**TADABBUR WAHYU SIRI 717**

**4.65.1 Tadabbur Surah An-Nisa 71**

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا خُذُوا حِذْرَكُمْ فَانفِرُوا ثُبَاتٍ أَوْ انفِرُوا جَمِيعًا.

71-Wahai orang-orang yang beriman, bersedialah dan berjaga-jagalah (sebelum kamu menghadapi musuh), kemudian (bila dikehendaki) maralah (ke medan perang) sepuak demi sepuak, atau (jika perlu) maralah serentak beramai-ramai.

Setelah menerangkan cabaran dalaman negara dan masyarakat Islam, kini, ayat surah annisa’ menerangkan pula cabaran dari luar.

Ayat ini menerangkan pendirian yang patut diambil oleh masyarakat Islam berkaitan penjagaan keselamatan negara.

Allah menyuruh agar orang beriman berjaga-jaga terhadap ancaman musuh terhadap keselamatan negara.

Maksud perkataan berjaga-jaga ini sangat luas dan telah dijelaskan oleh Syeikh Rashed Redha dengan baik dalam tafsir Al-Manar.

Menurut beliau, suruhan berjaga-jaga mencakupi makna menyediakan senjata yang sesuai bagi menghadapi musuh.

Jika sekiranya musuh menggunakan persenjataan canggih seperti jet dan sebagainya maka umat Islam mestilah bersedia dengan senjata yang dapat berdepan dengan kekuatan musuh itu.

Dengan itu timbul pula keperluan untuk mendalami ilmu-ilmu berkaitan teknologi kerana pembuatan dan pengendalian senjata-senjata itu memerlukan kepada bidang pengkhususan dalam pelbagai bidang ilmu.

Selain itu, berjaga-jaga juga bermaksud mengenali kekuatan musuh dengan baik dan semua itu memerlukan kepada ilmu-ilmu seperti psikologi, forensik dan berbagai ilmu lagi.

Dengan itu dapat dilihat salahnya orang yang menghadkan ilmu yang perlu dipelajari dan mendapat pahala dengan hanya mempelajari ilmu agama dan berkaitan hukum-hakam sahaja.

Semua ilmu saling kait-mengait antara satu sama lain. Adalah mustahil bagi sseeorang itu menguasai semua bidang ilmu.

Dengan itu setiap orang boleh menyumbang dalam bidang pengkhususan yang dikuasainya.

Jika hal ini difahami, maka tidak timbul lagi fahaman yang menganggap ilmu agama sahaja yang menghasilkan keberkatan dan pahala sementara ilmu lain dianggap sebagai keduniaan dan melalaikan.

Setelah memahami seruan ayat agar bersedia berdepan dengan musuh dalam menjaga keamanan negara. Inginpula dijelaskan satu seruan yang sebelum itu sering ditinggalkan kupasannya oleh kitab-kitab tafsir.

Apa yang dimaksudkan itu ialah  seruan pada permulaan ayat ini ditujukan kepada orang yang beriman.

Jika diperhatikan semenjak zaman dahulu sehingga sekarang, didapati banyak peperangan yang dilakukan oleh orang Islam terkeluar dari objektif dan tujuan menjaga keamanan dan kesejahteraan manusia.

Hal ini dapat diterima bila ia dilakukan oleh orang yang tidak beriman dengan Allah dan hari akhirat.

Akan tetapi hal ini juga telah berlaku dikalangan orang-orang yang beriman.

Sehingga tulisan ini ditulis, dunia Islam sedang bergolak dengan beberapa peperangan yang melibatkan sesama Islam yang bercakaran.

Senjata umat Islam ditujukan kepada sesama sendiri, bahkan nyawa tentera dan rakyat biasa terdedah kepada kebinasaan.

Kesemua itu berlaku disebabkan ada pemimpin umat Islam yang melakukan peperangan untuk tujuan meluaskan pengaruh dan empayar mereka.

Keinginan ini telah menjerumuskan rakyat yang tidak berdosa kepada peperangan dan kecelakaan.

Peperangan bagi orang yang beriman bukan untuk tujuan mencapai kepuasan diri, memenuhi nafsu pemimpin dan kehendak mereka menguasai dunia, tetapi peperangan dalam Islam adalah bertujuan menjaga keamanan negara dari ancaman musuh.

Dengan kefahaman itu dapat difahami bahawa umat Islam digesa terlibat dengan peperangan yang mempunyai tujuan yang betul dan bukannya peperangan yang dilakukan atas kehendak nafsu dan kepentingan individu kerana itu bukan sifat orang yang beriman.

Ahad
30 Rejab 1442
14 Mac 2021
Ustaz Dr Rosli Mokhtar
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Untuk sumbangan pembangunan Tadabbur Wahyu:
TADABBUR WAHYU SOLUTION (May Bank No Ac:562263546814 ) Maklumkan sumbangan anda dengan whatsapp 01158935652
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Rujukan: al-Tahrir wa al-Tanwir, Tafsir al-Manar, Tafsir al-Qurtubi, Tafsir al-Muharrar al-Wajiz dll.
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Untuk terima Siri Tadabbur Wahyu sila whatsapp 01158935652
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Untuk Telegram taip Tadabbur Wahyubbur Wahyu sila whatsapp 01158935652
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Untuk Telegram taip Tadabbur Wahyu

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *