**TADABBUR WAHYU SIRI 694**

**4.44.1 Tadabbur Surah An-Nisa 48**

إِنَّ اللَّهَ لَا يَغْفِرُ أَنْ يُشْرَكَ بِهِ وَيَغْفِرُ مَا دُونَ ذَٰلِكَ لِمَنْ يَشَاءُ ۚ وَمَنْ يُشْرِكْ بِاللَّهِ فَقَدِ افْتَرَىٰ إِثْمًا عَظِيمًا.

48-Sesungguhnya Allah tidak akan mengampunkan dosa syirik mempersekutukanNya dan akan mengampunkan dosa yang lain dari itu bagi sesiapa yang dikehendakiNya. Dan sesiapa yang mempersekutukan Allah (dengan sesuatu yang lain), maka sesungguhnya dia telah melakukan dosa yang besar.

Dalam topik perbincangan mengenai azab di akhirat dan sebelum ini perbincangan mengenai sifat buruk yang dilakukan oleh manusia, diselitkan disini perbincangan mengenai jenis-jenis dosa.

Ayat ini mengisyaratkan kepada dosa manusia ada yang akan diampunkan oleh Allah dan ada pula dosa yang tidak akan diampunkan oleh Allah.

Dosa yang tidak akan diampunkan oleh Allah ialah dosa syirik.

Maksud syirik berasal dari perkataan “syaraka”.

Perkataan ini sebenarnya telah di Melayukan. Syarikat dan syirik adalah perkataan yang sering digunakan  dalam Bahasa Melayu.

Mensyirikkan Allah ialah apabila seseorang percaya adanya tuhan selain dari Allah.

Bukan itu sahaja mempercayai ada sesuatu selain Allah memiliki salah satu sifat tuhan juga adalah syirik.

Seperti percaya sesuatu perkara boleh memberikan rezeki dengan sendiri keluar dari kehendak Allah maka ia adalah syirik.

Sebenarnya ramai juga yang salah faham tentang ayat ini lalu menganggap dosa syirik tidak akan diampunkan oleh Allah secara mutlak.

Sebenarnya kefahaman ini adalah tidak tepat.

Ini kerana maksud Allah tidak akan mengampunkan dosa syirik ialah apabila seseorang yang syirik itu mati dalam keadaan syirik.

Adapun mereka yang melakukan syirik dan bertaubat sebelum mereka mati maka ia akan diterima oleh Allah.

Oleh itu ayat ini sebenarnya mengandungi maksud yang tidak dinyatakan tetapi dikehendaki oleh ayat.

Ini kerana jika Allah tidak mengampuni dosa syirik secara mutlak maka sudah tentu tidak ada gunanya mengajak orang kepada Islam kerana mereka sebelum ini dalam kesyirikan kepada Allah.

Dalam ayat 161 surah al-Baqarah Allah menyebut orang yang kufur dan mati dalam kekufuran tidak akan diterima taubat mereka.

Ayat ini juga memberikan isyarat kepada dosa-dosa orang beriman akan diampunkan oleh Allah di akhirat nanti.

Ini kerana orang yang beriman ialah mereka yang tidak mensyirikkan Allah dengan sesuatu yang lain.

Ayat ini juga menyifatkan syirik sebagai satu kezaliman yang besar.

Ini kerana kezaliman dalam meletakkan perhambaan adalah kezaliman yang tidak ada tolok bandingnya.

Allahlah yang mencipta manusia, memberikan kepada manusia peluang untuk hidup, memberikan akal fikiran, rezeki dan kehidupan seluruhnya.

Dalam masa yang sama manusia dapat menilai dengan akal yang diberikan kepadanya bahawa setiap makhluk diatas muka bumi ini tidak layak untuk digelar tuhan kerana sifat lemah yang ada pada mereka.

Apabila manusia masih meletakkan sifat tuhan dan mensyirikkan Allah dengan perkara lain, maka itu adalah kesalahan dan kezaliman yang sangat besar.

Sabtu
15 Safar 1442
3 Oktober 2020
Ustaz Dr Rosli Mokhtar
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Untuk sumbangan pembangunan Tadabbur Wahyu:
TADABBUR WAHYU SOLUTION (May Bank No Ac:562263546814 ) Maklumkan sumbangan anda dengan whatsapp 01158935652
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Rujukan: al-Tahrir wa al-Tanwir, Tafsir al-Manar, Tafsir al-Qurtubi, Tafsir al-Muharrar al-Wajiz dll.
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Untuk terima Siri Tadabbur Wahyu sila whatsapp 01158935652
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Untuk Telegram taip Tadabbur Wahyu

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *