**TADABBUR WAHYU SIRI 712**

**4.60.1 Tadabbur Surah An-Nisa 65**

فَلَا وَرَبِّكَ لَا يُؤْمِنُونَ حَتَّىٰ يُحَكِّمُوكَ فِيمَا شَجَرَ بَيْنَهُمْ ثُمَّ لَا يَجِدُوا فِي أَنْفُسِهِمْ حَرَجًا مِمَّا قَضَيْتَ وَيُسَلِّمُوا تَسْلِيمًا

65. Maka demi Tuhanmu (wahai Muhammad)! Mereka tidak disifatkan beriman sehingga mereka menjadikan engkau hakim dalam mana-mana perselisihan yang timbul di antara mereka, kemudian mereka pula tidak merasa di hati mereka sesuatu keberatan dari apa yang telah engkau hukumkan, dan mereka menerima keputusan itu dengan sepenuhnya.

Ayat ini merupakan sambungan daripada perbincangan berkaitan orang munafik.

Dalam ayat ini Allah menerangkan salah satu daripada sifat mereka, iaitu tidak meletakkan sepenuh pengabdian kepada Allah.

Pengabdian yang sempurna kepada Allah membuatkan seseorang hamba itu reda dengan ketentuan Allah.

Ketentuan itu bukan saja dalam maksud qada dan qadar terhadap hidup dan mati, harta dan persoalan takdir semata-mata. Tapi lebih dari itu, seorang muslim menerima ketentuan Allah dari sudut syariat.

Penentuan terhadap halal dan haram bermaksud Allahlah yang menentukan kepada manusia apakah yang baik dan apakah yang buruk.

Pengiktirafan terhadap Allah dalam hal ini merupakan ketundukan manusia kepada tuhan.

Untuk itu, umat Islam adalah umat yang sentiasa meletakkan al-Quran dan sunnah sebagai rujukan tertinggi dalam hidup mereka. Ini kerana dua sumber ini datangnya dari wahyu Allah.

Disebabkan Al-Quran dan hadis nabi tidak memperincikan semua permasalahan manusia, maka apa yang dipegang daripada ajaran Al-Quran dan hadis kebanyakannya berbentuk prinsip-prinsip umum yang perlu dijadikan panduan dalam menggubal perincian amalan manusia.

Para cendikiawan Islam mengadun intipati al-Quran dah hadis dengan melihat kepada keperluan manusia dan perubahan zaman, dari situlah keluarnya pandangan mereka terhadap hukum Allah dalam sesuatu perkara.

Dari penerangan diatas dapat kita tanggapi bahawa ciri-ciri umat Islam sebenar ialah merujuk kepada panduan Allah. Dalam perkara yang tidak dinyatakan oleh Allah secara jelas maka para pengkaji akan bergantung kepada nilai-nilai umum dan prinsip yang dinyatakan.

Dalam isu-isu pentadbiran contohnya tidak dinyatakan secara terperinci oleh nas Al-Quran dan hadis, tapi kedua sumber itu telah menyatakan prinsip yang perlu diikuti seperti amanah, syura, adil dan lain-lain.  

Dalam mentafsirkan ayat diatas,  ada juga berlaku salah faham dalam masyarakat Islam sehingga membawa kepada perbuatan kafir-mengkafir.

Ini kerana mereka telah membuat kesimpulan mudah menggunakan ayat diatas dengan menyatakan siapa yang tidak berhukum dengan hukum Allah maka mereka adalah kafir.

Syeikh Ibnu Asyur telah menjadikan perbuatan seperti ini sebagai salah satu contoh salah faham umat Islam terhadap ayat al-Quran.

Jika ayat diatas difahami secara tidak cermat ia juga boleh membawa kepada mengkafirkan orang yang melakukan dosa dan maksiat.

Sudah tentu kefahaman seperti itu tidak benar.

Orang yang melakukan maksiat adalah mukmin yang berdosa, walaupun dia melakukan perbuatan dosa itu dalam keadaan sedar dan faham.

Ini kerana rumusan keseluruhan terhadap nas Al-Quran dan hadis menunjukkan perbuatan maksiat tidak mengeluarkan seseorang dari lingkungan agama Islam.

Sabtu
26 Jamadilawal 1442
10 Januari 2020
Ustaz Dr Rosli Mokhtar
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Untuk sumbangan pembangunan Tadabbur Wahyu:
TADABBUR WAHYU SOLUTION (May Bank No Ac:562263546814 ) Maklumkan sumbangan anda dengan whatsapp 01158935652
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Rujukan: al-Tahrir wa al-Tanwir, Tafsir al-Manar, Tafsir al-Qurtubi, Tafsir al-Muharrar al-Wajiz dll.
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Untuk terima Siri Tadabbur Wahyu sila whatsapp 01158935652
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Untuk Telegram taip Tadabbur Wahyubbur Wahyu sila whatsapp 01158935652
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Untuk Telegram taip Tadabbur Wahyu

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *