskan bentuk muka mereka.

Para ahli tafsir berbeza pandangan dalam mentafsirkan maksud sebenar bagi rangkap ini.

Sebahagian berpandangan ia bermaksud salah satu bentuk azab ialah apabila wajah manusia yang sediakala ditukarkan tanpa mata, hidung dan mulut.

Keadaan ini adalah satu penyiksaan kerana ia buruk dan tidak disukai oleh manusia.

Sebahagian ahli tafsir pula berpandanangan bahawa maksud sebenar yang dikehendaki ialah azab yang turunkan oleh Allah secara umum.

Walau apa pun, dapat difahami bahawa mereka yang menentang ajaran rasul akan dikenakan kepada mereka azab dihari akhirat.

Azab tersebut berbagai bentuk beredasarkan apa yang diceritakan oleh al-Quran.

Rangkap terakhir ayat ini menambah bahawa mereka juga boleh dilaknat oleh Allah sebagaimana berlaku kepada “azhab assabt”.

Mereka adalah sebuah kabilah Bani Israel yang dilaknat oleh Allah kerana melanggar kehormatan hari Sabtu yang menjadi hari ibadat bagi syariat mereka.

Jumaat
14 Safar 1442
2 Oktober 2020
Ustaz Dr Rosli Mokhtar
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Untuk sumbangan pembangunan Tadabbur Wahyu:
TADABBUR WAHYU SOLUTION (May Bank No Ac:562263546814 ) Maklumkan sumbangan anda dengan whatsapp 01158935652
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Rujukan: al-Tahrir wa al-Tanwir, Tafsir al-Manar, Tafsir al-Qurtubi, Tafsir al-Muharrar al-Wajiz dll.
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Untuk terima Siri Tadabbur Wahyu sila whatsapp 01158935652
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Untuk Telegram taip Tadabbur Wahyu

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *