**TADABBUR WAHYU SIRI 701**

**4.50.1 Tadabbur Surah An-Nisa 55**

فَمِنْهُمْ مَنْ آمَنَ بِهِ وَمِنْهُمْ مَنْ صَدَّ عَنْهُ ۚ وَكَفَىٰ بِجَهَنَّمَ سَعِيرًا.

55-Maka di antara mereka (kaum Yahudi) ada yang beriman dan ada pula di antara mereka yang berpaling daripadanya. Dan cukuplah dengan neraka jahanam yang sentiasa menyala-nyala itu (menjadi tempat seksa mereka).

Setelah menerangkan apa yang telah dilakukan oleh Bani Israel, Allah menerangkan pula bahawa sebahagian mereka beriman dan sebahagian mereka telah bertindak untuk kufur dan menyekat manusia dari kebaikan.

Ayat ini mengandungi tiga fokus penting yang perlu dijadikan pelajaran yang bereguna buat umat Islam.

1- Ayat ini menerangkan satu lagi akhlak buruk sebahagian daripada masyarakat Bani Israel.

Akhlak yang dimaksudkan ialah mereka kufur dengan kebenaran dan menyekat manusia dari perkara yang baik.

Disebabkan kebencian Bani Israel kepada nabi Muhammad saw maka mereka menyekat orang ramai daripada beriman kepada dakwah Baginda.

Hal ini sering juga terjadi dikalangan masyarakat Islam apabila berlakunya perbalahan sesama Islam, maka seringkali pihak bermusuhan mengambil tindakan terhadap pesaing mereka dengan melakukan sesuatu yang berupa menyekat dari kebaikan.

Keadaan ini tidak seharusnya berlaku. Menyekat orang daripada belajar perkara yang baik semata-mata kerana orang yang mengajar berkonflik dengan seseorang.

Menyekat orang yang berhak dari menerima pertolongan kerana mereka berkonflik dengan pihak tertentu dan berbagai lagi bentuk menyekat orang dari kebaikan sering terjadi dalam masyarakat.

Sedangkan sifat sedemikian tidak layak dimiliki oleh umat Islam kerana mereka mahukan keredaan Allah.

2- Allah menyebut dipermulaan ayat ini bahawa dikalangan orang-orang Yahudi ada yang beriman dan menerima dakwah nabi saw.

Ayat ini disebut sebelum Allah menerangkan balasan neraka yang dahsyat yang dikenakan kepada kaum Yahudi yang menentang dakwan nabi saw.

Ayat ini mengandungi pengajaran lebih dari sekadar menerangkan bahawa sebahagain dari orang Yahudi telah menerima dakwah Baginda saw.

Bahkan ayat ini secara tersiratnya menunjukkan bahawa Allah tidak menafikan kebaikan dan kemuliaan yang ada dalam masyarakat Bani Israel.

Hal ini dapat difahami kerana beberapa ayat sebelum ini menerangkan kejahatan dan penyelewengan Bani Israel.

Dan ayat selepas ini menerangkan azab yang akan dirasai oleh Bani Israel.

Menjadi kebiasaan bagi manusia apabila marah kepada sesuatu pihak akan melupakan kebaikan yang ada pada pihak yang dimarahi. Paling kurang memperkecilkan kebaikan yang mereka miliki.

Namun demikian keadilah Allah dan kemuliaan Nya menjadikan Allah tidak bertindak zalim dengan menafikan kebaikan mana-mana pihak.

Kezaliman sebahagian pihak dalam masyarakat Bani Israel tidak menjadikan Allah lupa kepada pihak yang melakukan kemuliaan dan kebaikan.

Sifat ini adalah sifat mulia yang perlu dicontohi oleh manusia dalam kehidupan mereka.

Janganlah kebencian kita terehadap sesuatu pihak menjadikan kita menghukum tentang sesuatu perkara secara zalim dan tidak benar.

3- Allah telah menyebut dalam ayat ini akibat yang akan berlaku kepada mereka yang melakukan kejahatan. Dengan mengingati nasib yang bakal berlaku menjadi penawar kepada nafsu yang cenderung kearah keburukan.

Semoga Allah memberikan kekuatan untuk kita menghindari segala keburukan dan menyuburkan segala kebaikan. Amin.

Rabu
18 Rabi’ulawal 1442
4 November 2020
Ustaz Dr Rosli Mokhtar
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Untuk sumbangan pembangunan Tadabbur Wahyu:
TADABBUR WAHYU SOLUTION (May Bank No Ac:562263546814 ) Maklumkan sumbangan anda dengan whatsapp 01158935652
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Rujukan: al-Tahrir wa al-Tanwir, Tafsir al-Manar, Tafsir al-Qurtubi, Tafsir al-Muharrar al-Wajiz dll.
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Untuk terima Siri Tadabbur Wahyu sila whatsapp 01158935652
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Untuk Telegram taip Tadabbur Wahyubbur Wahyu sila whatsapp 01158935652
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Untuk Telegram taip Tadabbur Wahyu

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *