**TADABBUR WAHYU SIRI 715**

**4.63.1 Tadabbur Surah An-Nisa 69**

وَمَنْ يُطِعْ اللَّهَ وَالرَّسُولَ فَأُوْلَئِكَ مَعَ الَّذِينَ أَنْعَمَ اللَّهُ عَلَيْهِمْ مِنْ النَّبِيِّينَ وَالصِّدِّيقِينَ وَالشُّهَدَاءِ وَالصَّالِحِينَ وَحَسُنَ أُوْلَئِكَ رَفِيقًا.

69- Dan sesiapa yang taat kepada Allah dan RasulNya, maka mereka akan (ditempatkan di syurga) bersama-sama orang-orang yang telah dikurniakan nikmat oleh Allah kepada mereka, iaitu Nabi-nabi, dan orang-orang Siddiqiin, dan orang-orang yang Syahid, serta orang-orang yang soleh. Dan amatlah eloknya mereka itu menjadi teman rakan (kepada orang-orang yang taat).

Perbincangan sebelum ini berkaitan orang yang insaf dari  kesesatan dan kesalahan lalu mereka kembali kepada kebenaran dan amal yang soleh.

Untuk mereka, Allah janjikan akan mendapat balasan yang besar dan akan ditunjukkan jalan yang lurus.

Ayat ini pula memberi fokus kepada sifat taat. Ia adalah penjelmaan terhadap keimanan dan kepercayaan manusia terhadap sesuatu.

Apabila seseorang itu percaya kepada Allah dan Rasul, sudah tentu kepercayaan yang benar itu akan membawa mereka kepada mentaati suruhan dan laranganNya.

Ayat ini juga memberi penerangan tambahan kepada mereka yang disifakan sebagai bertaubat dari kesalahan.

Mereka dijanjikan dengan nikmat tambahan iaitu akan bersama dengan para nabi, siddiqin, suhada’ dan salihin.

Inilah balasan dan ganjaran yang akan diperolehi oleh mereka yang disifatkan sebagai mentaati Allah dan Rasul.

Hal ini secara tidak langsung menerangkan bahawa salah satu sifat orang yang beriman ialah mereka cinta kepada Rasul.

Buktinya ialah janji Allah untuk menempatkan mereka bersama rasul merupakan satu khabar yang  mengembirakan orang berimana, orang yang sayang kepada Rasul akan gembira bila berpeluang bersama mereka.

Ayat ini juga secara tidak langsung menunjukkan ketinggian darjat orang yang taat di hari akhirat nanti.

Ini kerana para Rasul akan berada didalam syurga yang tinggi darjatnya.

Selagi mana seseorang itu dapat bersama dengan mereka, maka orang itu juga berada pada kedudukan yang tinggi juga.

Selain daripada menerangkan  tentang ganjaran orang yang mentaati Allah dan Rasul, ayat ini juga menerangkan tentang kemuliaan para siddiqin, syuhada dan solihin.

Dengan itu, mereka disebut selepas Allah menyebut para Rasul.

Siapakah yang dimakskudkan dengan siddiqin, syuhada dan solihin?

Siddiqin bermaksud orang yang membenarkan. Ada ahli tafsir yang menganggap ketiga-tiga sifat yang disebut adalah sama.

Siddiqin, syuhada dan salihin adalah orang yang sama dan mereka memiliki tiga sifat ini.

Namun demikian ada dikalangan ahli tafsir yang tidak setuju dengan tafsiran tersebut.

Mereka memperincikan makna setiap sifat dan siddiqin bagi mereka berada pada kedudukan lebih mulia.

Hujah yang digunakan ialah gelaran siddiq diberikan kepada Abu Bakar kerana ketinggian iman baginda berbanding sahabat yang lain.

Abu bakar telah membenarkan dakwah yang dibawa oleh nabi ketika orang lain masih menolaknya.

Siddiq juga bermaksud orang yang benar dalam perkataan dan tidak menipu atau khianat.

Selain itu siddiq juga adalah orang yang benar dalam perbuatan dan tidak melakukan perkara yang salah.

Al-Qurtubi berpandangan ia bermaksud semua orang yang memiliki sifat Siddiqin.

Syuhada pula adalah kata plural atau jamak yang kata tunggalnya ialah syahid.

Syahid bermaksud saksi. Imam al-Qurtubi menyatakan ada pentafsir yang berpendapat bahawa makna syuhada ialah orang yang mati dibunuh dimedan perang ketika mempertahankan kesucian agama.

Pandangan ini walau bagaimanpun ditolak oleh Imam al-Razi beliau berpandangan syuhada’ bermaksud orang yang menjalankan tuntutan agama sehingga orang lain melihat kesucian agama Islam.

Pada pandangan beliau umat Islam mesti bercita-cita untuk menjadi syuhada dalam ertikata bercita-cita melaksanakan ajaran agama dalam segenap bidang kehidupan, bukan bercita-cita untuk menjadi mangsa pembunuhan kepada orang yang menentang agama.

Tambah beliau lagi, kita dilarang daripada rela dikuasia oleh musuh, oleh itu bagaiman pula kita dituntut untuk menjadi mangsa dan kalah kepada mereka.

Golongan keempat yang disebut dalam ayat diatas ialah solihin.

Mereka ialah orang-orang yang melakukan ketaatan dan melakukan kebaikan.

Seperti yang disebutkan sebelum ini maksud ketiga-tiga golongan yang disebut diatas memiliki sifat yang hampir sama.

Ia mungkin menerangkan tentang kedudukan mereka dari sudut kemuliaan bermula dengan para nabi, diikuti dengan mereka yang digelakan dengan siddiqin seterusnya syuhada dan akhir sekali solihin.

wallahuaalam

Ahad
09 Rejab 1442
21 Februari 2021
Ustaz Dr Rosli Mokhtar
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Untuk sumbangan pembangunan Tadabbur Wahyu:
TADABBUR WAHYU SOLUTION (May Bank No Ac:562263546814 ) Maklumkan sumbangan anda dengan whatsapp 01158935652
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Rujukan: al-Tahrir wa al-Tanwir, Tafsir al-Manar, Tafsir al-Qurtubi, Tafsir al-Muharrar al-Wajiz dll.
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Untuk terima Siri Tadabbur Wahyu sila whatsapp 01158935652
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Untuk Telegram taip Tadabbur Wahyubbur Wahyu sila whatsapp 01158935652
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Untuk Telegram taip Tadabbur Wahyu

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *