**TADABBUR WAHYU SIRI 695**

**4.45.1 Tadabbur Surah An-Nisa 49**
أَلَمْ تَرَ إِلَى الَّذِينَ يُزَكُّونَ أَنْفُسَهُمْ ۚ بَلِ اللَّهُ يُزَكِّي مَنْ يَشَاءُ وَلَا يُظْلَمُونَ فَتِيلًا.

49-Tidakkah engkau perhatikan kepada orang-orang yang membersihkan (memuji) diri sendiri? Bahkan Allah jualah yang berhak membersihkan (memuji) sesiapa yang dikehendakiNya dan mereka pula tidak akan dianiaya sedikitpun.

Menurut Imam al-Qurtubi terdapat tiga perbincangan utama dalam ayat diatas.

  “Tidakkah engkau perhatikan kepada orang-orang yang membersihkan (memuji) diri sendiri?”

1-para ulama sepakat mengatakan bahawa mereka yang berkelakuan demikian pada zaman penurunan al-Quran ialah orang-orang Yahudi.

Maksud memuji diri dalam konteks kaum Yahudi ialah

* mereka menyangka mereka adalah kaum yang mulia.

** orang-orang Yahudi percaya dosa-dosa mereka akan diampunkan oleh Allah tanpa perlu mereka bertaubat kepadaNya.

*** percaya mereka tidak akan diazab oleh Allah dalam neraka.

**** percaya keturunan mereka adalah orang yang mulia disisi Allah dan datuk nenek mereka akan memberi syafaat kepada mereka di akhirat nanti.

Ibnu masud pula berpandangan ayat dimaksudkan dengan sikap kaum yahudi yang saling memuji antara mereka.

2-ayat ini membawa maksud larangan memuji diri sendiri.

Ini kerana hakikat sebenar manusia hanya diketahui oleh Allah.

Dalam hadis Riwayat Muslim seorang sahabat menceritakan bahawa beliau telah menamakan anak perempuan beliau dengan nama “birrah” bermaksud kebaikan.

Rasulullah saw mengatakan “jangan kamu memuji diri kamu sesungguhnya Allah lebih mengetahui tentang diri kamu. Para sahabat bertanya: apakah nama yang sesuai. Sabda nabi saw: namakan dia dengan Zainab.

3-pujian seseorang terhadap orang lain. Pada hakikatnya larangan dalam ayat ini berkisar kepada pujian seseorang terhadap dirinya sendiri.

Namun demikian terdapat juga larangan memuji orang lain.

Dalam hadis Bukhari daripada Abi Bakrah menyatakan bahawa pada suatu hari seorang lelaki memuji seseorang di depan nabi saw.

Lalu Baginda berkata: alangkah buruknya, sesungguhnya engkau telah merosakkan sahabatmu.

Namun demikian disebabkan terdapat pula hadis-hadis yang menunjukkan nabi saw memuji sahabat dan sahabat memuji Baginda, maka para ulama membuat kesimpulan bahawa pujian yang dilarang ialah yang berlebih-lebihan sehingga menimbulkan rasa sombong pada diri orang yang dipuji.

Pujian itu juga mestilah benar dan bukan pujian yang di ada-adakan.

Adapun memuji sesuatu yang baik dan dapat menggalakkan pelakunya untuk terus berbuat baik dan memberi semangat kepada orang lain untuk berbuat baik maka  ia adalah termasuk dalam pujian yang digalakkan.

Selasa
18 Safar 1442
6 Oktober 2020
Ustaz Dr Rosli Mokhtar
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Untuk sumbangan pembangunan Tadabbur Wahyu:
TADABBUR WAHYU SOLUTION (May Bank No Ac:562263546814 ) Maklumkan sumbangan anda dengan whatsapp 01158935652
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Rujukan: al-Tahrir wa al-Tanwir, Tafsir al-Manar, Tafsir al-Qurtubi, Tafsir al-Muharrar al-Wajiz dll.
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Untuk terima Siri Tadabbur Wahyu sila whatsapp 01158935652
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Untuk Telegram taip Tadabbur Wahyu

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *